Perkara paling utama untuk membeli dan menjual saham di Bursa Malaysia, kita perlu buka akaun CDS di bawah broker berlesen di Malaysia.  Central Depository System (CDS) merupakan sebuah sistem di bawah Bursa Malaysia yang membolehkan saham dimiliki dan didagangkan.  Hanya selepas membuka akaun ini barulah anda boleh membeli dan menjual lebih 1500 syarikat/saham yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Dengan memiliki akaun CDS, anda boleh membeli mana-mana saham berpotensi di Bursa Malaysia. Dengan ini boleh mendapat keuntungan daripada kenaikan harga saham dan hasil jualan saham. CDS bertindak sebagai kaedah untuk mewakili pemilikan dan pergerakan sekuriti. Pemegang akaun CDS menikmati kemudahan seperti memperoleh pemindahan sekuriti dan penyelesaian dagangan secara elektronik.

Anda perlu membuka akaun CDS untuk membeli dan / atau menjual saham, dan untuk menjalankan transaksi CDS yang lain ke atas semua kaunter ekuiti dan bukan ekuiti (contohnya, bon, saham pinjaman, waran dan sebagainya) yang telah dinyatakan di dalam CDS.

buka akaun cds

Sumber: Bursa Malaysia

Cara Buka Akaun CDS Untuk Main Saham

Sebenarnya mudah sahaja nak buka akaun CDS ni. Dan modal yang diperlukan untuk anda membuka akaun CDS bermula dari RM10 sahaja. Malah, ada sesetengah bank pelaburan yang tak kenakan caj buka akaun ini.  Anda boleh dapatkan akaun CDS secara percuma.

Untuk membuka akaun CDS, boleh pergi ke mana-mana bank pelaburan (investment bank) yang berdaftar sebagai broker saham. Antaranya Affin Hwang Investment Bank Berhad, Alliance Investment Bank Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad.

Anda boleh membuka akaun CDS dengan mana-mana Ejen Depositori Diberi Kuasa (ADA). Semua syarikat pembrokeran di Malaysia pada masa ini adalah ADA.

Jika anda adalah pelabur individu, anda boleh memilih sendiri ADA dan:

  1. Melengkapkan borang Pembukaan Akaun dan dua (2) Kad Tandatangan Spesimen.
  2. Bagi rakyat Malaysia, hantarkan dokumen bersama-sama dua (2) salinan Kad Pengenalan anda yang telah disahkan. Bagi warga asing, anda perlu membayar yuran Pembukaan Akaun dan menghantar dua (2) salinan pasport anda yang telah disahkan.

Jika anda adalah pelabur korporat, anda perlulah:

  1. Melengkapkan borang Pembukaan Akaun dan dua (2) Kad Tandatangan Spesimen.
  2. Hantarkan dokumen di atas dengan dua (2) salinan semua dokumen sokongan yang diperlukan (contohnya Sijil Pengkorportan, Resolusi Lembaga Pengarah dan sebagainya) bersama-sama dengan yuran Pembukaan Akaun.

ADA anda kemudiannya akan membuka akaun CDS dan memberikan anda nombor akaun CDS. Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd akan menghantar kepada anda notis pengesahan pembukaan akaun melalui pos.

Jika anda telah memohon Tawaran Awam Permulaan tanpa akaun CDS sebelum Disember 2003 dan permohonan itu berjaya, Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd akan membuka akaun CDS bagi pihak anda melalui broker pilihan anda.

Bursa Malaysia Depository akan memberitahu anda mengenai akaun itu, dan keperluan untuk menjadikan pembukaan akaun itu sebagai formal dengan menghantar dokumen yang relevan serta membayar yuran Pembukaan Akaun. Akaun itu tidak boleh digunakan sehinggalah semua formaliti ini telah dipatuhi.

Seorang pelabur individu dibenarkan membuka satu sahaja (1) akaun CDS dengan setiap ADA. Walau bagaimanapun, seorang pelabur korporat boleh membuka pelbagai akaun dengan ADA yang sama.

Anda akan menerima penyata akaun bulanan bagi bulan sebelumnya yang mempunyai kemasukan ke dalam akaun CDS. Walau bagaimanapun, apabila tiada kemasukan tetapi masih ada saham di dalam akaun CDS anda, Bursa Depository akan mengeluarkan penyata pada bulan Jun dan Disember.

Tempoh kitaran penyata adalah ditentukan oleh sistem yang bertujuan menjana penyata bagi akaun.

Kitaran penyata bagi akaun pendeposit ditentukan sama ada pada hari ke-7, 14 atau 21 bagi setiap bulan. Akaun prinsipal dan nomini ADA ditetapkan pada hari ke-28 bagi setiap bulan.

Siapakah yang boleh membuka akaun CDS?

Akaun CDS boleh dibuka oleh:

  1. Seorang individu yang telah mencapai umum lapan belas (18) tahun pada tarikh permohonan.
  2. Sebuah perbadanan dalam konteks Seksyen 4 Akta Syarikat 1965.
  3. Mana-mana badan korporat yang diperbadankan dalam Malaysia dan secara notis, diterbitkan melalui Warta, diisytiharkan sebagai pihak berkuasa awam atau instrumen atau Agensi bagi Kerajaan Malaysia atau oleh mana-mana negeri Malaysia.
  4. Sebuah persatuan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkait dengan persatuan koperasi.
  5. Sebuah amanah atau perbadanan amanah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.
  6. Mana-mana pertubuhan yang didaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.
  7. Badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen.

Secara amnya, suatu akaun CDS hanya boleh dibuka jika orang berkenaan membuka akaun itu sama ada sebagai pemilik yang mendapat manfaat ataupun sebagai Penama yang sah.

Untuk mendapatkan borang CDS, anda boleh dapatkan daripada dealer atau remisier.

Dealer ialah mereka yang bekerja sepenuh masa di broker dan anda boleh terus walk-in ke mana-mana broker berlesen. Dealer tidak mendapat apa-apa komisyen secara direct untuk akaun yang dibuka dan transaksi trade.

Remisier pula ialah mereka yang bekerja secara komisyen dengan broker-broker berlesen  dan mereka berada di mana-mana dan tidak semestinya di branch broker. Kelebihan buka akaun dengan remisier ialah, mereka akan cuba memberikan added value supaya anda buka akaun dengan mereka dan trade menggunakan akaun tersebut.

Suatu akaun hanyalah boleh ditutup jika tiada transaksi / baki di dalam akaun. Anda boleh melengkapkan dan menghantar borang Permohonan bagi Penutupan Akaun atau menulis surat kepada ADA anda, dan menyatakan permohonan anda untuk menutup akaun CDS.

Akaun CDS Islamik atau Konvensional

Mungkin ada yang tidak tahu bahawa akaun CDS ada dua. Iaitu Akaun CDS Islamik dan Akaun CDS Konvensional. Sebagai seorang Muslim kita harus buka akaun CDS Islamik.

Kelebihan akaun CDS Islamik adalah :

  1. Anda tak perlu pening kepala atau takut terbeli saham yang tak patuh syariah. Akaun CDS anda tidak akan terbeli saham tak patuh syariah.
  2. Duit lebihan seperti dividen daripada duit yang anda letak dalam trust CDS – tapi anda tak gunakan untuk trade – adalah halal tanpa was-was.
  3. Kurang risiko. Kebiasaan Islamic account adalah jenis cash. Jadi anda tidak terdedah dengan risiko kehilangan duit yang bukan milik anda.

Senarai Broker Yang Menawarkan Akaun CDS Islamik

  1. Malacca Securities Sdn Bhd
  2. BIMB Securities Sdn Bhd
  3. Affin Hwang Capital
  4. Aminvestment Bank
  5. Maybank Investment Bank
  6. RHB Investment Bank
  7. HongLeong Investment Bank
  8. Public Investment Bank
  9. MIDF Investment
  10. Jupiter Securities Sdn Bhd
  11. Kenanga
  12. TA Securities
  13. Inter-pacific Securities Sdn Bhd
  14. CIMB Securities

Dua Jenis Akaun CDS Dari Sudut Status Pegangan Saham

1. Direct CDS

Akaun ini akan berdaftar atas nama anda. Bermaksud, nama anda sendiri yang akan berdaftar dalam daftar pemegang saham syarikat yang anda labur.

2. Nominee CDS

Akaun ini tidak didaftarkan atas nama anda sebaliknya menjadikan syarikat broker sebagai wakil anda.

Rujukan

Bursa Malaysia

Isaham

 

 

 

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.