Apa itu saham? Saham atau juga dikenali sebagai ekuiti merupakan sekuriti yang mewakili pemilikan sebahagian kecil syarikat. Ini memberi hak kepada pemilik saham terhadap sebahagian daripada aset dan keuntungan syarikat berdasarkan kepada berapa banyak saham yang mereka miliki. Unit saham dipanggil perkongsian atau “shares”.

Saham dibeli dan dijual secara meluas di bursa saham, walaupun turut terdapat penjualan saham persendirian juga, dan merupakan asas kepada portfolio para pelabur individu. Transaksi atau urus niaga ini harus bersesuaian dengan peraturan kerajaan yang bertujuan untuk melindungi para pelabur daripada praktik-praktik penipuan.

Berdasarkan rekod terdahulu, pelaburan-pelaburan saham telah mengatasi kebanyakan pelaburan yang lain untuk jangka masa yang panjang. Pelaburan saham boleh dibeli melalui kebanyakan broker saham dalam talian “online stock brokers”. Selain itu, pelaburan saham amat berbeza dengan pelaburan hartanah.

Mari Memahami Saham

Sesebuah syarikat menerbitkan atau menjual saham untuk mengumpulkan dana untuk menjalankan perniagaan syarikat. Individu yang memiliki unit saham (pemegang saham) kini telah membeli sebahagian dari syarikat, maka dengan bergantung kepada jenis saham-saham yang dimiliki, boleh membuat tuntutan terhadap sebahagian daripada aset dan perolehan syarikat.

Dengan kata lain, pemegang saham kini menjadi pemilik syarikat yang menerbitkan saham. Pemilikan ditentukan dengan jumlah saham yang dimiliki oleh seseorang berbanding dengan jumlah saham tertunggak atau “outstanding shares” (saham syarikat yang kini dimiliki oleh semua pemegang saham yang dimiliki oleh para pelabur instirusi dan saham terhad yang dimiliki oleh pegawai dan orang dalam syarikat).

Sebagai contoh, sekiranya syarikat mempunyai 1,000 unit saham tertunggak dan seseorang itu memiliki 100 unit saham, maka individu itu akan memiliki dan boleh membuat tuntutan sebanyak 10% daripada aset dan perolehan syarikat.

Namun begitu, pemegang saham tidak memiliki syarikat tersebut, mereka hanya memiliki saham-saham yang diterbitkan oleh syarikat tersebut. Walau bagaimanapun, syarikat merupakan satu jenis organisasi yang istimewa kerana undang-undang memperlakukan syarikat sebagai orang yang sah “legal person”.

Dalam erti kata lain, syarikat memfailkan cukai, boleh melakukan pinjaman, boleh memiliki harta, boleh digugat dan banyak lagi. Idea di mana syarikat merupakan “individu / orang” bermaksud bahawa syarikat memiliki asetnya sendiri. Sebagai contoh, sebuah pejabat dalam sesebuah syarikat yang dipenuhi dengan kerusi dan meja merupakan milik syarikat, bukannya milik pemegang-pemegang saham.

Perbezaan ini adalah penting kerana harta-harta syarikat yang diasingkan secara sah daripada harta-harta pemegang saham, yang mana mengehadkan liabiliti syarikat serta pemegang saham. Sekiranya syarikat menjadi muflis, mahkamah boleh memutuskan supaya semua aset syarikat dijual, namun aset peribadi anda (pemegang saham) tidak termasuk dalam risiko.

Tambahan lagi, mahkamah bahkan tidak boleh memaksa anda untuk menjual saham anda, walaupun nilai saham anda akan jatuh secara drastik. Begitu juga, sekiranya pemegang saham utama muflis, dia tidak boleh menjual aset syarikat untuk membayar pemiutangnya (creditors).

Imej via iLabur

Pemegang Saham Dan Pemilikan Ekuiti

Apa yang sebenarnya dimiliki oleh pemegang-pemegang saham adalah saham-saham yang diterbitkan oleh syarikat, manakala syarikat tersebut memiliki aset yang dipegang oleh firma. Ini bermakna, sekiranya anda memiliki 33% saham sesebuah syarikat, ia tidak bermaksud anda memiliki 1/3 syarikat tersebut. Sebaliknya, ianya tepat sekiranya anda menyatakan anda memiliki 100% daripada 1/3 saham syarikat tersebut.

Selain itu, pemegang-pemegang saham tidak boleh berbuat sesuka hati mereka dengan syarikat ataupun aset-aset syarikat. Sebagai contoh, pemegang saham tidak boleh membawa keluar harta syarikat seperti komputer kerana ianya milik syarikat, bukannya milik pemegang saham. Ini lebih dikenali sebagai “pengasingan daripada pemilikan dan kuasa”.

Memiliki saham memberikan anda hak untuk mengundi di dalam mesyuarat pemegang saham, menerima dividen (keuntungan syarikat) sekiranya dan apabila ia diagihkan, dan ia memberikan hak kepada anda untuk menjual saham anda kepada orang lain.

Sekiranya anda memliki kebanyakan saham, kuasa mengundi anda meningkat. Ini bermakna secara tidak lansung anda mengawal arah pergerakan syarikat tersebut dengan melantik lembaga pengarah syarikat tersebut.

Ini boleh dijelaskan dengan apabila sesebuah syarikat membeli sebuah syarikat yang lain, syarikat pembeli tidak membeli bangunan, harta atau pekerja syarikat tersebut, sebaliknya ia membeli semua saham syarikat. Lembaga pengarah bertanggungjawab untuk meningkatkan nilai syarikat, dan biasanya melakukannya dengan melantik pengurus-pengurus profesional atau pegawai-pegawai seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Bagi kebanyakan pemegang saham biasa, tidak dapat menguruskan syarikat tersebut bukanlah suatu masalah yang besar. Keutamaan menjadi seorang pemegang saham adalah anda berhak mendapat sebahagian daripada keuntungan syarikat, di mana seperti apa yang kita tahu, merupakan asas kepada nilai sesebuah saham. Semakin banyak saham yang anda miliki, semakin besar bahagian keuntungan yang anda dapat.

Sesetengah saham bagaimanapun tidak mengagihkan dividen, sebaliknya melaburkan semula keuntungan kepada pertumbuhan syarikat. Pendapatan tertahan (retained earnings), bagaimanapun masih boleh dilihat dalam nilai saham.

Saham Biasa VS Saham Utama

Terdapat dua jenis saham iaitu biasa dan utama. Saham biasa biasanya memberi hak kepada pemilik saham untuk mengundi di mesyuarat pemegang saham dan untuk menerima dividen yang diagihkan oleh syarikat tersebut.

Pemegang saham utama pula secara umumnya tidak memiliki kuasa mengundi, namun mereka mempunyai hak tuntutan yang lebih besar ke atas aset dan perolehan syarikat berbanding pemegang saham biasa. Ini bermakna, pemegang saham utama menerima dividen sebelum pemegang saham biasa dan mempunyai keutamaan sekiranya syarikat muflis dan dibubarkan.

Di samping itu, syarikat boleh menerbitkan saham baru apabila ada keperluan untuk meningkatkan dana tambahan. Proses ini akan melemahkan pemilikan dan hak para pemegang saham sedia ada (sekiranya mereka tidak membeli saham baru yang ditawarkan). Selain itu, syarikat-syarikat juga boleh terlibat dalam pembelian balik saham yang mana akan menguntungkan para pemegang saham sedia ada di mana ia akan menyebabkan nilai saham mereka meningkat.

Saham VS Bon

Saham diterbitkan oleh syarikat untuk meningkatkan modal dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan atau menjalankan projek baru. Terdapat beberapa perbezaan penting antara sama ada seseorang itu membeli saham secara lansung daripada syarikat apabila ia diterbitkan (dalam pasaran utama) atau daripada pemegang saham yang lain (pasaran kedua). Apabila sesebuah syarikat menerbitkan saham, ia akan membuat pulangan wang juga.

Bon pada dasarnya berbeza daripada saham dalam beberapa perkara. Pertamanya, pemegang bon adalah pemiutang kepada syarikat, dan berhak ke atas faedah serta pembayaran balik pokok (principal). Pemiutang diberikan keutamaan yang sah berbanding pihak berkepentingan (stakeholders) yang lain sekiranya syarikat muflis dan akan menerima tuntutan terlebih dahulu sekiranya syarikat dipaksa menjual kesemua aset untuk membayar tuntutan.

Sementara itu, pemegang saham merupakan bahagian terakhir dan kebiasaannya tidak akan menerima apa-apa atau mungkin hanya beberapa ringgit sahaja sekiranya berlaku kebankrapan atau muflis. Justeru, ini menggambarkan bahawa pelaburan saham lebih berisiko berbanding bon.

Jemput juga baca tentang belajar saham dan memilih broker saham

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.