Robert Duggan merupakan seorang usahawan Amerika yang terkenal dengan falsafah ‘‘making a difference for the better’’, yang bermaksud membuat perbezaan untuk perkara yang lebih baik telah menghasilkan berbilion-bilion wang kepada beliau.

Selama lebih dari lima dekad, Duggan telah memainkan peranan penting dalam perkembangan syarikat baru dan menyelamatkan syarikat yang menuju kegagalan. Sejarah beliau dalam pelaburan-pelaburan modal teroka termasuk syarikat pembedahan robotik, kedai biskut dan syarikat-syarikat teknologi.

Nilai Bersih Robert Duggan

Dengan anggaran kekayaan bernilai $2 bilion pada tarikh 3 Februari 2020, Duggan merupakan ahli Gereja Scientology (church of scientology) terkaya dan dikenali sebagai penderma tertinggi bagi organisasi tersebut. Duggan menjadi tajuk utama pada Mei 2015 apabila beliau menjual Pharmacyclics, sebuah syarikat biofarmaseutikal, di mana beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sana, kepada sebuah syarikat farmaseutikal yang lain, AbbVie.

Pada ketika pengambil alihan tersebut, Duggan memegang 18% saham Pharmacyclics. Pengambil alihan Pharmacyclics bernilai $21 bilion dan Duggan telah memperolehi sebanyak $3.5 bilion, sebelum cukai daripada pengambil alihan tersebut.

Awal Kehidupan Dan Pendidikan

Duggan dilahirkan pada tahun 1944 dan merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik lelaki. Beliau dibesarkan di dalam sebuah keluarga kelas menengah rendah (lower-middle-class) di San Jose, California. Bapa beliau merupakan seorang imigran Ireland yang bekerja sebagai seorang jurutera industri dan ibu beliau merupakan seorang jururawat berdaftar.

Apabila ditanya tentang zaman kanak-kanak beliau, Duggan menyatakan mereka sekeluarga memperoleh pendapatan sekitar $800 sebulan, di mana mereka sekeluarga akan bertungkus lumus mencari wang pada beberapa hari terakhir setiap bulan untuk menjelaskan bil-bil yang perlu dijelaskan.

Pada tahun 1962, iaitu semasa usia beliau 18 tahun, Duggan mendaftarkan diri beliau ke Universiti California, Santa Barbara, di mana beliau mempelajari ekonomi. Walau bagaimanapun, beliau keluar daripada program tersebut pada tahun 1966 dan kemudian menjadi pelajar di Universiti California, Los Angeles, di mana beliau mengambil bidang pengurusan perniagaan selama dua tahun. Namun begitu, beliau tidak pernah menghabiskan satu ijazah.

Awal Perniagaan

Kerjaya Duggan dalam dunia perniagaan bermula pada awal tahun 1970-an apabila beliau melabur sebanyak $100,000 kepada 50% kepentingan ekuiti (equity stake) dalam sebuah syarikat sulaman kanak-kanak dengan nama Sunset Designs. Syarikat tersebut merupakan sebuah jenama Jiffy Stitchery yang telah dijual di lebih daripada 7,000 buah kedai. Sunset Designs kemudiannya telah dibeli dengan harga $15 juta oleh konglomerat barangan pengguna British, Reckitt Benckiser Group pada pertengahan 1980-an.

Sebagai seorang usahawan, Duggan telah bekerja dalam pelbagai usaha perniagaan begitu juga dalam pelbagai kesempatan dan peluang. Ketika beliau menjalankan tugas beliau sebagai seorang ahli lembaga di Sunset Designs, beliau telah bekerja di sebuah syarikat baru yang lain, iaitu Paradise Bakery. Melalui pelaburan dan bimbingan beliau, syarikat tersebut telah berjaya mendapatkan perkongsian untuk membekalkan produk (cookies) mereka kepada jenama-jenama terkenal seperti McDonald’s, Disney World dan KFC.

Berdasarkan biografi rasmi Duggan, Paradise Bakery telah menjadi salah sebuah syarikat yang mengetuai pengeluaran biskut bakar segar (fresh baked cookies) ke dalam pasaran Amerika. Kira-kira hanya selepas 11 tahun penubuhan Paradise Bakery, syarikat tersebut telah dijual pada tahun 1987. Kini syarikat tersebut merupakan anak syarikat milik penuh Panera Bread.

Bermula pada saat itu, Duggan telah memulakan serta melabur dalam banyak lagi perniagaan. Ianya juga termasuk syarikat-syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan komputer kepada kerajaan Amerika Syarikat. Beliau juga telah menjual sebuah syarikat yang dibangunkan oleh beliau sendiri, Metropolis Media. Syarikat yang hanya dibangunkan dengan nilai $3 juta itu akhirnya dijual pada harga sebanyak $45 juta.

Imej via YouTube

Membangunkan Syarikat Besar

Pada bulan September 2008, Duggan telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk Pharmacyclics, sebuah syarikat biofarmaseutikal di California yang ditubuhkan pada tahun 1991. Pada masa tersebut, Pharmacyclics mempunyai permodalan pasaran (market capitalization) sebanyak $15 juta dan sedang berada di ambang kejatuhan. Duggan yang merupakan pemegang saham terbesar syarikat tersebut iaitu dengan 24.1% daripada jumlah saham terkumpul, telah menerima cabaran untuk memulihkan syarikat yang sedang gagal tersebut.

Pada tahun 2004, beliau mula mengumpul saham-saham dalam syarikat tersebut apabila saham-saham tersebut telah didagangkan sekitar $10. Bermula pada tahun 2004 sehingga pertengahan tahun 2007, saham syarikat telah jatuh lagi sehingga serendah $3 sesaham yang disebabkan oleh beberapa isu dalaman. Namun demikian, daripada menjual kesemua saham yang ada dengan apa sahaja nilai yang masih ada, sebaliknya Duggan berpegang teguh kepada saham yang ada dan tetap membeli lebih banyak saham.

Sepanjang tempoh beliau memegang jawatan, iaitu dari tahun 2008 sehingga tahun 2015, Duggan telah berjaya menyelamatkan Pharmacyclics dan telah menjadikan syarikat tersebut sebuah syarikat yang bernilai jutaan ringgit dengan lebih daripada 500 orang pekerja. Perkara utama yang merubah syarikat tersebut adalah salah satu ubat keluaran syarikat tersebut, Imbruvica. Imbruvica, sejenis ubat yang dibangunkan oleh syarikat tersebut untuk merawat leukemia limfositik kronik (chronic lymphocytic leukemia).

Hasil daripada itu, harga saham Pharmacyclics telah meningkat secara mendadak, sekaligus menjadikan Duggan seorang jutawan menjelang tahun 2014. Pada tahun 2015, AbbVie mengumumkan bahawa mereka akan mengambil alih Pharmacyclics dengan harga sebanyak $21 bilion. Duggan telah memperoleh keuntungan sebanyak $3.4 bilion melalui penjualan syarikat tersebut.

Jutawan Pemurah

Sepanjang karier beliau, Duggan telah terlibat dalam banyak usaha kebajikan, Beliau dan isteri, Trish, telah membantu Universiti California, tempat mereka menuntuk ilmu suatu ketika dahulu, dalam pelbagai cara termasuklah membiayai dua program akademik untuk universiti tersebut dan juga membiayai program atletik.

Sebagai seorang ahli Scientology (church of Scientology) yang taat, Duggan telah menyumbangkan jutaan dolar kepada Gereja Scientology serta organisasi bukan keuntungan yang bergabung dengan gereja tersebut. Menurut Bloomberg, Duggan telah menyumbangkan lebih daripada $20 juta kepada organisai-organisasi Scientology, sekaligus menjadikan beliau penyumbang utama kepada organisasi tersebut. Sumbangan-sumbangan beliau kepada Gereja Scientology telah membantu gereja tersebut untuk membiayai misi-misinya dan mengekalkan Freewinds, sebuah kapal persiaran yang menganjurkan retret (retreat) keagamaan untuk para pengikut mereka.

Duggan menyatakan bahawa Scientology dan apa sahaja yang telah dilakukan dan disediakan oleh Scientology kepada beliau telah mendorong beliau ke arah menjadi orang yang lebih baik dan lebih berkebolehan sekaligus menjadikan beliau seperti hari ini. Disebabkan itu, beliau merasakan ianya sebuah penghormatan dan kewajipan peribadi untuk berkongsi kejayaan beliau dari sudut kewangan kepada Scientology.

Jemput juga baca biodata Misbun Sidek dan biodata Yusuf Taiyoob 

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.