Latar Belakang

Jika disebut nama anak – anak Sidek, pasti ramai yang mengenalinya. Antara anak Sidek yang begitu terkenal dalam arena badminton negara adalah Mohmed Misbun. Beliau juga lebih dikenali dengan nama Datuk Misbun Sidek. Dilahirkan pada tanggal 17 Februari 1960 di Banting Selangor dengan jolokan nama Bun di kalangan ahli keluarga. Merupakan anak kedua daripada enam beradik dan anak lelaki sulung bagi pasangan Dato’ Haji Sidek dan Datin Rukinah Sulaiman. Empat adik lelaki beliau iaitu Razif, Jalani, Rahman dan Rashid juga aktif bermain badminton di peringkat antarabangsa suatu tika dahulu.

Imej via mhonline

Pengalaman

Misbun telah mendapat pendedahan awal dengan sukan badminton ini sejak berumur 7 tahun lagi. Beliau telah dilatih secara serius oleh bapanya Allahyarham Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar yang ingin melihat anak – anaknya berjaya di dalam sukan badminton.

Setiap hari Misbun dilatih di gelanggang badminton yang berada di sebelah rumah mereka iaitu di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor. Setelah dua tahun berlatih, Razif dan Jalani mula mengikut jejak langkahnya berlatih bersama.

Pada peringkat awal, Razif yang juga dikenali dengan nama Ajib telah berjaya menyerlahkan bakatnya berbanding Misbun dan Jalani. Ajib seorang pemain yang lebih berdisiplin dan jarang ponteng latihan, namun akhirnya Misbun telah berjaya menewaskan Razif bagi kategori bawah umur 15 tahun.

Kerjaya Amatur

Misbun Sidek pernah mewakili negara dalam Kejohanan Jemputan Asia di Hong Kong pada usia 16 tahun. Ia berikutan kejayaannya muncul juara kategori bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Beliau juga pernah terpilih ke pertandingan Terbuka Australia atau turut dikenali dengan nama Silver Bowl.

Legasi keluarga Sidek bermula pada tanggal 11 November 1976. Setelah Misbun muncul sebagai juara bawah 18 tahun, Razif dan Jalani pula muncul sebagai juara di bawah 15 tahun MSSM selepas berjaya menewaskan pasangan Negeri Sembilan, Michael Chua dan Lim Jit Eng. Misbun telah berlawan buat pertama kali dengan Razif bagi kategori 18 tahun. Kemenangannya itu telah merebut gelaran Novices Selangor di Dewan SBA, Kampung Attap pada 30 Januari 1977.

Misbun telah berjaya menewaskan Razif dalam saingan sengit rubber game 10-15, 15-5, 15-2. Pada usianya 18 tahun, Misbun sudah terpilih untuk menjalani latihan skuad Piala Thomas negara bersama pemain senior lain seperti Suffian Abu Bakar, James Selvaraj, Saw Swee Leong dan Phua Ah Hua Moo Foot Lian. Antara lain yang turut sama adalah Ho Khim Soon, Ong Teong Boon dan Kwek Chiew Peng.

Imej via nst

Kerjaya Profesional

Kejayaan pertama telah diperolehi semasa pertandingan Terbuka Jerman dan diikuti dengan kemenangan ke atas Liem Swie King semasa Sukan Sea 1981 dan bergelar juara kebangsaan. Kemenangan beliau telah melayakkan Misbun bergelar Olahragawan Kebangsaan 1981.

Misbun pernah tewas kepada Lim Siew King, iaitu bintang Indonesia semasa perlawanan akhir Piala Dunia 1982 di Stadium Negara. Pada awal September 1982, Misbun telah meninggalkan kem latihan skuad negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) bersama Ajib Mohhiddin. Ia meninggalkan kem tersebut semasa sedang membuat persiapan akhir menghadapi Sukan Komanwel dan Asia. Misbun pernah memenangi piala Terbuka Sweeden serta mengekalkan kejuaraan kebangsaan pada tahun 1982.

Pada tahun 1983, Misbun juga pernah muncul sebagai juara di pertandingan Terbuka Jerman, Sweeden, Kanada, separuh akhir Piala Dunia dan juga tempat ketiga Kejohanan Grand Pirx Dunia. Semasa kejohanan Piala Dunia, Misbun telah tewas kepada Hastomo iaitu pemain Indonesia.

Karisma, bakat serta penampilan Misbun telah mendapat perhatian ramai termasuklah di peringkat antarabangsa. Beliau telah berjaya menjadi pemain pertama di Asia Tenggara dan kedua di Asia selepas pemain India, Prakash Pradukone sebagai pemain profesional di bawah International Management Group (IMG). Pengiktirafan yang diterima Misbun menjadikan beliau sebaris dengan pemain antarabangsa lain seperti Jimmy Connors, Arnold Palmer, Bjorn Borg, Jack Nicklaus, Sebastian Coe dan juga Alberto Salazar.

Pada 8 Januari 1985, Misbun bersama adik beradik yang lain iaitu Razif, Jalani, Rahman dan juga Rashid telah mewakili negara dalam kejohanan luar negara. Mereka telah beraksi bersama di pentas antarabangsa Terbuka Hong Kong.

Misbun sentiasa menyinari pentas antarabangsa dan telah mendapat berjaya memenangi tempat naib juara Piala Thomas pada tahun 1988. Beliau akhirnya membuat keputusan untuk bersara pada tahun berikutnya berikuatan keadaan fizikalnya tidak mengizinkan.

Kehidupan Peribadi

Pada tahun 1984, Misbun Sidek telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan menunaikan haji di Mekah pada usia 24 tahun. Sewaktu berada di Mekah, beliau mengalami masalah kekeringan air dalam badan dan menyebabkan beliau jatuh sakit. Setelah pulang ke tanah air, Misbun telah kembali memegang raket dan mewakili Malaysia ke Terbuka Kanada.

Datuk Misbun telah disatukan bersama pasangannya pada tahun 1984 yang diperkenalkan oleh bapanya sendiri. Perkahwinan mereka telah dilangsungkan pada tahun 1987 dan mereka dikurniakan enak orang cahaya mata iaitu Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita, dan Misbun Awalauddin.

Imej via hmetro

Anugerah dan Penghargaan

Misbun telah dianugerahkan dengan darjah kebesaran negeri Melaka iaitu Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk. Selain itu, Datuk Misbun juga telah menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Insan) oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Beliau juga telah menerima anugerah Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1982 dan Bentara Setia Diraja (BSD) pada tahun 1988.

Pencapaian

  1. Juara Badminton Kebangsaan Malaysia 1981, 1982, 1983, 1984, 1986 dan 1987
  2. Juara Terbuka Jerman 1981, 1983
  3. Naib Juara Piala Dunia 1982
  4. Terbuka Sweden 1982 dan 1983
  5. Juara Terbuka Kanada 1983
  6. Juara Terbuka Malaysia 1985
  7. Naib Juara Malaysia Masters 1985
  8. All England 1986 Naib Juara
  9. Naib Juara Terbuka Malaysia 1986
  10. Naib Juara Terbuka China 1986
  11. Juara Terbuka Singapura 1987
  12. Juara Terbuka Taiwan 1987
  13. Naib juara Piala Thomas 1988 (berpasukan lelaki)

Kesimpulan

Setelah bersara dari pentas perlawanan, namun Datuk Misbun masih meneruskan minatnya dengan menjadi jurulatih badminton. Beliau telah berjaya mengetengahkan bakat jaguh badminton negara iaitu Datuk Lee Chong Wei sehingga di gelar Siri Super dan meraih gelaran berpestij. Malah, pernah memenangi dua pingat perak Sukan Olimpik dan juga tiga kejuaraan All England. Bagi peminat komik kanak – kanak, kisah Misbun dan adik beradiknya juga pernah dibukukan sebagai komik autobiografi “Anak – Anak Sidek” dan diterbitkan pada tahun 1995.

Jemput baca biodata Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan biodata Faiza Bawumi Sayed Ahmad

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.