Wow, berita baik buat semua rakyat Malaysia!
Bermula dari 01 Januari 2020, anda berpeluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya RM1000 menjelang tahun 2020 berakhir. Jadikan ini sebagai azam anda untuk mengumpul duit sebanyak mungkin melalui cara yang akan ditunjukkan dalam artikel ini.
Wah, macam-macam ya boleh dibuat dengan duit sekurang-kurangnya RM1000 bila dah ada dalam tangan nanti. Boleh beli telefon pintar baru, bayar hutang lama, beli hadiah, makan-makan dan sebagainya.
Mari kita ketahui cara-caranya!
Okay, mudah sahaja untuk jadikan impian ini satu kenyataan. Tapi syarat utama yang perlu anda pegang atau lakukan, anda perlu cekal kan hati dan konsisten!
Itu sahaja!
Baiklah. Dalam setahun ada 52 minggu.
Caranya, wujudkan satu tabung mingguan dan sila berdisiplin untuk menabung mengikut nilai-nilai ini.
Jadi, pada minggu pertama, sila menabung dengan nilai RM52.
Minggu kedua, masukkan RM51.
Minggu ketiga RM50.
Minggu keempat, RM49…dan seterusnya sehinggalah minggu ke-52 yakni minggu terakhir bulan Disember 2020, anda hanya perlu masukkan RM1 dalam tabung mingguan anda itu.
Untuk lebih jelas, ayuh lihat struktur simpanan mengikut cara yang dinyatakan ini:
Ringkasnya, semakin lama, semakin sedikit nilai tabungan simpanan. Akhir sekali, jumlah simpanan akan mencecah sehingga RM1378!
Suka untuk saya jelaskan kenapa saya mencadangkan simpanan yang bermula dengan nilai tertinggi (RM52) dan terus berkurangan sehingga nilai terendah RM1 pada minggu terakhir simpanan, yang mana antaranya ialah disebabkan faktor psikologi kita sendiri.
Sebagaimana awal tahun baru, ramai yang bersemangat berkobar-kobar seperti rajin mengamalkan diet yang sihat atau rajin pergi ke gimnasium dan beriadah. Maka, kenapa tidak kita gunakan semangat baru ini untuk menabung dengan nilai yang tertinggi?! Tengah bersemangat lah orang kata!
Selain itu, komitmen nilai simpanan yang semakin berkurangan ini tidak akan membebankan kita pada masa akan datang apabila semakin banyak benda yang memerlukan perbelanjaan akan hadir menuju pada setiap pertambahan minggu.
Jika kita mulakan trend simpanan minggu pertama RM1, minggu kedua RM2, minggu ketiga RM3, minggu 4 RM4 dan seterusnya sehingga minggu ke-52, simpan sebanyak RM52, percayalah, kita akan mula rasa tidak seronok kerana menganggap kita terbeban.
Penurunan nilai simpanan akan memberikan rasa kelegaan untuk minggu-minggu mendatang dan kepuasan apabila berjaya melengkapkan skim simpanan ini.
Namun begitu, terserah anda berkenaan cara dan struktur simpanan. Yang paling penting ialah semangat cekal hati dan disiplin komitmen tinggi serta konsisten untuk menyempurnakannya.
Banyak aplikasi telefon pintar yang boleh didapati secara percuma yang membantu anda mencapai target ini dengan cara menghantar “reminder” atau “notification” serta boleh mengira jangkaan hasil simpanan mengikut bajet anda.
Antaranya ialah aplikasi 52 Weeks Money Challenge yang boleh didapati secara percuma di App Store/Play Store
Melalui aplikasi ini, anda boleh set target anda (dalam artikel ini, saya mengambil contoh untuk set simpanan RM1000),
juga struktur simpanan anda (saya set nilai simpanan secara menurun dengan beza RM1 sebagaimana yang dirancang dalam perenggan sebelum ini) dan
tempoh simpanan (saya set 52 minggu bersamaan setahun).
Seterusnya, satu jadual simpanan akan dijana secara automatik mengikut ketetapan yang dibuat.
Menariknya lagi, anda boleh set peringatan atau “reminder” dalam bentuk “notification” pada setiap hari supaya anda sentiasa peka untuk membuat simpanan. Ye la kan, kadang-kadang kita mudah terlupa, tapi dengan aplikasi ini, kita akan lebih peka dan berdisiplin!
Menabung cara biasa memang digalakkan untuk mendapatkan hasil simpanan yang boleh digunakan pada masa akan datang. Namun, kadang-kadang, tanpa dorongan yang betul, kita akan mula ambil ringan dan hanya akan ikut mood, nak menabung ke nak berbelanja ke nak gunakan untuk kehendak lain.
Dengan sistem tabungan atau simpanan wang seperti yang dianjurkan dan dicadangkan dalam artikel ini, kita akan lebih terdorong dan fokus untuk menyimpan apabila terikat dengan sistem yang praktikal dan berdisiplin ini.
Yang untungnya, kita juga bukan? Boleh lah gunakan wang simpanan ini untuk apa-apa hajat di hati.
Jadi, apa kata, untuk tahun baru 2020 yang baru saja kita melangkah masuk ini, jadikan hobi menabung ini sebagai azam baru kita demi melatih diri dan mendidik diri kita untuk lebih berjimat-cermat dan berdisiplin. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit dan sediakan payung sebelum hujan.