Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.

Kadar jerebu di Malaysia adalah diukur dengan ukuran Indeks Pencemaran Udara (IPU). Ukuran IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan manusia seperti:

  • Karbon monoksida
  • Sulfur dioksida
  • Nitrogen dioksida
  • Ozon.

IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui status kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan. Nilai IPU di Malaysia ialah seperti berikut:

  • Nilai IPU 0 – 50           Baik
  • Nilai IPU 51 – 100       Sederhana
  • Nilai IPU 101 – 200     Tidak Sihat
  • Nilai IPU 201 – 300     Sangat Tidak Sihat
  • NIlai IPU 301 – 500     Berbahaya

Punca-punca jerebu

Sumber: Majalahsains

Adalah sangat penting untuk kita mengetahui apakah punca jerebu agar kita dapat mengurangkan kejadian jerebu yang melanda negara setiap tahun. Bak kata pepatah, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Di antara punca-punca jerebu ialah:

  • Pembakaran hutan untuk aktiviti pertanian. Masalah jerebu yang melanda Malaysia dan Singapura saban tahun adalah berpunca daripada proses pembakaran hutan untuk aktiviti pertanian di Indonesia. Di sana, mereka membakar hutan untuk membuka tanah pertanian baru. Asap yang dihasilkan dari kerja membakar hutan tadi dibawa oleh angin memasuki ruang udara Malaysia dan Singapura lalu menyebabkan masalah jerebu.
  • Aktiviti pertanian pindah. Aktiviti pertanian pindah juga adalah punca jerebu. Pertanian pindah bermaksud petani berpindah-pindah kawasan tanaman. Apabila menjumpai tapak pertanian baru, mereka akan membakar hutan untuk mendapatkan baja organik.
  • Aktiviti pertanian. Aktiviti pertanian seperti penanaman padi juga menyumbang kepada masalah jerebu. Sebagai contoh, di belah utara Malaysia terdapat musim pesawah padi membakar sekam padi secara besar-besaran lalu menyebabkan udara kawasan berdekatan tercemar dengan asap.
  • Pembakaran hutan untuk pembangunan. Selain untuk tujuan pertanian, hutan juga dibakar untuk tujuan pembangunan lalu menyebabkan jerebu.
  • Kebakaran hutan akibat musim kemarau. Ada kalanya cuaca yang terlalu panas dan kekeringan akibat musim kemarau juga akan menyebabkan hutan terbakar dengan sendiri. Hutan yang terbakar secara besar-besaran adalah satu lagi punca jerebu.
  • Pembakaran secara terbuka. Ramai yang memilih untuk membakar sampah secara terbuka. Pembakaran sampah secara terbuka dalam skala besar-besaran akan menyebabkan masalah jerebu.
  • Asap dari industri perkilangan. Cerobong asap dari kilang juga mengeluarkan gas-gas merbahaya yang akan mencemarkan alam sekitar lalu menyebabkan masalah jerebu.
  • Asap dari kenderaan. Akhir sekali, asap dari ekzos kenderaan juga telah dikenal-pasti sebagai punca jerebu.

Kesan buruk jerebu kepada kesihatan

Tidak dinafikan lagi bahawa jerebu sangat menjejaskan kesihatan manusia. Di antara golongan yang paling terjejas disebabkan oleh jerebu ialah:

  • Kanak-kanak
  • Orang tua
  • Mereka yang mengalami penyakit asma, bronchitis, radang paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik, penyakit jantung,dan  alahan.
  • Perokok
  • Mereka yang sentiasa bekerja di luar ( outdoor ).

Di antara masalah kesihatan yang akan berlaku disebabkan oleh jerebu ialah:

  • Berasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.
  • Mengalami kesukaran untuk bernafas atau sesak nafas.
  • Mata berasa pedih dan berair.
  • Hidung berair.
  • Kerap bersin.
  • Kulit badan terasa gatal-gatal.
  • Sakit dada.

Sekiranya anda mempunyai semua masalah kesihatan yang dinyatakan di atas dan termasuk dalam kategori yang berisiko tinggi untuk terjejas disebabkan oleh jerebu, kami nasihatkan anda agar segera pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan dari doktor.

Cara untuk menjaga kesihatan semasa jerebu

Pastinya anda ingin tahu bagaimanakah cara untuk melindungi diri daripada jatuh sakit semasa jerebu. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak yang terpaksa bersekolah. Di antara langkah yang boleh anda lakukan ialah:

  • Segera berjumpa doktor sekiranya mempunyai semua gejala yang kami nyatakan di atas dan tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.
  • Makan ubat mengikut masa yang ditetapkan.\
  • Memakai pelitup muka jika terpaksa berada di luar.
  • Kurangkan aktiviti luar. Jika anda bekerja di luar dan tiada pilihan lain, pastikan anda memakai pelitup muka setiap masa.
  • Minum air kosong dengan banyak.
  • Kurangkan merokok.
  • Jangan merokok di dalam rumah, terutamanya jika ada ahli keluarga yang berisiko tinggi.
  • Basuh muka dan anggota badan yang terdedah kepada jerebu sebaik sahaja masuk ke bangunan bagi membuang partikel jerebu yang melekat pada tubuh badan agar tidak tersedut.
  • Jangan turunkan cermin kereta. Pasang penghawa dingin setiap masa anda berada dalam kenderaan.
  • Jika mampu, keluar dari kawasan berjerebu dan pergilah ke kawasan yang mempunyai kualiti udara yang bersih.
  • Amalkan amalan kebersihan diri setiap masa. Basuh tangan dan mandi agar tubuh badan sentiasa bersih.

Itulah dia info  tentang punca jerebu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang punca kepupusan harimau malaya dan punca dyslexia.

Rujukan:

1. MOH

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.