Setiap tahun kita menyambut hari kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos. Kemerdekaan yang diperolehi pada 1957 bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah hasil perjuangan keringat dan darah para pejuang negara yang sanggup berkorban apa sahaja demi negara yang tercinta. Jom lihat info menarik tentang pejuang kemerdekaan Malaysia yang takkan dilupakan jasanya hingga bila-bila.

Sumber: Iluminasi

1. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman andalah pejuang kemerdekaan Malaysia yang bersusah-payah untuk mendapatkan kemerdekaan negara. Beliau adalah Perdenama Menteri Malaysia yang pertama dan terkenal sebagai seorang pemimpin yang berwibawa,  berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Di antara sumbangan beliau kepada Malaysia ialah:

  • Aktif menentang Malayan Union
  • Mengetuai UMNO dan mengubah slogan Hidup Melayu kepada Merdeka
  • Mewujudkan kesepakatan kaum di antara Melayu, Cina, dan India.
  • Berulang-alik ke London untuk melakukan rundingan mendapatkan kemerdekaan .

2. Mat Kilau

Mat Kilau bin Imam Rasu. Mat Kilau dilahirkan pada tahun 1865 atau 1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Beliau adalah pahlawan negeri Pahang yang terkenal dengan kehandalan dalam ilmu batin, persilatan dan lincah bermain senjata. Beliau sangat dihormati oleh penduduk negeri Pahang dan memainkan peranan yang penting dalam melawan British semasa kita dijajah.

3. Tok Janggut

Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas adalah seorang pahlawan Melayu yang terkenal di Kelantan. Beliau sangat berani dalam menentang penentang penjajah British terutamanya cukai yang dikenakan ke atas rakyat negeri Kelantan. Bukan sahaja seorang yang berani menentang penjajah, Tok Janggut juga merupakan seorang yang sangat pandai dalam bidang agama. Rakyat Kelantan sangat menyayangi dan menghormati Tok Janggut.

4. Mat Salleh

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang kemerdekaan di Sabah. Beliau dengan beraninya mengetuai pasukannya dalam menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris di Sabah. Apa yang menyayat hati rakyat Sabah, Mat Salleh meninggal dunia semasa dalam pertempuran melawan tentera British yang menjajah bumi Sabah.

5. Tok Gajah

Tok Gajah adalah ayah kepada Mat Kilau. Mereka dua beranak adalah pejuang kemerdekaan Malaysia yang sangat hebat dan berani. Tok Gajah yang dilantik sebagai ketua perang dibawah pemerintahan Sultan Ahmad berjuang bersama Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela dalam menentang askar Inggeris di negeri Pahang dan menghalau mereka keluar dari negeri Pahang.

Tok Gajah mempunyai pengaruh yang kuat di negeri Pahang. Beliau juga sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Ramai yang tidak tahu bahawa selain mengetuai pasukan perang negeri Pahang, Tok Gajah juga merupakan penasihat utama bagi Sultan Pahang pada waktu tersebut.

Sumber: Leaderonomics

6. Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam

Pejuang kemerdekaan Malaysia yang seterusnya ialah kebanggaan penduduk negeri Perak iaitu Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam. Beliau ialah pembesar kelapan Perak dari keturunan Daeng Salili. Beliau dilantik sebagai mufti negeri Perak serta dianugerahkan gelaran Dato’ Maharaja Lela Tan Lela yang mempunyai kuasa untuk memancung kepala rakyat. Semasa penjajahan British, beliau mengetuai perjuangan menentang British di Perak dan membunuh J.W.W. Birch iaitu Residen British di Perak.

7. Abdul Rahman Limbong atau Tok Limbong

Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu. Beliau menentang penjajah apabila British mula memperkenalkan beberapa peraturan baru berkaitan pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan yang melarang rakyat Terengganu daripada meneroka tanah untuk tujuan pertanian.

Apa yang lebih membangkitkan kemarahan beliau, rakyat Terengganu juga dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya. Beliau mengetuai gerakan menentang British yang dikenali sebagai “Pemberontakan Tani Terengganu”.

Tok Limbong juga terkenal sebagai seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang berjaya dan seorang petani yang gigih. Beliau mengajar agama di sebuah surau dan pada hari ini penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau tersebut dengan nama “Telaga Limbong” kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci.

8. Rentap

Rentap adalah seorang pejuang kemerdekaan Malaysia yang berjuang melawan Raja Putih James Brooke di Sarawak. Beliau sangat dihormati oleh rakyat negeri Sarawak dan dalam masa yang sama sangat digeruni oleh askar British kerana katangkasannya dalam bertempur dan keberanian untuk memenggal kepada tentera British.

9. Antanom

Antanom adalah dari suku Murut. Beliau  mengetuai pemberontakan Rundum menentang penjajahan British pada tahun 1915. Beliau terkenal sebagai seorang yang arif dalam bermain senjata dan selok-belok hutan.

10. Datuk Siamang Gagap

Abdul Qahar bin Mukmin atau lebih dikenali dengan nama Datuk Siamang Gagap atau Pendekar Siamang Gagap adalah pejuang kemerdekaan di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Beliau adalah panglima yang memimpin angkatan perang Seri Menanti dalam menentang tentera British. Kegagahan beliau dalam berperang menaikkan semangat anak buahnya.

Sumber: NST

Itulah dia info  tentang pejuang kemerdekaan Malaysia yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang biodata Tunku Abdul Rahman dan biodata Rentap

Rujukan:

1. UTM

2. Wikipedia

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.