Ayuh kenali dan fahami dengan lebih lanjut strategi ekonomi yang ingin dilaksanakan oleh negara China ini, dan kesannya ke atas ekonomi serantau. Ketahui projek “OBOR” China

Pengenalan

One Belt One Road (OBOR), ataupun kini dikenali dengan Inisiatif Jalur dan Jalan (Belt and Road Initiative, BRI) merupakan peralihan strategi ekonmi baharu China. Projek ini  merangkumi dua bentuk kerjasama ekonomi iaitu secara daratan dan perairan maritim.

Idea ini diperkenalkan oleh Presiden China Xi Jinping pada tahun 2013 dengan niat untuk cuba memanfaatkan sejarah kegemilangan Jalan Sutera Maritim Klasik suatu masa dulu, termasuklah di Asia Tenggara.

projek obor china

Laluan sutera maritim yang bertanda biru. Imej via wikipedia

Hubungan sejarah pada zaman lalu antara China dan negara-negara ASEAN  sedikit-sebanyak telah menyumbang kepada pembentukan perkembangan kemudahan sosial dan menguatkan hubungan ekonomi negara China.

Selain itu,  kerjasama infrastruktur secara fizikal dan perhubungan mega telah dikukuhkan oleh China dengan negara-negara ASEAN.

Secara umumnya, perubahan strategi China menerusi projek Laluan Sutera Baharu Maritim ini menunjukkan sokongan yang positif oleh negara-negara ASEAN secara kolektif, tetapi kebanyakan negara anggota menyambut projek ini dengan polisi masing-masing sebagai memperoleh manfaat besar daripada inisiatif BRI.

Dengan erti kata lain, mereka menyambut baik strategi China ini dengan syarat-syarat tertentu.

Keraguan dalam kalangan masyarakat negara-negara ASEAN bahawa tindakan China ini datang daripada rasa skeptikal bahawa inii salah satu rancangan perluasan pengaruh politik dan dominasi ekonomi China di Asia Tenggara, seolah-seolah penjajahan era baru oleh negara China khususnya dari segi ekonomi atau dikenali sebagai neokolonisme.

Sejarah Perdagangan Awal

Kerjasama perdagangan yang bermula pada penghujung abad sebelum Masihi sangat berhubung rapat dengan pertukaran komersial di antara China dan India.

Dari segi hubungan China-Asia Tenggara (dahulunya dikenali sebagai Nusantara) telah terbukti sudah lama terjalin  melalui jalan laut.

Kerjasama maritim ini telah dikembangkan lagi pada zaman pemerintahan Maharaja Ming yang telah mengarahkan beberapa ahli pelayaran China terkenal seperti Yin Qing pada awal tahun 1403 dan seterusnya Cheng Ho (1371-1433) pada tahun 1406 untuk ke Melaka bagi menjalinkan hubungan dengan negara luar.

Direkodkan, Cheng Ho dalam ekspedisi penjelajahannya ke Melaka  sebanyak tujuh kali.

Tanggungjawab pelayar-pelayar ini adalah untuk menghubungkan rantaian jaringan China sehingga ke Nusantara dan ke Lautan Hindi yang bukan sahaja melibatkan perdagangan tetapi pertukaran kebudayaan, Islamisasi, pertahanan dan keselamatan serta perkahwinan campur.

Hubungan infrastruktur sosial yang terbina ini telah berjaya membentuk jaringan sosial yang dinamik di antara China dan Asia Tenggara sehingga abad ke-21 ini.

Sejak tahun 2002, hubungan China-ASEAN telah menunjukkan bibit-bibit hubungan yang mesra dan erat bersama ASEAN lalu mewujudkan konsensus serta persefahaman dengan lebih mendalam dalam kerjasama maritim.

Faktor China Memilih ASEAN

Faktor pemilihan ASEAN sebagai rakan perdagangan  adalah sebahagian daripada proses China untuk memperoleh galakan perdagangan secara inklusif seperti mana manfaat yang diterima Amerika Syarikat dan Jepun di Asia Tenggara.

Usaha China sejak tahun 2002 ini juga mengambil masa selama hampir satu dekad dan seterusnya memperkenalkan Laluan Sutera Baharu Maritim pada tahun 2013 kepada negara Asia Tenggara bagi mengukuhkan ekonomi negara itu.

Antara pendekatan yang diambil oleh China ialah:

  1. memperkukuhkan polisi komunikasi strategik
  2. kerjasama kewangan dan penggunaan matawang dalam perdagangan serta pelaburan
  3. mempertingkatkan perhubungan
  4. menggalakkan perdagangan yang lebih terbuka
  5. pertukaran serta kerjasama antara rakyat bagi meyakinkan negara anggota ASEAN untuk menyertai projek mega ini

Pendirian ASEAN terhadap Laluan Sutera Maritim China

Belt and Road Initiative (BRI) ataupun One Belt One Road (OBOR) meliputi kerjasama lebih daripada 60 buah negara, 70 peratus penduduk dunia, 75 peratus simpanan tenaga dunia, dan 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Setakat kini penyertaan negara ke dalam BRI telah mencecah lebih 60 buah negara, termasuklah Malaysia.

Kepentingan projek ini  jelas disambut baik negara-negara ASEAN lain sebagai memacu perhubungan dan pembangunan infrastruktur mega di Asia Tenggara biarpun dibatasi dengan pelbagai kekangan daripada faktor dalaman dan luaran.

Malaysia

Kenyataan rasmi oleh Ong Ka Chuan iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, meyakinkan bahawa inisiatif ini memberi peluang kepada Malaysia dan akan terlibat secara aktif dengan China dalam pasaran besar ini untuk manfaat rakyat.

Indonesia

Begitu juga pendirian Indonesia menerusi ucapan rasmi oleh Jokowi dan Presiden sebelumnya iaitu Susilo Bambang Yudhoyono yang menyambut baik visi China.

Thailand

Bagi Thailand pula, melalui Timbalan Setiausaha Tetap Menteri Luarnya iaitu Vitavas Srivihok, mereka mempercayai bahawa perhubungan yang berkesan dalam visi ini bakal menggalakkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan sama ada di dalam atau di antara rantau Asia Tenggara dan Asia.

Myanmar

Myanmar, menerusi Ketua Penasihat Politik Pejabat Presiden Myanmar iaitu U Ko Ko Hlaing turut menjelaskan bahawa ini bukan sahaja memberi manfaat kepada China semata-mata tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara Myanmar dan serantau, dan China adalah penting kepada Myanmar.

Negara Anggota ASEAN

K. Shanmugam juga sewaktu pertemuan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China pada bulan Ogos 2013, menegaskan kesemua negara anggota ASEAN menyokong sepenuhnya inisiatif ini.

Sasaran dan Pelaburan China

Sebanyak AS$ 1 trilion disasarkan bagi perdagangan dua hala pada tahun 2020 dalam projek kerjasama maritim ini, dan China turut menyasarkan AS$ 150 bilion untuk pelaburan dua hala antara China-ASEAN seperti yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan 2016-2020 iaitu Implementasi Deklarasi Bersama Bagi Perkongsian Strategi ASEAN-China untuk Keamanan dan Kekayaan.

Tambahan lagi, Li Keqiang juga telah berjanji untuk menawarkan negara-negara ASEAN sebanyak AS$ 10 bilion sebagai pinjaman konsesi untuk melonjakkan kerjasama yang lebih praktikal dalam pelbagai bidang antara kedua-dua pihak.

Kerjasama ini bakal merancakkan pelaburan dan pembangunan infrastruktur mega yang canggih antara kedua-dua pihak, antaranya seperti

  1. projek Greater Mekong Subregion
  2. landasan kereta api sepanjang 868 kilometer bakal dibina di antara Kunming dan Kyaukpyu
  3. pembinaan landasan kereta api sejauh 840 kilometer dari Kunming ke Bangkok dan pelabuhan di sekitar pesisir pantai Thailand
  4. saluran paip yang akan disambungkan tenaganya terus ke China daripada Timur Tengah dan Afrika dengan menggunakan pintasan melalui laluan menerusi Selat Melaka dan Laut China Selatan
  5. Laos dan China telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian pembinaan kereta api terpantas dari Kunming ke Vientiane yang berjumlah AS$ 6.28 bilion, dan 70 peratus daripada projek ini ditanggung oleh China dan selebihnya oleh Laos
  6. Kawasan Perindustrian Suzhou China-Singapura dan Projek Bandar-Eko Tianjin

Kesemua bentuk perhubungan melalui kereta api ini adalah merupakan hasrat China untuk mewujudkan jaringan landasan kereta api Pan Asia.

Jaringan landasan keretapi Pan Asia juga akan menghubungkan China ke jaringan landasan keretapi Asia Barat, yang telahpun siap dibina di Kazakhstan dan Iran.

Dilema Ancaman Pengaruh China

Dari segi diplomatik, proses perundingan bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’ melalui “Polisi Jiran Tetangga” yang diangkat selama ini oleh China juga telah berjaya membuktikan bahawa Laluan Sutera Baharu Maritim bukan satu ancaman tetapi adalah satu tawaran untuk mempereratkan lagi persahabatan.

Biarpun begitu, terdapat beberapa negara ASEAN seperti Filipina dan Vietnam yang masih berada dalam keadaan ‘berwaspada’ dengan visi China ini.

Selebihnya seperti Brunei, Kemboja, dan Laos boleh dikategorikan sebagai neutral dalam konteks kerjasama Laluan Sutera Baharu Maritim.

Terdapat juga analisis kritikal berhubung kebangkitan China dan juga rentetan terhadap visi ini, antaranya, kebangkitan China telah menyebabkan negara-negara di Asia Tenggara masih dalam dilema untuk menyeimbangkan ancaman dan peluang, serta kerisauan mengenai tindakan China yang boleh diramalkan.

Projek sutera baharu maritim juga didakwa telah meningkatkan kerisauan negara yang terlibat dalam tuntutan wilayah, terutamanya visi tersebut mungkin akan digunakan oleh China sebagai mengolah semula sejarah dalam rantau tersebut dan mengabsahkan kehadirannya yang semakin meningkat dan lebih agresif dalam tuntutannya ke atas Laut China Selatan.

Kesimpulan

Secara umum, negara-negara ASEAN menerima rancangan China ini untuk sama-sama mengambil manfaat ekonomi. Selain itu, kebanyakan negara anggota ASEAN lebih cenderung menggunakan polisi masing-masing untuk merebut modal besar daripada inisiatif ini.

Disebabkan projek ini sedang berlangsung, jadi kita tidak boleh melihat kesannya secara menyeluruh terutamanya ke atas ekonomi. Semoga projek ini menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Rujukan

  1. https://www.globalpolicyjournal.com/blog/31/05/2017/maritime-silk-road-initiative-msri-why-india-worried-what-china-can-do
  2. Rahman, M. A. A., Daud, S., & Embong, A. R. (2018). Laluan Sutera Baharu Maritim China dan Implikasi Polisi ke atas Komunikasi Strategik Asean. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication, 34(3).

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.