Prof Ungku Aziz atau nama sebenarnya adalah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Hamid bukanlah satu nama asing yang perlu diperkenalkan lagi di negara kita. Ini kerana, hampir seluruh rakyat sangat menyanjungi beliau dan jasa tokoh akademik ini kepada negara tersangat besar.

Prof Ungku Aziz merupakan insan yang sangat sinonim dengan usahanya membantu orang Melayu terutama dalam membasmi kemiskinan. Antara idea Prof Ungku Aziz adalah penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1963 dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) pada tahun 1971.

prof ungku aziz
Imej via [wikipedia]

Siapakah Prof Ungku Aziz Sebenarnya?

Prof Ungku Aziz juga merupakan ahli ekonomi Melayu pertama dan Naib Canselor Universiti Malaya  tempatan yang pertama dan yang paling lama berkhidmat.

Prof Ungku Aziz juga turut berjasa menubuhkan Pusat Asasi Sains dan Fakulti Islam di Universiti Malaya. Di samping itu, Prof Ungku Aziz juga menubuhkan Program Persediaan Khas Jepun yang berjaya melahirkan puluhan ribu siswazah bumiputera dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

Latar Belakang Prof Ungku Aziz

Prof Ungku Aziz dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922. Beliau dilahirkan dalam keluarga diraja Johor. Ayahnya merupakan seorang seorang putera Johor dan pegawai tentera manakala ibunya adalah seorang wanita yang berdarah Circassian atau dikenali sebagai Turki. 

Ayahnya bernama Ungku Abdul Hamid dan ibunya pula bernama Hamidah. Kasih sayang bersama ibunya tidak kekal lama apabila ibunya meninggal dunia sewaktu Prof Ungku Aziz berusia dalam lingkungan 2 tahun lebih. Apabila usianya mencecah 5 tahun, beliau telah dibawa pulang ke negeri Johor. 

prof ungku aziz
Imej via [daulahrakyat]

Sewaktu pulang ke Johor, beliau yang selama ini hidup dalam kemewahan amat hairan kerana melihat rumahnya beratap nipah serta berdinding kayu dan juga buluh.

Dari kehidupan tersebut, beliau telah berazam untuk berjasa dan berkhidmat kepada masyarakat. Dari situ juga tersemainya semangat untuk membanteras kemiskinan dalam kalangan orang Melayu.

Ketika usianya masih remaja, beliau telah kehilangan ayahnya pula. Setelah kematian ayahnya, beliau tetap meneruskan pelajarannya. Namun ianya tidak lama kerana kedatangan Jepun memerintah Tanah Melayu. Tidak terhenti disitu kerana beliau telah dihantar ke Jepun untuk melanjutkan pelajarannya.

Kelulusan Akademik, Pendidikan Dan Pencapaian Prof Ungku Aziz

Prof Ungku Aziz berkelulusan daripada Kolej Inggeris di Johor Bahru dan Sekolah Melayu di Batu Pahat. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Singapura di Kolej Raffles pada tahun 1951. Prof Ungku Aziz mendapat ijazah doktor falsafah di Universiti Waseda (Tokyo, Jepun) pada tahun 1964. 

Prof Ungku Aziz mula bekerja di pentadbiran Negeri Johor sebelum bekerja dari 1952 hingga 1961 sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura), dengan cuti satu tahun apabila beliau mengetuai Majlis Bahasa dan Sastera Malaysia.

prof ungku aziz
Imej via [thepatriots]

Dari tahun 1962 hingga 1965, beliau merupakan seorang Profesor dan Dekan Fakulti ekonomi Universiti Malaya (Kuala Lumpur) dan kemudiannya dilantik sebagai Naib Canselor. Prof Ungku Aziz berkhidmat disana daripada tahun 1968 sehingga tahun 1988. 

Dalam inisiatif beliau, Universiti telah mencipta Taman Botani, Muzium Seni Asia, kedai buku Koperasi. Beliau adalah pengarang justifikasi ekonomi beberapa projek industri.

Prof Ungku Aziz juga telah menulis lebih daripada 50 buku dan monograf mengenai masalah sosial dan ekonomi Malaysia. Beliau juga merupakan perunding untuk PBB Pertubuhan khusus ILO, UNESCO, Suruhanjaya ekonomi PBB untuk Asia dan Timur Tengah.

Sebagai Profesor Emeritus selepas bersara, Ungku Aziz masih lagi mengerahkan tenaganya untuk negara. Beliau telah memegang jawatan Pengarah di beberapa syarikat dan terus terlibat di dalam banyak institusi Kebangsaan dan juga di peringkat antarabangsa.

Anugerah Yang Telah Diterima Beliau

Bagi mengiktiraf kerjayanya sebagai ahli akademik yang cemerlang dan sumbangannya kepada masyarakat, Ungku Aziz telah dianugerahkan dengan pelbagai anugerah dan kepujian.

Antara anugerah dan kepujian tersebut termasuklah Ordre des Arts et des Lettres (Perancis), the Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure (Japan), Anugerah Yayasan Tun Abdul Razak (Malaysia) dan banyak lagi.

Prof Ungku Aziz juga telah menerima banyak Ijazah Kehormat dari Universiti di seluruh dunia. Wah, bukan calang-calang orang Prof Ungku Aziz ini kan?

Kerjaya akademik beliau tidak banyak memberi kesan dalam kegiatan lainnya. Beliau menghadkan pembelian buku bacaan beliau kepada tidak lebih daripada enam buah buku pada satu masa. Beliau juga dikatakan amat gemar fokus dalam bacaannya. 

prof ungku aziz
Imej via [merdekaaward]

Minat Dan Gaya Hidup Prof Ungku Aziz

Prof Ungku Aziz juga merupakan seorang ahli puisi Melayu dan pernah menyusun pangkalan data pantun Melayu tradisional (gandingan poetik). Beliau juga menggemari seni fotografi sejak dari usia awalnya lagi.

Beliau juga percaya pada kepentingan gaya hidup yang sihat dan sentiasa bersenam. Beliau juga berpegang kepada diet yang berkhasiat dan pemakanan yang seimbang.

Prof Ungku Aziz telah berkahwin dengan isterinya Sharifah Azah Aziz. Sewaktu hendak melamar isterinya, beliau berkata “Berkahwinlah dengan saya, sama seperti menuntut pelajaran di sebuah universiti”.

Pada ketika itu, isterinya berhasrat melanjutkan pelajaran namun dilamar oleh Prof Ungku Aziz. Daripada ayat lamarannya, kita tahu bahawa Prof Ungku Aziz adalah seorang yang tinggi ilmunya.

Perkahwinan mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan, iaitu YM Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia sekarang.

Beliau juga mempunyai dua orang cucu iaitu Aziz Ayman dan Alif Ayman. Kehidupannya bersama keluarganya amat bahagia. Namun pada tahun 2012 yang lalu, beliau telah kehilangan isteri tercintanya. 

prof ungku aziz
Imej via [bissmethesun]

Kesimpulannya, Prof Ungku Aziz merupakan tokoh besar yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan. Beliau juga merupakan seorang ahli ekonomi. Jasanya sangat besar dalam hal yang berkaitan dengan agama, bangsa dan juga negara.

Itulah dia serba sedikit kisah Prof Ungku Aziz yang sangat mengagumkan boleh kita jadikan inspirasi. Jom baca juga air teh ais, Biodata Tengku Amir Shah, ikan jerung megalodon dan Biodata Dr. Sheikh Muzhaphar Shukor.

Rujukan

  1. Ungku Aziz – Sebutir Permata di Menara http://chintawangsa.blogspot.com/2016/02/ungku-aziz-sebutir-permata-di-menara.html
  2. Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid : Sang Intelektual http://mimbarkata.blogspot.com/2015/10/prof-diraja-ungku-aziz-ungku-abdul.html
  3. Tahukah anda Prof Diraja Ungku Aziz https://waktusolat.net/pmiumofficial.blogspot.com/2014/08/tahukah-anda-prof-diraja-ungku-aziz.html
Copy

Penulis: rinazul

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.