Peta dunia atau lukisan peta dunia sebenarnya tidak menggambar saiz sebenar negara. Eh biar betul? Maksudnya selama ni peta dan glob yang kita lihat bukanlah saiz yang tepat? Jawapannya lukisan pada glob adalah betul namun lukisan pada peta yang dilukis dalam dua dimensi adalah tidak tepat.

Di atas peta dunia, ada negara dan benua yang besar kelihatan lebih kecil daripada saiz sebenarnya manakala ada juga yang kelihatan jauh lebih besar daripada saiz asal. Ianya berlaku disebabkan oleh “mercator projection”.  

Sumber: Ajar

Apakah itu mercator projection dan apakah punca berlakunya perbezaan saiz di atas peta?

Membuat peta dunia adalah sangat mencabar dan pada satu masa dahulu seorang ahli geografi dan pembuat peta bernama Gerardus Mercator telah melukis sebuah peta yang tepat untuk tujuan pandu arah. Sayangnya peta yang dibuat oleh beliau mempunyai satu kelemahan iaitu ia menyebabkan sesetengah negara kelihatan lebih kecil atau besar. Kejadian negara tersebut menjadi semakin kecil atau semakin besar adalah bergantung kepada kedudukan negara-negara tersebut dengan garisan khatulistiwa.

Semakin jauh sesebuah daratan dari garisan khatulistiwa, semakin besar ia akan kelihatan di atas peta dunia. Sebagai contoh, daratan seperti Antartica dan Greenland kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar mereka. Kenapa ianya berlaku? Ia adalah kesan apabila kita cuba memprojeksikan bentuk sfera 3 dimensi kepada 2 dimensi. Hasilnya akan berlaku herotan. Sebagai contoh bayangkan anda mengupas kulit limau dan kemudian anda cuba jadikan sebagai satu hamparan yang rata. Pastinya anda perlu menarik, memadatkan atau mungkin mengoyak sebahagian daripada kulit oren tadi untuk mendapatkan hamparan yang rata.

Tanpa menarik, memadatkan dan mengoyak mana-mana bahagian, pastinya anda tidak akan mampu untuk mendapat hamparan yang rata. Maka akan berlaku herotan. Inilah yang berlaku apabila peta 3 dimensi dari glob cuba dipindahkan menjadi peta lukisan 2 dimensi di atas kertas. Apakah ketidak tepatan yang ada dalam peta yang dibuat oleh Mercator?

  • Benua Afrika digambarkan lebih kecil daripada saiz asal, iaitu lebih kurang sama dengan saiz Greenland. Hakikatnya Afrika adalah sebuah negara yang sangat besar hingga mampu untuk memuatkan 14 Greenland.
  • Negara Indonesia dan Australia digambarkan lebih kecil daripada saiz asal.
  • Negara India digambarkan sangat kecil berbanding saiz sebenar.
  • Antartika pula digambarkan sebagai satu benua yang sangat besar dan tidak berpenghujung walau hakikatnya ia hanya besar sedikit daripada China malah lebih kecil daripada Afrika.
Sumber: Amazon

Apakah bukti bahawa saiz negara didalam peta dunia tidak tepat?

Satu laman web yang bernama thetruesize.com adalah laman web yang menarik dimana ia membolehkan anda mengubah daratan yang berada di muka bumi ke lokasi berlainan mengikut keinginan kita. Di sini terserlahlah bahawa saiz negara dalam peta dunia adalah tidak tepat. Sebagai contoh:

  • Negara Rusia yang besar dan gah di atas peta dunia kelihatan lebih kecil apabila diletakkan di atas Malaysia dan berdekatan dengan garisan khatulistiwa.
  • Apabila daratan semenanjung Malaysia diletakkan di 4 bahagian berlainan di dunia, semakin jauh dengan garisan khatulistiwa, saiz Malaysia menjadi semakin besar. Saiz sebenar adalah yang berada di atas garisan khatulistiwa.
  • Apabila Amerika syarikat diletakkan di atas negara Russia, kedua-duanya mempunyai saiz yang hampir sama walau pun di atas peta dunia Rusia kelihatan jauh lebih besar daripada Amerika Syarikat.
  • Negara India kelihatan sangat besar apabila diletakkan di atas Russia
  • Negara Greenland sebenarnya tidaklah sebesar yang kita sangkakan sebelum ini. Ia kelihatan besar kerana kedudukannya yang sangat jauh dari garisan khatulistiwa.
  • Negara Australia yang diletakkan di atas Kanada menunjukkan saiz yang hampir sama walau pun di dalam peta dunia Australia hanya sebesar 1/4b daripada saiz Kanada.
  • Malaysia menjadi sangat besar apabila diletakkan di tengah Laut Atlantik
  • Antartika yang kita sangkakan sangat besar sebenarnya tidaklah sebesar mana apabila dialihkan berdekatan dengan garisan khatulistiwa.

Maka tak hairanlah kenapa ramai yang menganggap bahawa penggunaan peta Mercator adalah sesuatu yang Eurosentrik atau bias kepada Barat dan Eropah. Ini kerana ia terbukti telah membesarkan saiz Eropah dan Amerika Utara, dan meletakkan Eropah di pertengahan dunia manakala negara seperti Iran, Venezuela, India, dan Afrika pula kelihatan jauh lebih kecil daripada saiz sebenar.

Cara untuk cari lokasi anda dengan tepat di atas peta dunia

Anda nak cari lokasi anda dengan tepat di atas peta dunia? Mudah saja caranya iaitu:

  • Buka aplikasi Peta Google Peta Google pada telefon atau tablet Android anda
  • Apabila anda membuka aplikasi tersebut, anda akan melihat titik biru yang menunjukkan kedudukan anda. Jika anda tidak melihat titik biru, pergi ke bahagian bawah dan klik lokasi anda. Titik biru akan muncul.
  • Peta menganggarkan kedudukan anda berdasarkan sumber seperti GPS, menara selular, wi-fi, dan sebagainya.
  • Untuk membantu Peta Google mencari lokasi anda berdasarkan titik biru dengan tepat, gunakan mod ketepatan tinggi.

Jika titik biru tidak kelihatan atau titik biru berubah menjadi warna kelabu, maksudnya aplikasi tidak dapat mencari lokasi semasa anda dan akan menunjukkan lokasi terakhir  anda dikesan.

Sumber: Mapsofworld

Itulah dia info tentang peta dunia: lukisan peta dunia sebenarnya tidak menggambar saiz sebenar negara yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jemput juga baca tentang jenis bentuk muka bumi dan Mahsuri

Rujukan:

1. Ajar

2. Google

3. Iluminasi

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.