Temuduga merupakan satu berita gembira kepada setiap pemohon kerja. Walaupun tiada jaminan dapat pekerjaan, tetapi tiket untuk membuktikan keupayaan diri telah diberi.

Bayangkan daripada ribuan permohonan kerja, resume anda telah berjaya mencuri perhatian pihak ‘Human Resources’. Ini membuktikan anda bukan biasa-biasa.

Tapisan pertama, lulus. Seterusnya? Ketahui persediaan sebelum temuduga dengan membaca artkel ini.

Memahami Trend Syarikat

Lupakan pengalaman kerja cemerlang anda dalam resume. Ini kerana selain menitikberatkan aspek kepelbagaian demografi dan kognitif (kreativiti dan inovasi), kebanyakan syarikat masa kini juga mementingkan ‘cultural fit’.

Kajian menunjukkan pekerja yang berkongsi kualiti penting dengan syarikat dan rakan sekerja akan melaksanakan kerja dengan lebih baik dan bekerja di syarikat untuk tempoh yang lebih lama.

Dalam hal ini, kualiti penting itu adalah budaya. Budaya secara mudah bermaksud bagaimana sesuatu perkara itu dilaksanakan di sesebuah syarikat.

Budaya berkait rapat dengan DNA syarikat iaitu individu, proses, sistem dan struktur. Oleh itu, setiap syarikat adalah unik dan mempunyai budaya tersendiri.

“Bagaimana hendak tahu budaya syarikat sedangkan belum pernah bekerja di dalamnya?”

Jawapannya mudah, kajian.

Kajian, Kajian, Kajian!

Tiada yang lebih hebat melainkan seorang pemohon kerja yang mempunyai berpengetahuan luas tentang sesebuah syarikat.

Lebih banyak kajian, lebih banyak anda tahu dan lebih besar peluang anda untuk memenangi hati penemuduga.

Pengetahuan hanya datang daripada kajian. Maklumat yang anda peroleh akan memberikan kelebihan untuk menjawab apa sahaja soalan yang dilontarkan.

Kajian memberi kesan psikologi iaitu tenang dan yakin. Rasa takut dan gementar biasanya wujud kerana risau terhadap perkara akan datang yang tidak pasti.

Apakah jenis soalan-soalan yang akan ditanya? Adakah temuduga dilakukan secara solo atau berkumpulan? Sesi penilaian terbahagi kepada berapa tahap? Berapa ramai calon temuduga?

Jangan risau tentang semua itu. Soalan temuduga tidak tetap. Setiap calon pula temuduga punyai kelebihan tersendiri. Apa yang penting, fokus pada diri anda dan bersedia dengan semua maklumat syarikat.

Manfaatkan Saluran Maklumat

Dalam era dunia digital, semua yang dicari kini di hujung jari. Segala maklumat yang diperlukan untuk temuduga ada di pelbagai platform.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk anda tahu saluran yang betul dan maklumat apa yang perlu diberikan perhatian.

1. Laman Sesawang Rasmi Syarikat

Klik butang seperti “Mengenai Kami” atau “Bertemu Pasukan Kami” apabila anda berada di laman web syarikat.

Fokus kepada perkara asas serta teras kepada syarikat seperti carta syarikat, barisan kepimpinan, visi, misi, dan nilai-nilai syarikat.

Selain itu, pastikan juga semasa anda mencari maklumat, jawapan kepada soalan-soalan penting berikut diperolehi:

  • “Siapa CEO syarikat?”
  • “Apa perniagaan yang dijalankan syarikat?”
  • “Bagaimana syarikat menjana keuntungan perniagaan?”
  • “Mengapa syarikat menjalankan perniagaan tersebut?”
  • “Adakah syarikat beroperasi di pelbagai lokasi?”
  • “Apa kejayaan telah dicapai dan hala tuju masa depan syarikat?”
  • “Mengapa pelanggan memilih syarikat ini?”

Jika anda merasakan sedikit sukar untuk menyesuaikan diri dengan ‘layout’ laman sesawang untuk mencari maklumat, anda boleh muat turun Laporan Tahunan.

Maklumat Laporan Tahunan dibahagikan mengikut tema tertentu, lebih tersusun dan kaya dengan infografik. Di samping itu, anda juga dapat mendalami pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat.

2. Berita Syarikat di Google News

Layari news.google.com dan taipkan nama penuh syarikat.

Segala berita semasa dan yang lepas berkaitan syarikat dari pelbagai sumber akan terpapar. Ini menjimatkan masa anda berbanding carian Google secara biasa.

Luangkan masa anda membaca beberapa perkembangan dan isu terbaru. Anda akan dapat gambaran apa yang sedang dihadapi dan dilakukan oleh syarikat.

Kelak maklumat yang diperolehi ini boleh dijadikan modal untuk anda bertanya kepada penemuduga.

Contoh: “Saya baca baru-baru ini syarikat telah _____, bolehkah tuan/puan berkongsi dengan saya lebih lanjut berkenaan perkara tersebut?”

Mereka akan kagum apabila melihat anda mengetahui fakta luaran syarikat dan seterusnya mempunyai rasa ingin tahu yang lebih berdasarkan pandangan orang dalaman syarikat.

Secara tidak sedar, anda telah menjalinkan hubungan emosional dengan mereka. Lumrah manusia berasa gembira dan lebih tertarik kepada individu yang berkongsi topik yang sama.

Sudah nampak sinar kejayaan di situ?

3. Akaun Media Sosial Syarikat

Akaun media sosial seperti Linkedin, Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram adalah tempat untuk anda dapatkan maklumat syarikat yang mungkin tiada di laman web rasmi dan Google News.

Anda boleh melihat sisi dalaman syarikat melalui gambar-gambar aktiviti, pekerja dan banyak lagi. Ini memberikan anda idea untuk meneroka lebih lanjut tentang budaya syarikat semasa temuduga.

Contoh: “Saya melihat di Instagram syarikat menjalankan satu aktiviti ‘teambuilding’. Bolehkah saya tahu apakah aktiviti lain yang dilaksanakan untuk pembangunan dan kesejahteraan pekerja?”

Jangan lupa, berikan juga perhatian kepada jawatan kosong lain yang diiklankan oleh syarikat di Linkedin.

Siapa tahu mungkin mereka akan tawarkan anda jawatan lain dengan pangkat lebih besar dan gaji lebih lumayan? Jangan terkejut, perkara ini pernah terjadi. Tuah hadir tanpa diduga, tetapi anda perlu bersedia.

Jadi, tak rugi kalau anda membaca ‘Job Description’ jawatan kosong lain yang mempunyai kaitan dengan pengalaman kerja atau bidang pengajian anda.

Melalui Linkedin juga anda boleh melihat profil pekerja semasa syarikat serta kenalpasti trend jenis pekerja yang direkrut oleh syarikat.

4. Intel Syarikat Pesaing

Layari similarweb.com dan taipkan nama syarikat.

Anda akan dapat lihat di bahagian ‘Competitors & Similar Sites’, terdapat laman web syarikat-syarikat pesaing yang berada dalam industri yang sama dengan syarikat yang anda akan hadiri temuduga kerja.

Kaji persamaan dan perbezaan syarikat-syarikat pesaing tersebut supaya anda dapat menunjukkan kepada penemuduga kefahaman anda terhadap keseluruhan industri dan pasaran.

Penemuduga juga akan lebih yakin dan percaya mengapa anda memilih mereka sebagai syarikat untuk membina kerjaya.

Selain itu, di bahagian ‘Related Mobile Apps’ juga memaparkan semua aplikasi yang berkaitan dengan syarikat untuk sistem operasi Android dan iOS.

Muat turun, daftar dan cuba gunakan semua aplikasi tersebut. Boleh jadi semasa temuduga anda ditanya “Apa pendapat anda tentang aplikasi syarikat kami? Apa yang anda rasa boleh ditambahbaik?”

Ops, jangan biarkan sinar kejayaan tadi menjadi malap!

5. Ejen Dalaman Syarikat

Sehebat mana pun ‘desktop research’ anda, tetap ada maklumat yang sukar untuk anda dapatkan. Ini kerana terdapat maklumat berkaitan syarikat yang diklasifikasikan sebagai sulit.

Melainkan anda mempunyai kenalan atau ‘insider’, anda akan hadapi kesusahan untuk mencungkil maklumat yang menggambarkan realiti sebenar syarikat.

Usah khuatir. Maklumat yang anda inginkan seperti ‘pros’ dan ‘cons’ syarikat meliputi aspek pengalaman kerja, tahap kesukaran temuduga, gambaran kasar gaji, faedah dan ganjaran boleh diakses.

Anda hanya perlu layari glassdoor.com dan taipkan nama syarikat. Semuanya telah tersedia.

Segala maklumat ini adalah hasil perkongsian ‘review’ daripada bekas calon temuduga, pelatih dan termasuk pekerja semasa syarikat.

Miliki Sifat Dinamik

Pernahkah anda menonton drama bersiri Sepanyol di Netflix bertajuk ‘La Casa De Papel’ (‘Money Heist’)? Drama bersiri ini memaparkan watak utama The Profesor sebagai ‘mastermind’.

Persediaan melalui kajian teliti dilakukan sebelum beliau dan pasukan berjaya menawan ‘Royal Mint of Spain’ dan mencetak wang berjumlah 2.4 bilion euro.

Dalam mencapai kejayaan tersebut, beliau menghadapi perkara yang tidak diduga serta luar kawalan. Namun, beliau tenang dan menyesuaikan diri dengan situasi.

Begitu juga dengan anda. Anda bukan biasa-biasa dan kini telah dilengkapi maklumat luar biasa. Jika ada soalan yang anda tidak punyai jawapan, mohon sedikit masa untuk berfikir (tidak terlalu lama dan menyebabkan penemuduga menunggu) dan respon sebaiknya secara rasional.

Seperti petikan kata-kata Michael Scofield dalam drama bersiri Prison Break “Preparation will only take you so far. After that you got to take a few leaps of faith.”

Yakin dengan apa yang anda dah usahakan. Semoga anda tenang menghadapi temuduga dan berjaya mendapat pekerjaan yang diimpikan.

*Jemput juga baca artikel tentang kerjaya bidang komputer dan kerjaya jurutera

Rujukan

  1. 7 Research Job Interview https://www.glassdoor.com/blog/7-research-job-interview
  2. 8 Things To research Before A Job Interview https://www.coburgbanks.co.uk/blog/candidate-tips/8-things-to-research-before-a-job-interview
Copy

Penulis: h. haniff

Seorang minimalis yang passionate berkongsi ilmu.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.