Kursus kahwin dah pergi. Tarikh dah ditetapkan. Tetapi persediaan perkahwinan macam belum buat je. Itu antara masalah yang selalu dihadapi oleh bakal pengantin.

Bagi bakal pengantin persediaan sebelum kahwin perlu sempurna dan persiapan mesti rapi. Namun jika dilihat kepada situasi ekonomi sekarang mesti fikir tentang bajet majlis perkahwinan.

persediaan perkahwinan

Imej Via Pixabay 

Bajet majlis perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan bajet atau kos kenduri makan minum. Tetapi turut melibatkan kos wang hantaran, barang hantaran, pakaian pengantin, pelamin dan juga perkara-perkara lain berkaitan persiapan majlis perkahwinan.

Bajet sebuah majlis perkahwinan boleh jadi berbeza-beza bergantung kepada banyak faktor. Jadi, bagaimana cara nak kurangkan bajet persediaan majlis perkahwinan tetapi majlis masih meriah.

Jom baca tips ini sebagai panduan untuk bakal pengantin.

9 Persediaan Perkahwinan Yang Perlu Anda Tahu

Lokasi Kenduri

Pilih lokasi majlis yang tidak memerlukan kos tinggi. Tak perlu nak buat di hotel jika ingin berjimat. Kalau kawasan rumah terhad, sewa dewan serbaguna atau dewan majlis perbandaran.

Jangan pula sewa dewan persendirian yang mahal harganya. Cuma untuk menyewa dewan, perlu menempah terlebih awal. Sebab dewan serbaguna ni tak banyak.

Pastikan anda menempah dewan enam bulan awal sekiranya majlis itu di sambut di kawasan bandar. Hal ini untuk mengelakkan harga dewan menjadi mahal sekiranya anda membuat tempahan di saat-saat akhir sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.

Nak lagi menarik, buat di taman atau tepi pantai. Paling penting minta permit dari pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu. Cuma jika buat konsep outdoor ini kena tengok ramalan cuaca sama. Jika musim tengkujuh lebih baik elakkan.

Menu Makanan Kenduri

lauk kenduri

Untuk makanan semasa kenduri, perkara paling utama ialah pastikan berapa jemputan yang kita panggil. Ini untuk mengelakkan pembaziran.

Menu untuk makanan perlu dihadkan juga. Jangan terlampau banyak hingga membazir.

Yang penting adalah menu utama iaitu nasi, lauk pauk dan air minuman. Menu-menu tambahan lain seperti burger, murtabak, cendol, roti john, kambing bakar pilih jika berkemampuan sahaja.

Kalau nak buat juga, masak makanan yang kos rendah seperti bubur kacang.

Makanan untuk santapan pengantin juga tidak perlu membazir. Hidang menu yang sama seperti tetamu. Untuk nampak menarik, minta tolong saudara mara yang pandai buat ‘plating’.

Baju Pengantin

Selalunya di dalam persediaan perkahwinan, ramai bakal pengantin menitikberatkan tentang baju. Untuk baju pengantin, menyewa dengan butik pengantin adalah lebih murah berbanding menempah khas.

Kalau nak tempah juga, pastikan baju pengantin tersebut boleh digunakan juga pada waktu dan majlis lain, bukan sekadar pada hari majlis perkahwinan sahaja.

Untuk lebih jimat, hanya tempah 2 jenis sahaja. Satu untuk majlis akad nikah dan satu lagi untuk hari perkahwinan.

Ada juga bakal pengantin perempuan yang jahit sendiri baju pengatin. Ini lagi jimat dan pastinya lebih puas kerana menepati citarasa pengantin sendiri.

Barang Hantaran Kahwin

Pilih barang hantaran kahwin yang berpatutan dan praktikal. Pastikan barang hantaran tersebut boleh digunakan selepas majlis kahwin. Jangan beli sebab orang lain beli.

Seelok-eloknya tanya pasangan masing-masing atau membeli bersama-sama. Ini dapat mengelakkan membeli barang hantaran yang membazirkan. Menghadiahkan set pewangi mahal kepada orang yang memang tak suka pakai pewangi  adalah satu pembaziran.

hantaran kahwin

Tak perlu nak menunjuk-nunjuk barang hantaran yang mewah. Bukan orang nak ingat sangat barang hantaran anda.

Perbanyakan hantaran manisan untuk jimatkan duit seperti coklat, kek, buah, pulut kuning dan lain-lain.

Gubah barang hantaran kahwin sendiri, jadi tak perlu upah orang lain untuk gubah. Tak perlu takut nampak tak cantik. Kreativiti masing-masing adalah berbeza.

Kad Jemputan Kahwin

Buat yang ringkas atau cetak sendiri. Lagi murah.

Kalau jemputan 500 orang, kad jemputan 300 sahaja. Selebihnya jemput di Facebook untuk orang-orang jauh.

Blogger Syahirah Sabri kongsi cara beliau buat kad kahwin. Kad design guna Canva Apps, peta design guna Power Point selepas itu dicantikkan dan dicetak oleh mereka yang jalankan khidmat percetakan.

Nak murah boleh cari di Facebook. Ramai yang menawarkan perkhidmatan cetak kad kahwin yang murah.

Kad kahwin ni sebenarnya tak perlu nak mahal-mahal. Orang sekarang dah tak simpan kad kahwin. Habis kenduri buang macam tu sahaja.

Jurugambar Perkahwinan

Ramai pengantin masukkan bajet jurugambar perkahwinan di dalam list persediaan perkahwinan. Jurugambar pun kadang-kadang menggunakan bajet yang agak besar.

Bagi sesetengah pengantin, tak kisah bajet besar. Kahwin hanya sekali katanya. Sebenarnya kalau anda bijak, boleh sahaja pilih pakej fotografi dan videografi yang asas pun sudah memadai. Gambar edit dan cetak sendiri.

Tak perlu nak ambil yang advance. Sekarang banyak perkhidmatan photobook di dalam talian seperti Photobook Malaysia. Anda boleh buat sendiri photobook dengan harga yang murah.

Mekap

Tak perlu nak ambil MUA atau jurusolek yang mahal. Cari yang murah namun solekan cantik. Ini kena pandai cari. Kalau pergi butik memang mahal.

Mekap sendiri atau minta bantuan dari saudara mara atau kawan-kawan yang pandai mekap. Anggaran percuma atau bagi hadiah untuk saudara atau kawan yang tolong mekapkan kita.

Satu lagi tips nak jimat jika ambil jurusolek. Pagi majlis akad nikah dan sebelah tengahari majlis bersanding. So, kat situ anda dah jimat untuk bajet mekap.

Hiburan

Ada keluarga pengantin yang sukakan hiburan ketika majlis berlangsung. Namun ada tetamu yang kurang selesa jika muzik yang dipasang terlalu kuat.

DJ dan PA sistem jika tidak ada pun tidak mengapa. Boleh sahaja pasang lagu dan muzik daripada komputer atau pun laptop. Anda boleh pilih sendiri senarai lagu yang sesuai dengan majlis.

Do-It-Yourself (D.I.Y.)

Kalau nak kawal dan jimat kos majlis perkahwinan, perbanyakkan Do-It-Yourself (D.I.Y.). Antara perkara yang kita boleh DIY di dalam persediaan perkahwinan ialah:

Photobooth

photobooth

Props photobooth, candy booth dan backdrop anda boleh buat sendiri. Saya pernah buat photobooth dengan bajet tak sampai RM100.

Barang-barang semua guna yang ada di rumah sahaja.

Pelamin

Guna kreativiti anda. Kalau ada bajet lebih, silakan.

Pelamin juga boleh menggunakan meja makan pengantin sahaja, letakkan backdrop di belakang meja makan.

Untuk hiasan bunga pelamin, guna bunga plastik. Bunga hidup akan menambahkan kos anda.

Gunakan kreativiti untuk buat dekorasi pada majlis perkahwinan nanti, contohnya gunakan belon, kain renda atau pun barang-barang terpakai.

Tetapi, harus diingat, jangan pula nanti anda nak buat semua sendiri sahaja.

Nanti, penat pula, dah tak berseri muka nanti pada hari perkahwinan.  Dapatkan juga bantuan daripada ahli keluaga dan juga kawan-kawan yang sudi membantu.

Hari majlis anda, orang lain yang tolong, nanti apabila majlis orang lain pula, jangan lupa untuk balas budi ya.

Doorgift

Macam-macam yang kita boleh beri kepada tetamu dengan kos yang rendah. Tak perlu bagi doorgift penuh satu beg.

Kalau boleh beli yang harga bawah RM1.00. Jika pandai hias, pasti akan nampak mahal.

KESIMPULAN

Tak salah kalau kita nak dapatkan majlis yang kita inginkan, tetapi kita harus bijak menguruskan bajet.

Jadi kita mesti tahu cara untuk mengurangkan bajet namun majlis tetap meriah.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada bakal pengantin. Tak perlu menghabiskan wang yang banyak untuk persediaan perkahwinan.

Banyak lagi wang yang diperlukan selepas berkahwin.

Untuk bakal pengantin yang baca perkongsian ini Selamat Pengantin Baharu.

 

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.