Jom ketahui cara daftar Maybank2U!

Kenali Maybank

Maybank merupakan kumpulan perbankan yang terkemuka di Asia Tenggara. Maybank Group merupakan penyedia perkhidmatan kewangan terkemuka di Malaysia yang memenuhi keperluan para pengguna, pelabur, usahawan, organisasi dan syarikat-syarikat bukan keuntungan.

Maybank Group yang telah berkembang di peringkat antarabangsa, mempunyai rangkaian terbesar di kalangan bank-bank di Malaysia di mana Maybank Group mempunyai lebih daripada 1,750 cawangan dan pejabat di 17 buah negara, dan mempunyai 42,000 orang kakitangan dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada 18 juta pelanggan.

Apa Itu Maybank2u?

Maybank2u merupakan satu perkhidmatan perbankan dalam talian atau “online banking services” yang disediakan oleh pihak Maybank Group kepada para pengguna atau pemilik akaun Maybank dan Maybank Islamik. Melalui perkhidmatan ini, pemilik akaun dapat menggunakan sebahagian perkhidmatan yang disediakan di kaunter atau cawangan Maybank secara dalam talian.

Pemilik akaun dapat mengaskses Maybank2u melalui laman web rasmi ataupun melalui aplikasi Maybank2u yang boleh dimuat turun melalui peranti-peranti mudah alih iOS atau Android anda secara percuma. Anda boleh menggunakan perkhidmatan Maybank2u untuk mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan perbankan seperti yang disediakan di kaunter atau cawangan Maybank secara atas talian.

Syarat-Syarat Menggunakan Maybank2u

Sebelum anda dapat mendaftar akaun Maybank2u, anda perlu memastikan anda memenuhi syarat-syarat seperti berikut;

  1. Memiliki akaun Maybank atau Maybank Islamik
  2. Mempunyai kad ATM atau Debit Maybank atau Maybank Islamik
  3. Memiliki nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan Maybank untuk tujuan TAC

Sekiranya anda tidak memenuhi syarat-syarat di atas, anda boleh mengunjungi mana-mana cawangan Maybank berdekatan untuk mendapatkan bantuan bagi membolehkan anda menggunakan perkhidmatan Maybank2u.

Bagi anda yang telah memenuhi syarat-syarat di atas, anda boleh memilih sama ada ingin mengunjungi mana-mana cawangan Maybank berdekatan untuk mendapatkan bantuan mendaftar Maybank2u, ataupun meluangkan masa beberapa minit sahaja dengan mendaftar menggunakan gadget dan rangkaian internet di rumah anda sahaja.

Ikuti Langkah Di Bawah Untuk Mendaftar Maybank2u

Sekiranya anda memilih untuk mendaftar Maybank2u secara atas talian, langkah pertama yang perlu anda lakukan adalah untuk memastikan nombor telefon anda telah berdaftar dengan Maybank. Bagi pemilik akaun Maybank baharu, kemaskini daripada Maybank tidak memerlukan anda untuk mendaftar sendiri nombor telefeon tersebut.

Bagi anda yang perlu mendaftar nombor telefon, anda boleh mengunjungi mana-mana mesin ATM Maybank untuk mendaftar. Cara-cara mendaftar adalah seperti berikut;

  1. Masukkan kad ATM anda, dan pilih bahasa
  2. Masukkan 6 digit nombor pin kad ATM anda
  3. Pada paparan “Menu Utama”, pilih “Maybank2u/Phone Banking/ATM SMS Alerts
  4. Kemudian, anda perlu memilih pilihan “Kemaskini Tel. Bimbit M2U TAC
  5. Seterusnya, masukkan nombor telefon anda pada ruangan yang disediakan, kemudian tekan “Ya”
  6. Anda akan mendapat pengesahan bahawa proses pendaftaran telah berjaya

Sekiranya anda tidak memiliki masalah berkenaan dengan nombor telefon anda, anda boleh terus melayari laman web www.maybank2u.com.my. Pada penjuru kanan sebelah atas laman web tersebut, anda akan mendapati anda mempunyai 3 pilihan iaitu, “Personal”, “Business” dan “Register Now”. Anda perlu klik pada “Register Now”.

Selepas itu, anda akan di bawa ke halaman yang lain iaitu halaman “Ready to create an account?”. Pada halaman tersebut anda perlu memasukkan nombor kad atau nombor akses (nombor yang anda perlu dapatkan di cawangan Maybank sekiranya anda tidak mempunyai kad ATM atau Debit) dan nombor pin 6 digit anda. Kemudian, tandakan/“tick” pada ruangan “I AGREE WITH THE TERMS AND CONDITIONS”. Seterusnya anda klik “CONTINUE”.

Seterusnya anda akan di bawa ke halaman “Create your Profile”. Di halaman tersebut, anda boleh mencipta nama akaun anda di ruangan “Username”. Kemudian ciptakan kata laluan untuk akaun anda pada ruangan “Password” dan “Confirm Password”. Seterusnya, masukkan alamat emel anda di ruangan “E-Mail”. Selepas itu, anda perlu klik “Request For TAC”. Anda akan menerima satu SMS yang mengandungi 6 digit nombor TAC, masukkan pada ruangan “TAC”. Kemudian anda klik “Next”.

Pada halaman berikutnya, anda akan diminta untuk memilih gambar pada ruangan “Image” untuk tujuan keselamatan. Anda juga boleh memuat naik gambar mengikut citarasa anda. Pada ruangan “Security Phrase”, anda perlu mencipta atau memasukkan apa-apa perkataan yang anda boleh ingat seperti NAMAKUCING. Kemudian, pilih 3 soalan di ruangan “Memorable Question”, dan jawab ketiga-tiga soalan tersebut dan simpan rekod-rekod tersebut untuk rujukan masa hadapan.

Selepas itu, anda boleh klik “Done”. Anda akan menerima satu SMS yang menunjukkan bahawa proses pendaftaran anda telah berjaya, dan anda dapat mengakses akaun anda melalui Maybank2u.

Imej via khairilhazri

Cara Log Masuk Ke Maybank2u

Untuk log masuk atau “login” ke akaun Maybank2u anda, anda boleh layari www.maybank2u.com.my atau boleh memuat turun aplikasi Maybank2u melalui peranti mudah alih iOS atau Android anda. Sekiranya anda menggunakan www.maybank2u.com.my untuk menggunakan Maybank2u, anda akan melihat ruangan “My Username” di tengah-tengah halaman laman utama tersebut. Sila masukkan nama akaun anda di ruangan tersebut. Kemudian anda perlu klik “Login”.

Selepas anda tekan “Login”, satu kotak yang mengadungi gambar sekuriti pilihan anda dan frasa “Is your security phrase (security phrase yang anda cipta sewaktu anda mendaftar Maybank2u)?”. Sekiranya “security phrase” tersebut bukan kepunyaan anda, maka anda perlu klik “NOT ME” di mana anda akan di bawa ke laman utama untuk memasukkan semula nama akaun anda. Sekiranya betul, anda boleh klik “YES”.

Setelah anda klik “YES”, anda perlu memasukkan kata laluan anda di ruangan “My Password”. Kemudian anda boleh klik “LOGIN”. Selepas itu anda akan di bawa ke laman utama akaun anda yang memaparkan maklumat tentang akaun simpanan anda. Ini bermakna proses log masuk anda sudah berjaya.

Anda bukan hanya sahaja boleh menyemak maklumat tentang akaun simpanan anda melalui Maybank2u, malahan anda juga boleh melakukan transaksi-transaksi seperti pemindahan wang, pembayaran bil, menambah nilai kredit telefon dan banyak lagi. Ini kerana Maybank2u bertujuan untuk membantu anda menjimatkan masa, wang dan tenaga. Kini, anda tidak perlu lagi beratur panjang di cawangan-cawangan atau di mesin-mesin ATM dan Debit Maybank untuk menggunakan khidmat perbankan Maybank.

Jemput juga baca tentang cara daftar CIMB Clicks dan cara daftar ASB online

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.