Anak-anak zaman moden kebanyakannya menghabiskan masa dengan gadjet. Tak kira sama ada handphone, ipad, permainan video, atau menonton televisyen sepanjang hari. Tak ramai yang kenal permainan tradisonal melayu. Apa kata kita perkenalkan permainan tradisional melayu kepada anak-anak agar warisan ini tidak hilang ditelan zaman.

1. Pondok-pondok

Pondok-pondok adalah permainan tradisional melayu yang paling menyeronokkan. Ia adalah peluang untuk kita menggunakan imaginasi seluas-luasnya. Katakan hari ini kita memilih untuk menjadi tuan kedai makan. Kita akan membuka kedai makan dengan menggunakan pelepah kepala sebagai meja makan dan memasak dalam tin milo yang dikutip dari tempat membakar sampah. Atau jika kita memilih untuk menjadi cikgu, murid-murid akan duduk bersusun di hadapan kita tunggu untuk diajar.

2. Rounders

Anda ada kenangan manis bermain rounders bersama kawan-kawan semasa kecil dulu? Pastinya ia satu kenangan yang manis. Penuh dengan gelak ketawa dan gurauan sesama sendiri. Permainan rounders adalah lebih kurang sama seperti kriket dan baseball. Untuk bermain, anda akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan akan membaling dan menangkap bola sementara satu kumpulan lagi akan memukul bola dan berlari untuk menghabiskan satu pusingan padang. Ia adalah permainan berpasukan yang mengeratkan hubungan persahabatan.

3. Kawin-kawin

Selain pondok-pondok, kawin-kawin juga adalah permainan tradisional melayu yang terkenal di kalangan anak-anak zaman 80an dan 90an. Dua orang akan dipilih menjadi pengantin. Pengantin perempuan akan dihias dengan cantik. Kemudian akan disandingkan di atas pelamin yang berhias. Kemudian akan ada acara tepung tawar dan makan-makan kenduri kawin. Ini adalah permainan yang sangat menghiburkan.

4. Congkak

Siapa yang tak pandai main congkak, dia rugi. Pada zaman dulu, permainan congkak adalah aktiviti masa lapang bukan saja bagi kanak-kanak malah untuk orang dewasa juga. Congkak kayu bersama guli adalah hiburan diwaktu petang sambil mengambil angin. Bagi anak kampung pula, permainan congkak adalah menggunakan congkak tanah. Korek lubang ditanah dan main dengan batu. Selepas penat bermain, kuku akan menjadi hitam dipenuhi tanah. Ini adalah di antara kenangan indah zaman kanak-kanak satu masa dulu.

5. Batu seremban

Batu serembang adalah permainan tradisional melayu yang masih terkenal hingga hari ini. Bagi kami anak kampung, kami menggunakan batu yag dikutip ditepi jalan untuk bermain batu seremban. Bagi mereka yang sedikit moden, akan bermain dengan bunjut kain yang dijahit khas untuk permainan ini. Seperti congkak, batu serembang adalah permainan yang sesuai untuk seisi keluarga. Ia diaminkan untuk mengisi masa terluang diwaktu petang.

Sumber: Twitter

6. Baling selipar

Anda pernah bermain baling selipar? Permainan ini agak ganas dan kurang sesuai jika anda seorang yang lembik dan kuat menangis. Ia adalah permainan berkumpulan. Anda akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama akan membuat balingan ke arah selipar dan membuat cubaan untuk menyusun kembali selipar, manakala kumpulan kedua akan membaling selipar ke arah kumpulan lawan. Siapa yang terkena selipar akan terkeluar.

7. Baling tin

Permainan tradisional melayu yang seterusnya ialah main baling tin. Permainan ini lebih kurang sama seperti baling selipar. Cuma ia menggunakan tin susu terpakai. Tin susu akan disusun menjadi susunan tinggi, kemudian dibaling sehingga susunan runtuh. Kemudian ahli kumpulan perlu menyusun semula tin tadi kepada susunan asal. Permainan ini agak ganas terutamanya jika anda bermain dengan kanak-kanak yang lebih besar. Tapi ia amat menyeronokkan.

8. Galah panjang

Galah panjang adalah permainan kegemaran rakyat Malaysia tak kira usia. Dari kanak-kanak sehingga dewasa, semuanya suka bermain galah panjang. Malah kami juga suka bermain galah panjang di sekolah sementara menunggu waktu rehat tamat. Untuk bermain, masing-masing akan berdiri memeluk tiang sambil menunggu untuk menangkap kawan yang berlari laju dalam cubaan untuk melepasi penjaga- penjaga tiang.

Habis waktu sekolah, permainan galah panjang akan disambung di halaman rumah pula. Kali ini permainannya jauh lebih menarik. Petak-petak besar akan dilukis diatas tanah menggunakan ranting kayu. Pemain akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan akan menjaga petak, manakala satu kumpulan lagi akan berlari melepas penjaga petak.

9. Lompat getah

Anak-anak zaman dahulu memang kreatif. Gelang getah pun boleh dijadikan sebagai permainan. Gelang getah akan disambung-sambungkan sehingga panjang dan kemudian siap untuk digunakan. Terdapat dua cara untuk bermain lompat getah iaitu:

  • Zerofon. Untuk permainan ini, anda dan kawan-kawan akan melompat getah mengikut ketinggian. Bermula dari lutut, naik ke pinggang, diikuti bahu dan kepala. Siapa mampu melompat paling tinggi, dia adalah pemenang.
  • Skipping. Untuk permainan ini, getah akan diayun-ayunkan sambil ramai-ramai menyanyi, dan seorang pemain akan melompat-lompat seperti menari di atas getah tersebut. Ini adalah permainan lompat getah kegemaran kami.
Sumber: Naeltrg

10. Gasing

Permainan tradisional melayu yang terakhir ingin kami kongsikan ialah gasing. Satu masa dulu, gasing menjadi fenomena di Malaysia sehinggakan semua orang bermain gasing diwaktu petang. Dari kanak-kanak yang bermain gasing plastik yang dibeli di kedai sehinggalah golongan dewasa yang bermain gasing buatan sendiri dari kayu yang dihias cantik. Malah terdapat kejohanan gasing peringkat kebangsaan yang diadakan secara meriah. Hari ini, sudah tak ramai yang bermain gasing.

Itulah dia permainan tradisional melayu yang sangat mengundang nostalgia. Indah sungguh zaman kanak-kanak kita satu masa dahulu. Semoga permainan-permainan ini akan terus kekal dan tak hilang ditelan zaman. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang lagenda melayu, matawang kesultanan melayu Melaka, dan orang melayu hebat.

Rujukan:
Bidadari.my

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.