Pernah dengar peribahasa, gajah bergaduh sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah?

Mungkin boleh kita kaitkan peribahasa ini dengan situasi ekonomi yang sedang hangat melanda dunia, apabila dua gergasi ekonomi yang mengawal pasaran ekonomi global, Amerika Syarikat (AS) dan China, mula menunjukkan taring masing-masing dan melancarkan perang dagang sesama mereka.

Artikel ini akan cuba mengupas keadaan perang dagang ini dan kesannya ke atas kemakmuran ekonomi negara-negara lain.

Jom baca!

Pengenalan

Perang dagang Amerika Syarikat-China mula dirasakan secara serius pada pertengahan tahun 2018 dan berlanjutan sehingga kini dengan pelbagai siri rundingan diadakan bagi mencapai kata sepakat antara kedua-dua negara.

Semuanya bermula apabila Presiden AS, Donald Trump menaikkan tarif eksport ke dalam Amerika dan bertindak mengugut negara lain untuk tunduk dengan pentadbirannya.

Trump menaikkan tarif eksport dengan niat untuk melindungi produk dan pasaran tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap produk luar.

Dari segi perdagangan, Amerika seolah menyasarkan China untuk dijadikan “musuh” dalam perang dagang ini kerana berdasarkan statistik, AS mengimport sebanyak $540 bilion barangan China, manakala China hanya mengimport sebanyak $120 bilion barangan AS.

Selain China, AS juga telah menaikkan tarif untuk eksport antaranya ke atas Eropah, Kanada, Jepun dan Korea Selatan.

Tindakan ini boleh dianggap sebagai tindakan yang zalim demi kepentingan tertentu kerana secara terang-terangan telah melanggar sistem perdagangan sejagat dan peraturan yang digariskan oleh World Trade Organization (WTO).

Siri Tekanan Ekonomi dan Peperangan Dagang AS-China

Imej via iLabur

Dakwaan China melanggar perjanjian perdagangan

Amerika mendakwa bahawa China telah melanggar hak harta intelektual dan ingin campur tangan WTO bagi menyekat kemaraan perdagangan China.

Sebaliknya, China menyangkal dakwaan ini disebabkan tiada bukti yang kukuh dan tidak boleh dikenakan tindakan oleh WTO.

Dengan liciknya, Trump “menghukum” China dengan menaikkan tarif import barangan China ke AS.

Kenaikan Tarif

Tarif sebanyak 15% telah dikenakan ke atas $300 bilion barangan dari China yang tentunya menyebabkan harga pasarannya meningkat secara mendadak.

Ironinya, 2/3 daripada barangan di AS datang dari China memandangkan syarikat AS gemar memilih China yang menjalankan kos operasi yang murah dan pukal.

Berdasarkan kajian ahli ekonomi di sana, tindakan kenaikan tarif ini telah meningkatkan kos hidup penduduk Amerika bertambah sebanyak $1000 bagi tempoh setahun.

Bagi Trump, lebihan tarif dari barangan import ini akan disalurkan kepada pendapatan Amerika yang dianggap sebagai suntikan untuk membangunkan ekonomi negara mereka.

Bagi membalas serangan perang dagang AS ini, China telah mengenakan tarif sebanyak $75 bilion kepada barangan AS.

Rundingan US-China

Pada pertengahan 2019, Amerika Syarikat telah meningkatkan perang tarif dengan China dengan menaikkan levi terhadap barangan China yang bernilai hampir AS$200 bilion di tengah-tengah rundingan terakhir untuk menyelamatkan perjanjian perdagangan antara dua negara tersebut.

Presiden AS, Donald Trump menggunakan dasar perlindungan sebagai sebahagian daripada agenda “Amerika Diutamakan”, dan mengeluarkan arahan supaya tarif dinaikkan dengan alasan, China “memungkiri janji” apabila  komitmen awal yang dilakukan ketika rundingan dinafikan oleh mereka.

China mengancam untuk bertindak balas dengan situasi perang tarif ini tetapi masih bersetuju untuk kekal di meja rundingan.

Hasil rundingan ini malangnya tidak memberikan jalan penyelesaian yang muktamad.

Sidang kemuncak G20

Presiden China, Xi Jinping dan Presiden AS, Donald Trump, ketika sama-sama menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun telah bersetuju untuk menggalakkan hubungan China-AS melalui penyelarasan, kerjasama dan kestabilan.

Tiada tarif baru ditambah untuk barangan import kedua-dua negara.

Kesan Perang Dagang US-China

Imej via China Daily

Menjejaskan perniagaan di Asia Pasifik – banyak pelaburan luar terbatal atau tertangguh

Pada tahun 2019, semakin banyak perniagaan telah mengkaji semua rantaian bekalan dari China dan AS.

Satu kajian ke atas 144 responden operasi global di Asia Pasifik dan Asia Tenggara menyatakan bahawa 41% daripada perniagaan mereka menerima impak yang negatif sederhana, 8% impak negatif besar manakala 32% lagi tidak menerima sebarang impak daripada kesan perang dagang ini.

Di samping itu, seramai 40% daripada mereka menjangkakan perang dagang AS-China ini akan berlanjutan dan meningkat manakala 30% lagi sama-sama merasakan sama ada perang dagang ini akan kekal sama atau berakhir dalam jangka masa terdekat.

Terdedah kepada kerugian

Laporan Reuters yang menggunakan data Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) bagi mengira nilai tambah yang ada dalam eksport ke China, melaporkan bahawa negara yang paling banyak terdedah kepada kerugian daripada pengurangan eskport ke China ialah Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan termasuklah Malaysia, kerana negara-negara ini mengamalkan rantaian bekalan dan keterbukaan perdagangan.

Tempias manfaat

Vietnam adalah negara yang telah mendapat manfaat besar daripada perang perdagangan ini. Perang dagang ini telah menyebabkan peningkatan kukuh eknomi negara mereka disebabkan persekitaran dan kos rendah untuk perniagaan.

Sementara itu, syarikat antarabangsa juga sudah mula merancang untuk menjadikan India sebagai negara lokasi utama untuk sektor pembuatan.

Malaysia di tengah-tengah

Kita mengeksport komponen seperti bahan elektronik yang digunakan dalam produk seperti telefon bimbit dan komputer ke kedua-dua negara China dan Amerika. Nilai eksport ini akan terjejas jika perang dagang ini terus berlarutan.

Secara keseluruhannya, kira-kira 60% eksport Malaysia bergantung kepada rantaian bekalan global, sementara kira-kira 48% lagi dieksport ke China dan 40%peratus ke Amerika.

Kita juga masih mempunyai beberapa projek rundingan dengan China seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pelaburan syarikat China yang lain.

Tambahan pula, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia perlu memanfaatkan perang dagang US-China ini untuk merancakkan ekonomi negara.

Hal ini disebabkan kebanyakan syarikat-syarikat besar China dan AS sudah mula mengalihkan operasi masing-masing ke rantau Asia, termasuklah Malaysia.

Negara kita boleh menawarkan laluan pasaran bagi mereka memandangkan pasaran di rantau ASEAN juga sudah cukup luas dan menguntungkan apa-apa perdangangan.

Usaha Malaysia untuk Keluar dari Kemelut AS-China

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk  memantau dan menilai perkembangan konflik dagangan yang melibatkan AS-China ini.

Strategi ekonomi akan dirangka bagi meringankan kesan daripada perlindungan perdagangan terbabit.

Selain itu, pasukan ini secara berterusan akan memantau dan menyelaraskan maklum balas daripada pelbagai pemegang yang berkepentingan terhadap peningkatan konflik perdagangan AS-China.

Malaysia juga telah membentangkan kebimbangan ini di forum ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai perkara ini.

Kesimpulan

Konflik atau perang dagang tidak memberi sebarang manfaat bagi mana-mana negara, malah sekatan ekonomi ini hanya akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara-negara yang terlibat, terutamanya negara kecil.

Semua negara sepatutnya sudah mula menghentikan pembentukan dasar perlindungan dan mula menyelesaikan isu perdagangan bersama-sama melalui dialog pelbagai hala untuk mengukuhkan dan membaiki sistem perdagangan sedia ada.

Rujukan

  1. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/06/578291/perang-dagang-china-jejaskan-perniagaan-asia-pasifik
  2. https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/08/458904/malaysia-asia-terdedah-risiko-perang-dagang-amerika-china
  3. Li, C., He, C., & Lin, C. (2018). Economic impacts of the possible China–US trade war. Emerging Markets Finance and Trade, 54(7), 1557-1577.
  4. Özer, A. C. (2020). The Effect of the US-China Trade War on Global Trade. In International Trade Policies in the Era of Globalization (pp. 56-70). IGI Global.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.