Secara konsepnya, pelaburan emas adalah “Menyimpan Emas”, dengan melabur didalam emas, ia bermakna emas tersebut disimpan dan tidak diniagakan dimana-mana pasaran. Harga emas didunia yang naik dan turun secara moderate akan mengubah nilai emas saudara menjadi semakin tinggi.
Jika dilihat sekarang, trend pelaburan emas mula mendapat perhatian semula. Bagi mereka yang konsisten membeli dan menyimpan emas pada tahun-tahun kejatuhan harga emas sebelum ini, pastinya sekarang tersenyum gembira. Melihat nilai emas yang disimpan mencatatkan keuntungan.
Bagi mereka yang baru nak mulakan pelaburan emas sekarang, pastinya tertanya-tanya, adakah trend kenaikan harga emas ini akan terus kekal? Atau dah pun capai kemuncak, dan akan mula jatuh selepas ini?
Namun bagi yang ingin berjinak dalam pelaburan ini, anda boleh ikut tips-tips ini.
Bila sebut pelaburan emas fizikal terbayang adalah dengan mengeluarkan dengan sejumlah wang dan dengan tunggu tempoh tertentu. Atau kata lain tempoh matang akan menerima pulangan keuntungan berganda-ganda.
Pelaburan didalam emas fizikal yang dimaksudkan adalah membeli emas dengan jumlah gram tertentu dan simpan untuk simpanan jangka masa panjang. Pada masa tempoh simpanan, harga emas akan meningkat yang menguntungkan bagi pelabur emas jangka masa panjang.
Sebelum ini mungkin ramai yang percaya bahawa harga emas ditentukan oleh permintaan dan tawaran (demand and supply) sahaja.
Jika permintaan tinggi dan penawaran rendah, harga emas akan melonjak naik, dan begitu juga sebaliknya. Sebenarnya, ini adalah konsep yang kurang tepat.
Banyak faktor lain yang mempengaruhi harga emas selain faktor permintaan dan tawaran. Faktor lain seperti sentimen pasaran yang lemah, ketidaktentuan ekonomi dan kejadian-kejadian ‘luarbiasa’ seperti perang dan bencana besar. Semua faktor ini boleh mempengaruhi harga emas walaupun paras permintaan dan tawaran emas adalah normal.
Harga emas tidak naik mencanak didalam masa sehari atau beberapa bulan. Ini kerana harganya ada turun naik kerana ia adalah komoditi yang diniagakan. Berbalik kepada asas ekonomi ada ‘demand dan supply’ atau kata lain ‘permintaan dan bekalan’.
Bila permintaan tinggi dan bekalan tidak cukup secara langsung harga naik dan begitu. Sebaliknya kalau bekalan banyak dipasaran maka harga akan turun.
Selain daripada itu, harga emas turut dipengaruhi kestabilan nilai US Dollar. Dalam kebanyakan situasi, semakin stabil nilai US Dollar, semakin lemah harga emas. Oleh itu, sebarang faktor yang memberi kesan ke atas nilai US Dollar, akan turut sama memberi kesan kepada harga emas.
Harga emas boleh dipengaruhi banyak faktor. Maka amat sukar untuk meramal pergerakan harga emas pada masa hadapan.
Boleh sahaja harga emas terus menaik, atau tiba-tiba turun dengan mendadak. Oleh itu, janganlah mudah percaya jika ada yang kata harga emas akan terus naik dan naik.
Ramai yang terlibat dalam pelaburan emas disebabkan anggapan mereka bahawa emas adalah penyimpan nilai terbaik.
Misalnya, apabila berlaku ketidaktentuan dalam pasaran saham, ramai pelabur menukar pelaburan saham mereka kepada emas. Dengan harapan emas dapat menyimpan nilai pelaburan mereka.
Malah, orang yang mempromosikan pelaburan emas sering menggunakan terma “emas kalis inflasi” sebagai ungkapan popular untuk menarik orang membeli dan menyimpan emas.
Fakta yang sebenar, walaupun emas adalah penyimpan nilai yang baik, namun emas bukanlah penyimpan nilai yang terbaik.
Emas tidak kalis inflasi sepenuhnya.
Sepertimana yang dinyatakan dalam poin pertama di atas, harga emas boleh turun naik setiap masa dan dipengaruhi oleh banyak faktor.
Ada masanya harga emas akan naik, dan ada masanya harga emas akan turun malah lebih teruk daripada kenaikan inflasi.
Tambahan lagi, mengikut kajian, sifat turun naik harga emas (volatility) adalah lebih tinggi berbanding volatility pasaran saham/ekuiti. Ini bagi tempoh 5, 10 dan 20 tahun terdahulu.
Oleh kerana sifat volatility yang tinggi ini, pelaburan emas juga merupakan satu pelaburan yang berisiko. Untuk anda banyak perkara perlu difikirkan sebelum memulakan pelaburan emas. Dan pelaburan emas lebih sesuai untuk tempoh jangka masa panjang supaya dapat menyerap kesan turun-naik harga emas.
pelaburan emas boleh dilakukan dalam pelbagai cara, terpulang kepada pelabur untuk memilih cara pelaburan yang terbaik dan sesuai dengan objektif dan toleransi risiko masing-masing.
Pelaburan emas yang paling popular adalah menerusi emas fizikal, samaada dalam bentuk barang kemas, gold bar atau syiling dinar emas.
Masalah utama dengan emas fizikal adalah penyimpanannya. Jika disimpan sendiri di rumah boleh terdedah kepada risiko dicuri, disimpan di dalam peti simpanan bank akan dikenakan caj pula.
Jadi, sebagai alternatif kepada pelaburan emas dalam bentuk fizikal, mungkin boleh dipilih instrumen-instrumen pelaburan emas yang lain.
Mungkin boleh pilih pelaburan emas dalam bentuk sijil/akaun pelaburan emas sepertimana yang ditawarkan beberapa bank.
Sijil/akaun pelaburan emas adalah pilihan instrumen pelaburan emas yang baik. Namun bilangannya adalah terhad, terdapat isu kepatuhan syariah dan caj-caj tersembunyi seperti caj servis dan caj pengeluaran.
Alternatif lain, boleh terlibat dalam pelaburan emas secara tidak langsung melalui dana unit amanah atau ETF yang melabur dalam sektor emas.
Boleh juga secara tidak langsung terlibat dalam pelaburan emas melalui pasaran saham. Iaitu dengan membeli saham syarikat-syarikat yang menjalankan operasi berkaitan emas seperti menjual atau melombong emas.
Tetapi, jika ingin terlibat dalam pelaburan emas melalui dana unit amanah, ETF atau pasaran saham, bukan sahaja perlu meramal harga emas pada masa hadapan. Malah perlu punyai kemahiran memilih syarikat terbaik melalui analisa fundamental.
Risiko pelaburan emas sama juga seperti pelaburan yang lain. Ada masanya pulangan adalah baik, ada masanya akan berlaku sebaliknya.
Tambahan lagi, emas merupakan item komoditi yang mana turun-naik harganya adalah sukar diramal. Emas juga tidak mempunyai intrinsic value seperti aliran tunai atau hasil dividen.
Malah, trend kenaikan harga emas sekarang tidak diketahui samaada akan berterusan dalam tempoh yang panjang atau berlaku seketika sahaja. Anda perlu mempunyai ilmu yang cukup untuk terjun ke dalam pelaburan ini. Jangan sampai tertipu.