Jom baca biodata penuh Lee Thiam Wah.


Lee Thiam Wah telah terpaksa bergantung kepada kerusi roda semenjak usia beliau lapan bulan dan hanya menjalani pendidikan secara formal selama enam tahun iaitu sehingga darjah 6 sahaja. Walau bagaimanapun, beliau sekarang ini merupakan pengasas, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk pasaraya 99 Speedmart yang memiliki lebih daripada 1000 cawangan dan mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM2.1 bilion.

Nama penuh pengasas pasaraya 99 Speedmart ini adalah Lee Thiam Wah dan merupakan warganegara Malaysia berbangsa cina. Beliau merupakan penganut agama buddha. Beliau dilahirkan pada tahun 1954 dan mempunyai 11 orang adik beradik. Bapa beliau merupakan seorang buruh binaan, manakala ibu beliau merupakan seorang penjaja makanan jalanan. Seperti yang dinyatakan di atas, peringkat tertinggi pendidikan beliau adalah hanya setakat tamat sekolah rendah iaitu sehingga darjah 6.

Kisah Kejayaan Lee Thiam Wah

Kehidupan Lee sentiasa dipenuhi dengan cabaran-cabaran yang getir pada setiap masa. Pada usia seawal lapan bulan, beliau didiagnos menghidap penyakit polio (poliomyelitis), dan telah menyebabkan beliau kehilangan fungsi kedua-dua belah kaki beliau. Selain daripada itu, kekangan kewangan juga terlalu besar untuk kedua-dua ibu bapa beliau, oleh sebab itu, ibu bapa beliau hanya mampu menampung perbelanjaan sehingga ke darjah 6 sahaja untuk diri beliau.

Walau bagaimanapun, kekurangan dan kekangan tersebut tidak menghalang beliau, malahan kecacatan diri beliau juga tidak mempengaruhi semangat dan keinginan beliau untuk berjaya dalam kehidupan. Beliau mula berniaga dengan menjual makanan ringan di tepi-tepi jalan, sehingga akhirnya beliau berjaya mengumpul wang simpanan sebanyak RM17,000 pada usia beliau baru 23 tahun.

Wang simpanan tersebut digunakan oleh beliau untuk membuka sebuah kedai runcit yang bernama Pasar Raya Hiap Hoe, yang mana telah menjadi titik permulaan kerjaya beliau di dalam industri peruncitan. Permulaan yang sederhana ini telah membolehkan Lee untuk mendapatkan dan mengumpul maklumat dan ilmu pengetahuan tentang pasaran runcit melalui pelbagai interaksi beliau bersama para pelanggan beliau dan juga para pembekal.

Pada tahun 1992, Lee menjual perniagaan beliau (Pasar Raya Hiap Hoe) dengan harga sebanyak RM38,000. Beliau kemudiannya menubuhkan pasar mini 99 di Klang Utama. Penubuhan ini merupakan langkah pertama yang beliau ambil dalam merealisasikan visi dan impian beliau untuk membina sebuah rangkaian pasaraya yang bersepadu.

Dengan dedikasi yang tinggi serta kerja keras, Lee telah berjaya meluaskan pasar mini 99 ke lapan cawangan lain di Klang melalui format kedai rangkaian (chain-store). Apabila populariti pasar mini 99 semakin meningkat, Lee telah menjenamakan semula pasar mini 99 kepada 99 Speedmart pada tahun 2000.

Usaha beliau untuk memperbaiki model perniagaan 99 Speedmart selama dua tahun telah memberikan hasil dan kesan yang amat menggembirakan dengan peningkatan jumlah pelanggan dan juga pembukaan cawangan-cawangan baru. Peningkatan dan penerimaan ini meyakinkan Lee bahawa rangkaian hebat 99 Speedmart yang baru sudah bersedia untuk dilancarkan.

99 Speedmart telah menerima Anugerah Pilihan Pengguna daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Malaysia pertamanya pada tahun 2006. Anugerah tersebut telah membuktikan kejayaan 99 Speedmart dalam memenangi hati dan pilihan pengguna di Malaysia. Di bawah kepimpinan beliau, 99 Speedmart secara berterusan telah dianugerahkan Anugerah Pilihan Pengguna dari tahun 2006 hingga tahun 2009 dan tahun 2012 serta Anugerah Kedai Harga Patut pada tahun 2010, 2012 dan 2014.

Setakat hari ini, 99 Speedmart mempunyai lebih daripada 1000 cawangan di seluruh Malaysia dan mempunyai lebih daripada 6,000 pekerja. Dengan 10 buah pusat pengedaran dan lebih dari 250 buah trak dan lori, 99 Speedmart yang berkembang dengan pesat dan membolehkan 99 Speedmart menguruskan penghantaran ke 300 cawangan setiap hari.

Imej via Iluminasi

Prinsip dan sifat percaya pada diri sendiri yang wujud dalam diri Lee telah membimbing beliau untuk mencapai hasil yang terbaik. Walaupun ketika menghadapi cabaran dan krisis yang paling sukar, beliau sentiasa berfikiran positif dan berusaha menjalankan perniagaan beliau dalam cara yang paling baik, yang mana telah mewujudkan kepercayaan dan kejujuran di antara cawangan-cawangan beliay dan para pembekal beliau.

Selain itu, Lee tidak pernah meninggalkan lawatan mingguan beliau ke cawangan-cawangan 99 Speedmart atau operasi harian syarikat bersama-sama pasukan pengurusan beliau. Dalam usaha untuk mencapai misi syarikat, Lee amat mementingkan pengguna dengan membekalkan barangan kegunaan harian dengan harga yang berpatutan.

Kesungguhan beliau yang tidak pernah pudar inilah yang membolehkan beliau mengubah kebanyakan rakan perniagaan kepada kawan baik dan sudi untuk berkolaborasi dengan 99 Speedmart. Sebagai penghargaan terhadap usaha-usaha beliau, beliau telah dianugerahkan anugerah Usahawan Cemerlang pada tahun 2014 oleh The Chinese Chamber of Commerce & Industry Kuala Lumpur and Selangor (KLSCCCI).

Dengan dua dekad kejayaan yang telah dicapai, Lee mengakui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk membangun, dengan masih banyak lagi ruang untuk diterokai. Selagi terdapat kawasan yang mempunyai 2000 hingga ke 3000 jumlah peduduk, ianya sesuai untuk membuka cawangan 99 Speedmart.

Buat masa sekarang, Lee tidak tergesa-gesa dalam mengembangkan perniagaan beliau ke luar negara. Namun begitu, pada 14 Disember 2019, sebuah cawangan 99 Speedmart telah dibuka di 100 Sims Avenue, Singapura, menjadikan ia sebagai cawangan luar negara yang pertama.

Selain itu, pembukaan ibu pejabat 99 Speedmart yang baru di Taman Berkeley, Klang juga merupakan satu lagi penanda kejayaan kepada beliau. Walaupun telah membuka cawangan di luar negara, ianya merupakan tujuan utama beliau untuk mengembangkan 99 Speedmart di setiap pelosok Malaysia sebelum meluaskan lagi perniagaan di peringkat antarabangsa.

Kesimpulan

Lee telah membuktikan bahawa kerja keras dan tekad merupakan kunci kejayaan dalam setiap perkara apabila seseoranh itu telah menetapkan tujuannya. Lee telah menyediakan jalan beliau sendiri untuk berjaya. Beliau tidak menghiraukan fakta yang beliau berkerusi roda, tidak pandai berbahasa Inggeris dan hanya memiliki pendidikan sekolah rendah.

Beliau seorang yang berdikari dan bekerja keras lebih daripada orang lain, dan pengalaman dan ilmu yang diperoleh beliau telah meningkatkan diri beliau. Malahan, berkerusi roda bukan merupakan satu halangan dalam hidup beliau, namun beliau menggunakan apa yang beliau miliki untuk membina sesuatu untuk diri beliau sendiri, keluarga dan masyarakat.

Di samping itu, 99 Speedmart merupakan kerjaya seumur hidup Lee, dan beliau tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perniagaan beliau itu. Walaupun beliau mengendalikan lebih daripada 1000 buah cawangan, beliau masih lagi mencari peluang untuk pelaburan bagi mempromosikan pertumbuhan perniagaan.

Akhir sekali, Lee sentiasa berpegang kepada nasihat yang sentiasa diberikan kepada diri beliau dan juga kepada para pekerja dan rakan-rakan beliau, iaitu;

“Berusahalah untuk kesempurnaan (99 markah), namun mengetahui masih lagi ada ruang untuk penambahbaikan.”

Jemput juga baca artikel tentang kata-kata semangat untuk usahawan dan buku pengurusan kewangan

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.