Jom ketahui kesan kemiskinan. Membesarkan anak-anak memerlukan sumber kewangan yang kukuh dan stabil bagi memastikan mereka mendapat akses dan kemudahan yang cukup dan selesa.

Dalam Islam sendiri mengharuskan membina institusi kekeluargaan apabila sudah cukup lengkap dengan keupayaan menyara setiap ahli keluarga dan mengharamkan sesiapa yang berkahwin dengan niat untuk menganiaya dengan sengaja pasangan dan ahli keluarga yang lain.

Islam juga ada menyarankan bahawa tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima, menunjukkan bahawa kita digalakkan untuk memiliki harta/rezeki yang lebih untuk sentiasa menyumbang kepada orang lain.

Berpunca daripada duit juga boleh menyebabkan keretakan rumah tangga. Antara kesan psikologi dan emosi yang terjejas ialah anak-anak.

Dalam artikel ini, penulis cuba mengulas kesan kemiskinan ke atas tahap kognitif atau keupayaan membuat keputusan, berdasarkan kajian-kajian lepas.

Ayuh baca!

Pengenalan

Banyak kajian lepas melaporkan bahawa kemiskinan mempunyai hubungan korelasi yang sangat tinggi dengan kelakuan atau keupayaan membuat keputusan yang kurang baik.

Golongan miskin ini didapati tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat, gagal mematuhi saranan doktor untuk mengambil ubat mengikut arahan yang betul, kurang disiplin, tidak mematuhi masa dan merupakan pekerja yang bermasalah atau kurang produktif.

Keadaan ini sangat membimbangkan banyak pihak terutama sekali jika keadaan ini berlanjutan dan tidak diubah, golongan miskin ini akan terus miskin dan tidak akan mengubah status sosial mereka.

Menariknya, apabila ditinjau secara rawak, kelakuan mereka ini sebenarnya berpunca daripada kurang motivasi diri yang disebabkan oleh faktor kemiskinan yang melanda hidup mereka.

Faktor Tambahan yang Menekan Golongan Miskin

Imej via iLabur

Sudahlah hidup mereka susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, keupayaan kognitif mereka turut dijejaskan dengan adanya faktor persekitaran yang mengeruhkan lagi keadaan.

Antaranya, tekanan daripada institusi ekonomi di kawasan mereka seperti

  • harga barangan runcit yang tidak mampu milik
  • penglibatan ‘along’ peminjaman wang dengan kadar bunga yang sangat tinggi berbanding pinjaman wang (golongan miskin tidak layak meminjam dengan pihak bank)
  • masalah pengangkutan, dan
  • kesukaran capaian kepada mereka (kebanyakan golongan miskin ini tinggal di kawasan luar bandar)

Selain itu, tahap pendidikan mereka yang rendah boleh menimbulkan masalah komunikasi buat mereka,

di samping acuan ibu bapa yang diwarisi secara turun temurun yang tidak mementingkan kesedaran kognitif, akan berterusan dijadikan sebagai pegangan atau cara hidup mereka (kes ini boleh dilihat dengan jelas dalam komuniti orang asli di negara kita).

Proses Berfikir

Golongan miskin khususnya perlu bijak mengatur strategi kewangan mereka kerana mereka ialah antara golongan yang boleh diperdaya untuk menyertai sindiket palsu atau scam yang akan merugikan mereka.

Selain itu, keputusan kewangan yang diambil akan menentukan hala tuju kehidupan mereka seterusnya, khususnya bagi masa depan anak-anak kecil mereka.

Kajian Makmal

Satu kajian makmal dijalankan dengan merangsang peserta dari latar belakang ‘miskin’ dan ‘kaya’ untuk berfikir mengenai keperluan perbelanjaan kewangan harian mereka;

Mereka diberi beberapa senario membuat keputusan seperti:

Jika kereta anda rosak, bagaimana cara anda ingin menyelesaikan bayaran bengkel – bayar habis, buat pinjaman, atau tangguhkan.

Selepas itu, mereka juga diberi peluang untuk menerangkan pilihan atau keputusan mereka.

Teori awalnya, untuk golongan ‘kaya’, mereka tidak kisah berbelanja untuk keperluan harian kerana mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi atau lebih dari cukup.

Berbeza bagi golongan ‘miskin’ yang mudah terganggu dalam membuat keputusan dan sukar memberikan keputusan yang tetap. Golongan ini mempunyai pelbagai faktor untuk dipertimbangkan sebelum membuat sesuatu keputusan, lebih-lebih lagi yang melibatkan perbelanjaan.

Namun, terdapat juga teori yang menyatakan kesan yang lain. Bak kata peribahasa besar periuk besarlah keraknya, golongan ‘kaya’ mungkin juga mempunyai dilema kognitif yang besar.

Sebaliknya, golongan ‘miskin’ yang sudah lali dengan kehidupan mereka yang serba kekurangan dengan mudah dapat menolak godaan melakukan perbelanjaan.

Ringkasnya, kaedah makmal menggunakan simulasi ini tidak mampu menunjukkan mekanisme yang tepat untuk menggambarkan situasi kehidupan sebenar perbelanjaan golongan ‘miski’ mahupun golongan ‘kaya’.

Penilaian Berdasarkan Pendapatan

Imej via iLabur

Terdapat juga kajian yang menilai tahap kognitif mereka yang menerima jumlah pendapatan yang berbeza.

Contohnya, petani akan mendapat bayaran pada musim menuai. Apabila dikaji antara petani yang mendapat bayaran secara lump sum berbanding yang mendapat bayaran secara bulanan, mereka yang lump sum ini gagal menguruskan kewangan dengan baik. Kitaran kemiskinan mereka terus berlaku.

Pemerhatian terhadap komitmen kewangan mereka bagi sepanjang tempoh penilaian ini turut dilakukan seperti kekerapan dan jumlah pinjaman yang dibuat oleh petani ini untuk menampung keperluan sementara mendapat bayaran gaji, perbelanjaan seisi rumah dan perancangan simpanan (tabungan).

Kesan Kemiskinan ke atas Tahap Kognitif

Selepas analisis statistik dilakukan dan dipadankan dengan teori, dapat disimpulkan berdasarkan kajian-kajian lepas ini bahawa kemiskinan menyebabkan pemikiran yang intrusif, perhatian yang lebih dan mengurangkan sumber kognitif, atau dengan kata mudahnya, menyebabkan tekanan dalam kalangan golongan miskin.

Dari segi klinikal pula, kadar denyutan jantung dan tekanan darah golongan miskin adalah lebih tinggi yang menggambarkan keadaan tekanan mental yang tinggi.

Tekanan inilah yang menyebabkan golongan miskin didapati ‘kurang waras’ dalam membuat keputusan.

Tekanan juga dilaporkan menyebabkan peningkatan kapasiti memori otak yang menyebabkan keadaan yang dipanggil ‘tepu’. Keadaan ‘tepu’ ini mengakibatkan orang ramai untuk terus membuat keputusan melulu.

Kesimpulan

Keadaan miskin bukan hanya sekadar tentang kekurangan wang ringgit untuk berbelanja, tetapi nampak gayanya melibatkan masalah keupayaan kognitif.

Keadaan ini turut menjejaskan kualiti kehidupan apabila semakin berat tekanan yang dirasai, semakin sukar golongan ini melalui hari-hari mendatang.

Masalah kekurangan tidur akibat terlalu banyak berfikir akan menyebabkan berlakunya banyak lagi masalah lain seperti masalah kesihatan dan produktiviti kerja harian.

Kajian-kajian lepas yang diringkaskan dan diolah dalam artikel ini menyarankan agar perubahan polisi untuk mengurangkan atau membanteras gejala kemiskinan ini berjaya dilaksanakan untuk masa akan datang demi kemakmuran bersama. Semoga artikel kesan kemiskinan ini membuka minda kita.

Bagi umat Islam, boleh juga kita amalkan doa menghindari rasa malas dan mengelakkan cengkaman ini.

Kredit kepada blog Mohd Zulkifli

Rujukan

  1. Mani, A., Mullainathan, S., Shafir, E., & Zhao, J. (2013). Poverty impedes cognitive function. Science341(6149), 976-980.
  2. Schoon, I., Jones, E., Cheng, H., & Maughan, B. (2012). Family hardship, family instability, and cognitive development. J Epidemiol Community Health66(8), 716-722.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.