Sedar tak sedar, tahun 2020 sudahpun melabuhkan tirainya. Dalam kita berjuang melawan Covid-19, ada banyak kisah viral yang boleh dijadikan sebagai inspirasi berlaku di sekeliling kita.

1. Hijrah Neelofa

Sumber: Gempak

Seluruh negara digemparkan dengan keputusan Neelofa untuk berniqab. Bayangkan dari seorang selebriti yang tidak bertudung, perlahan-lahan beliau berhijrah dan akhirnya memilih untuk menutup wajah jelitanya dari pandangan orang ramai dengan berniqab. Neelofa bukanlah nama yang asing di tanah air, malah beliau telah menempa nama di peringkat antarabangsa.

Selebriti yang bergelar jutawan ini bukan sahaja menjadi idola ramai disebabkan kecantikan paras wajahnya, malah kebijaksanaan beliau dalam berniaga menjadi sumber inspirasi. Apabila Neelofa mula bertudung, ramai pengikutnya yang mula berjinak-jinak untuk bertudung. Semoga langkah Neelofa berniqab akan menjadi semangat untuk ramai wanita menutup aurat dengan sempurna.

2. Pemergian Abam Bocey

Abam Bocey adalah pelawak yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Perwatakannya yang ceria dan lawak yang semulajadi menyebabkan beliau mendapat  tempat di hati rakyat Malaysia. Namun pada 10 Februari 2020, beliau pergi menemui ilahi meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki yang masih kecil. Kematian Abam Bocey menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia kerana ia adalah bukti bahawa orang baik ramai yang sayang.

Tiada siapa yang menduga betapa ramai yang datang untuk berjemaah solat jenazah. Bukan sahaja rakan artis malah peminat dari seluruh Malaysia berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah. Malah selepas beliau meninggal dunia, ramai yang tampil menceritakan pengalaman dibantu oleh arwah. Rupa-rupanya semasa hayatnya arwah banyak membantu orang susah dan anak yatim secara tersembunyi. Kematian Abam Bocey sesungguhnya menjadi inspirasi kepada kita rakyat Malaysia.

3. Dakwah Ustaz Ebit Liew

Sumber: Mstar

Ustaz Ebit Liew adalah pendakwah yang tak putus-putus berdakwah untuk menegakkan syiar islam. Walau pun beliau seorang muallaf, kecintaan beliau terhadap islam tiada taranya. Selain dikenali sebagai seorang pendakwah yang lembut dalam budi bicara, Ustaz Ebit Liew juga dikenali atas kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya. Sebut sahaja di mana ada orang miskin dan susah, pastinya Ustaz Ebit Liew dan pasukannya akan sampai menghantar bantuan.

Malah beliau membantu tidak mengira bangsa dan agama. Namun berlaku satu konflik di mana beliau memberikan bantuan di sebuah negeri dan dipertikaikan kerana tidak melalui pejabat yang sepatutnya. Namun ia ia tidak menjadi penghalang untuk beliau terus membantu golongan yang memerlukan. Ustaz Ebit Liew semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia apabila menyalurkan bantuan air kepada rakyat Selangor yang keputusan bekalan.

Dakwah dan kerja kebajikan yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Liew menjadi inspirasi kepada kita semua, tidak mengira agama. Jika dilihat pada komen di laman sosial beliau, msyarakat Malaysia tidak mengira kaum menunjukkan penghargaan dan terinspirasi di atas usaha murni yang dilakukan.

4. Kematian Ashraf Sinclair

Tak lama selepas kematian Abam Bocey, sekali lagi kita dikejutkan dengan kehilangan seorang lagi selebriti yang terkenal iaitu Ashraf Sinclair pada 18 Februari 2020. Kematian artis kacukan melayu dan inggeris ini menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia kerana beliau pergi meninggalkan nama yang baik. Artis yang lahir dari rancangan Hero Remaja ini berkahwin dengan Bunga Cinta Lestari dan berhijrah ke Indonesia. Mereka mempunyai seorang anak bernama Noah Aidan Sinclair.

Apa yang menariknya, sepanjang hayat beliau, Ashraf Sinclair bukanlah seorang yang sering disebut-sebut kerana selalu melakukan kebaikan atau kerja kebajikan. Beliau juga dianggap sebagai artis yang hidup dengan penuh glamour, ditambah lagi dengan latar belakang keluarga campuran. Namun kematian beliau mengubah tanggapan rakyat Malaysia.

Selepas kematian beliau,Bunga Cinta Lestari menceritakan betapa Ashraf Sinclair adalah seorang suami dan ayah yang terbaik. Malah mertua, ipar duai, dan kenalan rapat kedua-dua keluarga juga menyebut perkara yang sama. Siapa sangka seorang artis pergi meninggalkan nama yang baik dan menjadi inspirasi buat kita semua. Semoga kita juga pergi meninggalkan nama yang baik.

5.  Kerja kebajikan Uncle Kentang

Sumber: Amazingnara

Siapa yang tak kenal Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng. Uncle Kentang mendapat perhatian rakyat Malaysia dan menjadi viral apabila sering berkongsikan aktiviti kebajikan yang dilakukannya di media sosial. Apa yang lebih menarik, beliau yang bukan beragama islam aktif membantu proses pengurusan jenazah yang beragama islam.

Uncle Kentang menyediakan khidmat van jenazah secara percuma untuk digunakan oleh umat islam. Sesiapa yang memerlukan khidmat van jenazah boleh menghubungi beliau, dan terus ambil van jenazah yang disediakan secara percuma. Bagi yang tidak tahu, kos untuk menyewa van jenazah bukanlah murah. Lebih-lebih lagi untuk perjalanan yang jauh.

Bukan itu sahaja, beliau juga memberikan bantuan makanan kepada sesiapa yang memerlukan tidak mengira bangsa. Pesara polis ini menggunakan duit dari poketnya sendiri untuk menyediakan bantuan. Beliau tidak meminta derma dari orang ramai.

Semasa Malaysia dilanda Covid-19, ramai rakyat yang terkesan dari segi ekonomi. Uncle kentang semakin gigih memberikan bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan. Beliau sendiri turun padang untuk mengagihkan bantuan makanan dalam hujan panas.

Ketulusan hati Uncle Kentang dalam melakukan kerja kebajikan menjadi inspirasi kepada ramai pengikutnya di media sosial. Malah ramai yang mendoakan agar satu hari nanti pintu hati beliau terbuka untuk memeluk islam.

Itulah dia info  tentang kisah viral 2020 sebagai inspirasi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang biodata Neelofa dan kisah jutawan Malaysia inspirasi.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.