Kesan inflasi memang buat kita sebagai rakyat terjejas dari segi ekonomi dan kewangan.
Memang inilah inflasi, fenomena ekonomi yang berlaku apabila harga barang dan perkhidmatan meningkat secara berterusan dalam jangka masa tertentu.
Walaupun inflasi adalah sebahagian daripada kitaran ekonomi, kesannya terhadap kehidupan harian sangat mencabar jika tidak diurus dengan baik. Jom lihat kesan inflasi terhadap individu dan masyarakat serta cara-cara untuk mengatasinya.

Apa itu Inflasi?
Untuk pengetahuan anda, inflasi berlaku apabila kuasa beli wang menurun kerana harga barangan dan perkhidmatan meningkat.
Sebagai contoh, jika pada tahun lalu anda boleh membeli sepuluh barang dengan RM50, tetapi kini jumlah wang yang sama hanya cukup untuk lapan barang, itu adalah kesan inflasi.
Kesan Inflasi Terhadap Rakyat, Ekonomi Dan Negara
1. Penurunan Kuasa Beli
Kesan inflasi menyebabkan nilai wang menyusut dan ini mengurangkan kuasa beli masyarakat. Harga barangan keperluan seperti makanan, petrol, dan perumahan meningkat justeru menjadikan kehidupan harian lebih mahal.
2. Beban Kos Hidup
Kos sara hidup meningkat apabila inflasi berlaku, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka perlu berbelanja lebih untuk memenuhi keperluan asas.
3. Ketidakseimbangan Ekonomi
Siapa sangka, inflasi yang terlalu tinggi boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi, seperti peningkatan kadar faedah pinjaman, kelembapan pelaburan, dan ketidakstabilan nilai mata wang. Tetapi itulah kesannya!
4. Kesan kepada Simpanan
Simpanan jangka panjang boleh terjejas akibat inflasi. Jika kadar inflasi lebih tinggi daripada kadar faedah simpanan, nilai sebenar wang simpanan anda akan menurun.
5. Tekanan Terhadap Perniagaan
Bukan itu sahaja, perniagaan juga terkesan apabila kos bahan mentah dan tenaga kerja meningkat. Situasi ini memaksa mereka menaikkan harga jualan, yang seterusnya memberi tekanan kepada pengguna.
6. Ketidaktentuan Pasaran
Inflasi yang tidak terkawal boleh menyebabkan ketidaktentuan pasaran. Pelabur mungkin kehilangan keyakinan yang boleh menjejaskan ekonomi negara secara keseluruhan. Secara tak langsung, ia beri kesan kepada negara kita.

Cara Mengatasi Kesan Inflasi Yang Terjadi
Walaupun inflasi tidak dapat dielakkan, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil oleh individu dan masyarakat untuk mengurangkan kesannya. Antara adalah,
1. Bajet Kewangan Yang Ketat
Pertama sekali, anda perlu kenal pasti keperluan dan kehendak. Penting sekali untuk tetapkan bajet bulanan untuk mengawal perbelanjaan. Ini wajib buat, elakkan pembaziran dan amalkan perbelanjaan berhemah.
2. Pelbagaikan Sumber Pendapatan
Cari peluang untuk menambah pendapatan seperti kerja sampingan atau pelaburan kecil. Dengan pendapatan tambahan, anda dapat menampung kenaikan kos sara hidup akibat inflasi.
3. Pelaburan Bijak
Melabur dalam aset yang memberi pulangan lebih tinggi daripada kadar inflasi seperti saham, hartanah, atau dana amanah adalah salah satu cara mengatasi kesan inflasi. Elakkan menyimpan terlalu banyak wang tunai dalam akaun biasa kerana nilainya boleh terhakis oleh inflasi.
4. Simpanan Emas
Sedar tak sedar, emas sering dianggap sebagai pelindung nilai inflasi kerana harganya cenderung meningkat apabila inflasi berlaku. Jadi, tak sia-sia simpan emas. Buat simpanan emas fizikal atau pelaburan emas digital adalah pilihan yang baik.
5. Kurangkan Hutang
Inflasi boleh menyebabkan kadar faedah meningkat. Oleh itu, adalah penting untuk mengurus hutang dengan baik. Selesaikan hutang faedah tinggi seperti kad kredit secepat mungkin.
6. Didik Diri Tentang Ekonomi
Fahami bagaimana inflasi berlaku dan cara ia mempengaruhi kehidupan anda. Dengan pengetahuan ini, anda boleh buat keputusan kewangan yang lebih bijak.
7. Beli Barang Secara Pukal
Membeli barang keperluan secara pukal ketika harga masih rendah boleh membantu mengurangkan perbelanjaan. Anda juga boleh bertindak bijak dengan gunakan promosi dan diskaun untuk menjimatkan wang.
8. Gunakan Teknologi Untuk Jimat
Aplikasi kewangan seperti Money Manager atau My Tabung boleh membantu anda memantau perbelanjaan dan mengurus bajet dengan lebih efisien.
Tindakan Kerajaan untuk Menangani Inflasi
Dalam usaha negara, kerajaan juga memainkan peranan penting dalam menangani inflasi. Antara usaha yang dilakukan adalah seperti berikut:
- Dasar Monetari: Bank pusat boleh menaikkan kadar faedah untuk mengawal jumlah wang dalam pasaran.
- Dasar Fiskal: Mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan meningkatkan cukai untuk mengurangkan permintaan berlebihan.
- Subsidi: Menawarkan subsidi kepada barang keperluan seperti minyak dan makanan asas untuk mengurangkan tekanan kepada rakyat.

Urus Wang Dan Atasi Inflasi Sebaiknya
Akhir kata, inflasi merupakan cabaran yang memerlukan kerjasama antara individu, perniagaan dan kerajaan untuk diatasi. Walaupun kesan inflasi tidak dapat dielakkan, dengan perancangan kewangan yang bijak, anda boleh melindungi diri daripada kesannya.
Teruskan belajar ilmu kewangan, merancang simpanan, melabur dengan bijak dan kawal perbelanjaan dengan baik.
Jadikan peluang ini sebagai ruang untuk anda mendidik diri tentang kesan inflasi dan cara mengurus kewangan dengan lebih baik. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda.
Jom baca juga artikel berikut:
12 Aplikasi kewangan terbaik rancang perbelanjaan
