Nak tahu tips kerja sampingan untuk menambah pendapatan? Menjadi suri rumah bermaksud anda melepaskan angan-angan bekerjaya dan mencari pendapatan sendiri demi memberi sepenuh perhatian terhadap kebajikan keluarga.

Tugas yang sungguh mulia!

Tahukah anda, di samping melakukan kerja-kerja rumah, anda sebenarnya boleh menambah pendapatan keluarga dan mencari duit poket anda sendiri, bolehlah digunakan untuk perbelanjaan seharian keluarga atau beli apa-apa yang anda mahu.

Jom baca artikel ini untuk ketahui cara-caranya.

#1 Jual Makanan Dari Rumah

Kebanyakan suri rumah memang handal dalam memasak. Apa kata anda gunakan kemahiran memasak itu untuk menjana pendapatan dengan menjual makanan?

Antara makanan yang boleh dijual adalah dalam bentuk makanan sejuk beku (frozen) seperti karipap, donut, pau dan roti canai atau aneka manisan seperti kek, cream puff dan brownies.

Kelebihannya, anda hanya mengeluarkan modal apabila mendapat tempahan dan masa penyediannya adalah fleksibel untuk anda.

Pengiklanan jualan anda boleh mula dilakukan dalam kumpulan Whatasapp kejiranan dan media sosial seperti Facebook dan Instagram.

#2 Jualan Biskut Raya

Penjualan biskut raya memberi pulangan yang lumayan dengan margin untung yang agak besar.

Bahan-bahannya juga boleh diperolehi dengan harga yang murah di kedai bakeri. Resepi biskut raya ini juga mudah didapat di internet dengan kebarangkalian hasil yang agak tinggi jika betul-betul mengikut resepi yang dicadangkan.

Pendekatan yang terbaik ialah dengan mengambil tempahan dahulu supaya anda boleh merancang bajet modal dan masa penyediaan.

Namun, jualan biskut raya ini menuntut masa yang agak lama bagi penyediaannya lebih-lebih lagi jika mendapat tempahan yang agak banyak, jadi, anda perlu merancang dengan baik.

#3 Jadi Agen Dropship

Menggunakan telefon pintar, anda tak perlu bimbang mengenai keperluan pergi tempat kerja kerana anda boleh menjadi agen dropship sesuatu barangan dengan mengambil tempahan secara atas talian.

Pendapatan anda berdasarkan komisen jumlah pelanggan yang membeli barangan melalui anda.

Jadi, jika anda rajin melakukan pemasaran secara atas talian, anda boleh menarik lebih ramai pelanggan, seterusnya meningkatkan nilai pendapatan anda.

Selain itu, kebanyakan pasukan pemasaran produk yang menyasarkan suri rumah sebagai agen dropship ini akan sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada anda untuk membuat pemasaran dan mencari pelanggan dengan baik.

Selain mendapat keuntungan melalui komisen, agen dropship juga secara kebiasaannya mempunyai diskaun pembelian ke atas produk yang dijual. Sangat menguntungkan!

#4 Jadi Pengasuh

Bagi suri rumah yang sudah tidak mempunyai anak kecil, anda boleh menawarkan perkhidmatan mengasuh anak-anak jiran.

Kalau boleh, hadkan anak asuhan seramai 3-5 orang sahaja supaya anda dapat memberikan penjagaan yang cekap dan baik.

Kadar bayaran bagi seorang anak agak lumayan iaitu sekitar RM200-500 sebulan, bergantung kepada lokasi, waktu jagaan, dan usia anak asuhan.

Di samping itu, anda boleh merapatkan hubungan silaturrahim dengan jiran tetangga apabila anda menjadi pengasuh anak-anak mereka.

Jika anda mempunyai keberatan atau kekangan untuk menjadi pengasuh, anda boleh menawarkan servis menghantar atau menjemput anak-anak ke sekolah.

Sekiranya anda turut mempunyai anak yang bersekolah, anda boleh menjimatkan perbelanjaan duit minyak dengan mengambil upah menghantar anak jiran ke sekolah yang sama.

#5 Mengambil Upah Membeli Barangan Dapur

Bagi keluarga yang kedua-dua suami isterinya bekerjaya, sudah menjadi trend yang semakin popular bagi mereka untuk menggunakan perkhidmatan upah membeli barangan dapur.

Status anda sebagai suri rumah akan lebih diyakini kerana persepsi masyarakat yang kuat bahawa suri rumah sememangnya arif dan mengenali akan barang-barang dan perkakasan dapur.

Selain itu, anda boleh menawarkan servis memproses barangan basah seperti menyiang ikan, membersihkan ayam dan mengupas bawang atau penyediaan sayuran dan bahan memasak seperti mengisar bawang dan cili, memotong sayuran lobak, kobis dan bawang serta mengopek ikan bilis.

Anda juga boleh menjual lauk-pauk yang sudah siap dimasak yang boleh disimpan dalam keadaan sejuk beku bagi kegunaan mereka yang malas atau tidak mempunyai kesempatan untuk masak.

#6 Mengambil Upah Membasuh Baju

Anda juga boleh menawarkan servis mengambil dan menghantar pakaian untuk dicuci. Servis tambahan yang lain termasuklah upah melipat dan seterika pakaian.

Biarpun terdapat perkhidmatan dobi layan diri, bagi mereka yang sibuk, hal ini akan memakan masa mereka kerana urusan dobi biasanya mengambi masa selama 1 jam secara kebiasaannya, malah perlu tambahan masa dan tenaga lagi untuk melipat dan seterika.

Dengan servis membasuh, mengeringkan dan seterika ditambah dengan servis mengambil dan menghantar ke pintu rumah para pelanggan, hal ini sungguh menyenangkan mereka yang sibuk bekerja atau mereka yang tidak mempunyai kelapangan untuk berbuat demikian.

Caj yang boleh anda kenakan ialah mengikut berat (kg) pakaian atau jenis fabrik seperti pakaian, karpet, selimut dan sebagainya.

#7 Perkhidmatan Membersihkan Rumah

Antara servis membersihkan rumah yang boleh dilakukan ialah mengemas, sapu, mop, vakum dan membersihkan persekitaran rumah dengan meracun, memotong rumput atau menanam pokok, bergantung kepada permintaan tuan rumah.

Anda boleh lakukan pekerjaan ini bersama anak-anak yang sudah boleh diharap untuk menambah pendapatan sampingan keluarga.

Bagi jiran yang balik kampung atau pergi bercuti, mereka boleh mengupah anda untuk menjaga kebersihan rumah atau menjaga binatang peliharaan mereka.

Semestinya pekerjaan ini memerlukan daya fizikal yang tinggi kerana melibatkan urusan pembersihan kawasan. Kelebihannya untuk anda juga apabila kesihatan anda akan lebih terjaga dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan fizikal dan mengeluarkan peluh ini.

#8 Jadi Guru Tuisyen/Mengaji

Kebiasaannya, pada waktu malam, terutamanya waktu Maghrib, kebanyakan kerja-kerja rumah anda sudah selesai.

Bagi kejiranan perumahan yang mempunyai anak-anak yang sedang membesar, anda boleh gunakan peluang ini untuk menjadi guru mengaji.

Anda dan suami (jika tak keberatan) boleh buka kelas mengaji pada belah malam.

Sekiranya anda tidak mempunyai kemahiran atau ilmu yang cukup untuk mengajar mengaji Al Quran, anda boleh membuka pusat tuisyen di rumah anda pada belah malam atau hujung minggu.

Sasaran awal pelajar tuisyen boleh ditumpukan kepada mereka yang sedang belajar di sekolah rendah kerana silibes pelajaran mereka yang tidak begitu rumit.

Namun, jika anda yakin untuk mengajar tuisyen pelajar di tingkatan menengah atas, apa salahnya? Bayaran untuk mereka adalah lebih tinggi.

Jemput juga baca artikel tentang:

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.