Nak tahu kepentingan insurans dan takaful?
Perlindungan insurans dan takaful adalah sangat penting dan semakin mendapat tempat dihati penduduk di Malaysia. Namun kajian yang dilakukan pada Julai 2019 menunjukkan bahawa tahap kesedaran rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya insurans dan takaful adalah sangat rendah kerana 85 peratus penduduk Malaysia masih lagi tidak mempunyai perlindungan takaful atau insurans.
Adalah dicadangkan supaya kita memperuntukkan 10% daripada pendapatan bulan untuk premium insurans dan takaful. 10% kedengaran seperti nilai yang tinggi. Pastinya anda tertanya-tanya, betulkah insurans dan takaful sebegitu penting? Kali ini kami akan kongsikan tentang kepentingan insurans dan takaful ramai tak perasan.
Orang tua-tua kata sediakan paying sebelum hujan. Kita sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Terdapat pelbagai kemungkin yang mungkin berlaku sama ada kita ditakdirkan meninggal dunia awal meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Atau jika kita tiba-tiba dilanda kemalangan dan mengalami cacat kekal sehingga tidak mampu untuk bekerja seperti biasa. Inilah kepentingan insurans.
Kewangan dan pendapatan kita adalah hak milik kita namun jika ia tidak dilindungi, ia mungkin akan hilang begitu saja. Salah satu daripada fungsi insurans dan takaful ialah untuk melindungi kewangan dan pendapatan kita. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, ia akan membantu kita dari segi kewangan dan pendapatan, tidaklah kita terpaksa menebalkan muka meminta bantuan dari kaum keluarga, sanak-saudara dan kenalan.
Adalah sangat penting untuk kita memastikan ahli keluarga sentiasa terjamin kehidupannya dan dapat menjalankan hidup seperti biasa selepas kita meninggal dunia atau mengalami cacat kekal. Pastinya kita tidak mahu anak-anak hidup dalam kesusahan dan serba kekurangan sementelah tiada apa yang mampu kita lakukan pada waktu itu.
Meminta-minta adalah sesuatu yang dipandang hina oleh masyarakat. Malah ahli keluarga dan kenalan rapat juga mungkin akan berpaling muka dari kita saat kita meminta-minta, walau pun pada saat itu kita sangat memerlukan bantuan daripada mereka. Oleh itu pastikan kita mempunyai perlindungan insurans dan takaful supaya tidak meminta-minta semasa dilanda musibah.
Setiap perkara didalam dunia mempunyai pasang-surutnya termasuk ekonomi keluarga. Ada masanya kita akan diuji dengan keadaan ekonomi dan pada waktu inilah insurans dan takaful memainkan peranannya. Perlindungan insurans dan takaful akan memastikan ekonomi keluarga kita tidak terjejas.
Ketahuilah bahawa kos perubatan semakin mahal di Malaysia dan saban tahun harganya semakin meningkat. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya kita tiba-tiba disahkan mengidap kanser pada tahap empat dan perlu dibedah dengan segera. Jika kita mempunya perlindungan insurans pastinya kita akan terus dibedah dengan kadar segera. Namun jika kita tidak mempunyai polisi insurans pastinya kita terpaksa bersusah-payah bergolok-gadai untuk mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan. Malah mungkin kitab terpaksa menagih simpati rakyat Malaysia untuk menghulurkan derma untuk menampung kos perubatan.
Pastinya kita semua sedia maklum tentang tempoh menunggu yang lama di hospital kerajaan. Namun sejak akhir-akhir ini tempoh menunggu di hospital kerajaan menjadi semakin panjang sehingga ramai yang mengeluh di media sosial. Malah ada yang berani memviralkan perasaan tidak puas hati mereka dengan servis yang lambat di bahagian kecemasan dan trauma hospital kerajaan.
Sekiranya kita mempunyai polisi insurans, pastinya kita mempunyai pilihan untuk pergi ke hospital swasta yang jauh lebih selesa dan tidak perlu menunggu lama. Diakui, kos rawatan di hospital swasta adalah mahal namun kalau ada insurans dan tak perlu keluarkan duit dari poket sendiri, pastinya anda akan memilih hospital swasta, kan?
Malang tak berbau. Kita tak tahu bila perkara buruk dan tidak diingini mungkin berlaku. Musibah boleh berlaku bila-bila sahaja tanpa sebarang tanda. Oleh itu memiliki perlindungan insurnas dan takaful adalah sangat penting bagi kita. Seperti yang kami nyatakan tadi, perlindungan insurans dan takaful bukan sahaja melindungi diri kita malah melindungi orang yang tersayang.
Jika dulu rakyat Malaysia ramai yang meninggal dunia awal pada usia yang muda, pada hari ini jangka hayat kita semakin panjang. Semakin ramai yang hidup sehingga umur 70 tahun, malah 80 tahun. Hal ini berlaku kerana peningkatan kualiti kesihatan rakyat di Malaysia. Pada usia tua pastinya pelbagai penyakit akan muncul dan jika kita dilindungi oleh insurans pastinya kita tidak perlu risau tentang kos perubatan yang mahal.
Pada hari ini nilai kasih sayang di antara ahli keluarga semakin hilang. Berapa banyak kes tular di media sosial tentang keluarga mertua yang mengambil harta isteri dan anak-anak selepas kematian suami? Jika anda mempunyai polisi insurans, anda boleh meletakkan penama dan orang lain tidak boleh merampas wang tersebut.
Itulah dia info kepentingan insurans dan takaful ramai tak perasan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang jenis insurans , kelebihan takaful dan cara mudah memahami kontrak insurans.