Kejuruteraan awam merupakan perekaan dan pembinaan kerja-kerja awam seperti empangan, jambatan dan projek-projek infrastruktur yang lain. Ianya merupakan salah satu cabang kejuruteraan yang tertua, iaitu sejak masyarakat mula tinggal di penempatan yang tetap dan mula membentuk persekitaran mereka sesuai dengan keperluan mereka.

Pada masa dahulu, jurutera awam membina tembok-tembok, jalan-jalan raya, jambatan-jambatan, empangan-empangan dan tambak-tambak. Apabila kumpulan masyarakat yang tinggal bersama di kota dan bandar semakin bertambah, mereka memerlukan sumber air yang bersih, cara untuk membuang sampah, hubungan jalan raya untuk perniagaan dan perdagangan, dan juga cara untuk mempertahankan diri mereka dari bahaya.

Antara projek-projek kejuruteraan awam zaman dahulu adalah jalan-jalan Empayar Rom, Tembok Besar Cina dan kediaman tebing di Mesa Verde. Selain itu, kebanyakan tamadun awal membina monumen untuk pemerintah-pemerintah dan dewa-dewa mereka.

Binaan ini mungkin menjadi sesuatu yang biasa atau satu pencapaian yang amat luar biasa seperti Piramid Giza dan Stonehenge, yang mana pembinaannya oleh masyarakat pra-industri masih menjadi sebuah misteri. Nama-nama jurutera yang membina keajaiban-keajaiban ini juga telah hilang ditelan zaman.

Pada hari ini, masyarakat lebih mengingati nama-nama projek kejuruteraan awam berbanding nama jurutera yang merancang dan membinanya. Antara binaan tersebut adalah seperti Jambatan Brooklyn (dibina oleh John August Roebling dan anak beliau, Washington Roebling), Empangan Hoover (dibina oleh John L. Savage), Terusan Panama (dibina oleh John Frank Stevens) dan Jambatan Golden Gate (dibina oleh Joseph Strauss dan Charles Ellis).

Satu binaan yang mana perekanya masih diingati adalah Menara Eiffel, yang dinamakan sempena nama jurutera awam Perancis, Gustave Eiffel, yang mana syarikat beliau terlibat dalam pembinaan menara tersebut.

Persekitaran yang dibina menunjukkan apa yang dimaksudkan dengan zaman moden. Bangunan-bangunan dan jambatan-jambatan biasanya merupakan binaan pertama yang terlintas di fikiran, kerana binaan ini merupakan binaan kejuruteraan struktur (salah satu sub-disiplin utama dalam kejuruteraan awam) yang paling ketara.

Jalan-jalan raya, landasan kereta api, kereta api bawah tanah, dan lapangan terbang dibina oleh jurutera pengangkutan, satu lagi kategori kejuruteraan awam. Terdapat juga binaan atau ciptaan jurutera awam yang tidak begitu kelihatan. Sebagai contoh, setiap kali anda membuka kepala paip, anda menjangkakan air akan keluar, tanpa anda terfikir bahawa jurutera awam menjadikannya sesuatu yang mungkin.

Bandaraya New York mempunyai salah satu sistem bekalan air yang paling mengagumkan, menerima berbilion gelen air berkualiti tinggi dari Catskills yang terletak lebih dari seratus batu jauhnya. Keadaan ini juga sama seperti kebanyakan masyarakat tidak merasa bimbang tentang apa yang terjadi kepada air yang telah digunakan, namun ia merupakan satu lagi jasa kejuruteraan awam iaitu merawat semula air.

Apa Yang Jurutera Awam Lakukan?

Berdasarkan Pejabat Statistik Tenaga Kerja Amerika Syarikat (U.S Bureau of Labor Statistics / BLS), jurutera awam merancang, membina, mengawasi, mengendalikan dan menyelenggara projek-projek dan sistem-sistem pembinaaan yang besar, termasuklah jalan-jalan raya, bangunan-bangunan, lapangan-lapangan terbang, terowong-terowong, empangan-empangan, jambatan-jambatan, dan juga sistem-sistem untuk bekalan air dan rawatan pembentungan dan kumbahan.

Para jurutera ini juga boleh mengendalikan aktiviti-aktiviti penyediaan tapak-tapak projek seperti penggalian, pemindahan tanah serta penilaian projek-projek pembinaan yang besar. Selain daripada itu, para jurutera awam ini juga boleh menjalankan dan menulis tentang spesifikasi-spesifikasi ujian Musnah (DT) atau Tanpa Musnah (NDT) terhadap prestasi, kebolehpercayaan dan ketahanan jangka panjang bahan-bahan dan struktur-struktur binaan.

Beberapa contoh ini menunjukkan bahawa jurutera awam bukan hanya sekadar membina bangunan dan jambatan. Mereka juga boleh didapati di dalam industri aeroangkasa di mana mereka merancang pesawat dan stesen angkasa, di dalam industri automotif dan di dalam industri pembuatan kapal serta industri sumber tenaga dan apa jua industri yang melibatkan kemudahan pembinaan. Selain itu, jurutera awam merancang dan mengawasi pembinaan kemudahan-kemudahan ini sebagai pengurus pembinaan.

Imej via iLabur

Apa Yang Jurutera Awam Perlu Tahu Serta Kelayakan Dan Jangkaan Gaji

Pada hari ini, jurutera awam memerlukan pemahaman dan pengetahuan yang mendalam tentang fizik, matematik, geologi dan hidrologi. Mereka juga mesti mengetahui sifat-sifat pelbagai bahan binaan, seperti konkrit dan besi struktur, serta jenis dan keupayaan jentera atau mesin pembinaan.

Dengan pengetahuan ini, jurutera awam dapat merancang dan membina binaan-binaan yang menepati syarat-syarat yang merangkumi kos, keselamatan, kebolehpercayaan, ketahanan dan cekap tenaga. Selain itu, jurutera awam juga memerlukan pengetahuan tentang kejuruteraan struktur dan mekanikal.

Di samping itu, jurutera awam boleh terlibat dalam hampir setiap peringkat projek pembinaan utama. Ia boleh meliputi pemilihan tapak, mengeluarkan spesifikasi untuk proses dan bahan-bahan, menilai bidaan daripada subkontraktor, memastikan pematuhan terhadap kod bangunan, dan juga mengawasi semua fasa pembinaan daripada penilaian dan pengalihan tanan sehingga kepada mengecat dan kerja-kerja akhir.

Selain itu, pada hari semakin banyak jurutera awam yang bergantung kepada sistem reka bentuk bantuan komputer (computer-aided design (CAD) system), oleh itu, kemahiran menggunakan komputer juga adalah penting. Selain daripada mempercepatkan proses penyusunan untuk projek-projek kejuruteraan awam, sistem CAD memudahkan jurutera awan untuk mengubah suai reka bentuk dan menghasilkan pelan pembinaan untuk kru pembinaan.

Untuk kelayakan pula, jurutera awam memerlukan ijazah sarjana muda untuk salah satu cabang kejuruteraan awam, atau di dalam teknologi kejuruteraan awam. Kebiasaannya, ijazah sarjana (Master) dan jurutera yang mempunyai lesen diperlukan untuk kenaikan pangkat. Walaupun begitu, keperluan kepada lesen berbeza di antara negara.

Bagi Malaysia, terdapat empat peringkat kelayakan kejuruteraan awam iaitu Diplom, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsfah (PhD) Kejuruteraan Awam. Namun begitu, lulusan kejuruteraan ini perlu menjadi ahli institut jurutera Malaysia (Institute of Engineers Malaysia / IEM) sebelum boleh mendaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia / BEM). Mereka juga memerlukan tiga tahun pengalaman pekerjaan yang diiktiraf di dalam bidang-bidang berkaitan sebelum layak ditemuduga untuk mendapatkan tauliah jurutera awam profesional.

Jemput juga baca artikel tentang kerjaya pensyarah dan kerjaya bidang komputer

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.