Kunci kebahagiaan dalam keluarga adalah komunikasi, sifat tolak ansur, bercakap benar, tolong menolong dan nilai-nilai murni yang lain. Jika amalkan sifat-sifat nilai murni ini dalam keluarga, Insyaallah keluarga akan hidup bahagia dan berpanjangan. Semua orang mahukan keluarga yang bahagia tanpa ada apa-apa masalah besar yang boleh memecah-belahkan keluarga.

Jika kewangan  keluarga dalam keadaan stabil ia adalah bonus untuk keluarga bahagia tanpa perlu memikirkan masalah kewangan. Tetapi, ada juga keluarga yang mengalami masalah kewangan dan wang yang tidak cukup untuk sekeluarga. Jadi, terpaksa meminjam dengan kawan-kawan untuk membeli barang rumah.

Hal ini berlaku kerana kurangnya ilmu dalam pengurusan kewangan. Jadi untuk elakkan berlakunya masalah kewangan dalam keluarga, lebih baik kita belajar cara untuk menguruskan kewangan. Sebagai suami isteri, kita perlu saling mengajari tentang pengurusan kewangan agar kedua-duanya tahu bagaimana untuk berjimat.

Bagaimana cara yang bagus untuk ajar tentang pengurusan wang?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai kaedah yang betul untuk ajar pasangan untuk berjimat. Info ini dikongsikan oleh Encik Amir Syahir. Beliau gemar berkongsikan tips mengenai ilmu hartanah dan pengurusan wang. Selain itu, beliau juga berkongsikan tentang tips ASBF.

Imaje via baituljannah

7 Kaedah betul ajar pasangan berjimat

1. Ajar Cipta Matlamat Kewangan

Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Untuk permulaan, bina matlamat paling senang nak capai. Contohnya RM600 dalam sebulan. Jadi, RM20 setiap hari. Bila dah capai apa yang dibuat, ia akan rasa semangat nak menyimpan lebih lagi.

2. Ajar Simpan Sebelum Berbelanja

Ajar si dia untuk simpan sebelum berbelanja. Contohnya gaji RM2000. Simpan siap-siap RM200. Kalau rasa berat, cuba simpan RM100 sebulan.

Jika membelanjakan semua pendapatan terlebih dulu dan ada lebih baru simpan, tu boleh mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.

Ajar dia gunakan formula ini:

Pendapatan – Simpanan = Belanja.

3. Ajar Supaya Tangguhkan Kehendak

Jika si dia menggelupur nak IPhone X, korang banyakkan azan di telinga dia. Korang ingatkan dia tu dah la ada PTPTN tertunggak. Hutang peribadi pun tak habis bayar lagi. Ajar dia supaya ada tabiat “delay gratification” iaitu menangguhkan kepuasan.

Tangguhkan seketika. Simpan duit dan belilah. Harga pun makin turun. Dah jimat berapa dah.

4. Ajar Supaya Berbelanja Dengan Bijak

Ajar dia buat bajet belanjawan bulanan. Catat segala perbelanjaan. Berbelanja dengan bijak ni boleh dibuat dengan membandingkan harga. Beli masa promosi atau dengan harga borong. Buat senarai barang yang nak dibeli, takde lah korang dua tiga kali ke pasar raya.

5. Ajar Tentang Keperluan vs Kehendak

Keperluan asas hidup ni seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.

Kehendak ni macam nak kereta mewah, telefon canggih, iPhone XR, travel luar negara ataupun lepak minum setabak. Ramai pasangan tidak tahu beza antara keperluan dengan kehendak.

6. Ajar Tentang Risiko Kewangan

Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Bagi kesedaran tentang kepentingan takaful dan risiko pelaburan. Tentang bahaya tunggakan hutang kad kredit. Jadi, tak perlu guna kalau boros.

Ajar dia untuk mengenali penipuan skim cepat kaya dan MLM haram. Kalau dia banyak hutang apa jadi. Terangkan tentang CCRIS. Kalau dia tak bayar hutang apa akibatnya. Apa itu muflis dan kesan muflis.

7. Ajar Tentang Pelaburan Yang Bijak

Ajar dia tentang pelaburan yang senang seperti melabur di ASB dan Tabung Haji disebabkan unit berharga tetap. Jadi, korang tidak akan rugi.

Bila tengok duit makin bertambah dan membiak, keseronokan tu ada. Rasa sayang nak belanja sakan.

*Jika kedua-dua pasangan tahu dalam pengurusan wang, jadi risiko untuk menghadapi krisis kewangan dalam keluarga akan rendah. Apabila anak sudah besar dan mahu menyambung pengajian, duit simpanan sudah banyak dan tiada masalah untuk membayar pembiayaan yuran mereka. Seronok, bukan? Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Sila baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

aqirah

Penulis di iLAbur yang suka berkongsi tentang ilmu dunia kewangan untuk generasi muda.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.