Mempunyai simpanan dengan gaji yang kecil, nak-nak lagi bagi yang sudah berkeluarga dan tinggal di bandar besar pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Ianya mudah untuk disebut namun untuk dipraktikkan dalam dunia sebenar adalah susah, namun tidak bermakna ianya mustahil. Ketahui cara menyimpan duit gaji kecil. Semoga bermanfaat buat anda.

1. Dapat duit terus simpan dan bayar semua hutang sebelum duit gaji digunakan untuk berbelanja

Apabila masuk sahaja gaji ke akaun bank anda, pastikan anda jangan terus berbelanja. Sebaliknya, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah membayar semua hutang dan komitmen serta mengasingkan duit untuk simpanan. Baki yang ada barulah digunakan untuk berbelanja. Nampak seperti tinggal sedikit baki duit yang boleh dibelanjakan namun percayalah, hidup anda akan berasa tenang dan lapang memandangkan semua komitmen telah selesai dan anda mempunyai simpanan.

2. Pastikan anda simpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bersih setiap bulan

Berapa banyak duit gaji yang perlu diketepikan untuk simpanan? Nasihat kami, 10% daripada jumlah gaji bersih adalah jumlah minimum yang perlu anda simpan. Lebih banyak lebih bagus. Walau bagaimana pun, nilai 10% itu hanyalah saranan kami. Simpanlah mengikut kemampuan dan keselesaan anda.

3. Simpan duit gaji di akaun yang sukar untuk dikeluarkan

Ini adalah tips yang sangat penting. Simpan duit gaji anda di akaun atau tempat yang sukar untuk dikeluarkan. Lebih sukar untuk anda mengeluarkan duit tersebut, lebih selamat duit simpanan anda. Sebagai contoh, pilih akaun bank yang tidak mempunyai kad debit, atau simpan dalam akaun tetap atau fix deposit.

4. Beli emas

Membeli emas juga adalah satu lagi cara menyimpan gaji kecil yang boleh anda amalkan. Harga emas semakin mahal. Ia adalah sejenis pelaburan yang menguntungkan dan membahagiakan bagi orang perempuan. Perempuan mana yang tak seronok dapat membeli emas? Anda boleh membeli gold bar dengan berat minimum 0.5 gram.

5. Berbelanja dengan berhemah

Untuk menyimpan, anda perlu berbelanja dengan berhemah. Pandai bezakan di antara keperluan dan kehendak. Jika anda berbelanja mengikut hati tanpa sebarang perancangan, akibatnya anda tidak akan mampu untuk mempunyai simpanan. Walau sebesar mana gaji anda, ianya tidak akan cukup jika anda tidak berbelanja secara berhemah.

6. Tabung harian

Sumber: Sewaseminar

Tabung harian juga adalah cara menyimpan duit gaji kecil yang ramai orang tak perasan. Setiap hari anda boleh menyimpan RM1 ke dalam tabung harian. RM1 nampak kecil nilainya namun pada akhir bulan anda akan mempunyai simpanan sebanyak RM30. Dalam setahun anda sudah mempunyai RM120 hasil simpanan tabung harian anda. Boleh tahan, kan? Duit tadi bolehlah anda gunakan untuk kegunaan sendiri, dimasukkan ke dalam akaun bank, atau juga untuk membeli barang sebagai self reward.

7. Simpan duit siling

Duit siling mungkin kelihatan tidak berharga bagi sesetengah orang sehinggakan duit siling dibiarkan bersepah-sepah di merata tempat dan dibiarkan sahaja. Malah ada yang membuang duit siling apabila mendapat baki. Tahukah anda bahawa duit siling yang disimpan saban hari boleh menjadi tabung yang sangat menguntungkan.

Setiap kali mendapat duit siling, masukkan ke dalam satu tabung duit siling yang khas. Kumpul duit siling sehingga tabung tadi penuh, kemudian anda boleh bawa duit siling tadi ke bank untuk ditukar kepada duit kertas atau dimasukkan ke dalam akaun bank anda. Percayalah, pasti anda tidak akan percaya nilai yang anda akan dapat daripada simpanan tabung duit siling. Kami pernah menyimpan duit siling selama setahun. Di akhir tahun, apabila duit siling tadi dibawa ke bank, jumlahnya ialah lebih kurang RM1000.

8. Tabung wang berwarna

Anda pernah dengar tentang tabung wang berwarna di mana anda pilih untuk menyimpan duit mengikut warna? Sebagai contoh, jika anda memilih untuk menyimpan wang kertas berwarna hijau iaitu RM5, setiap kali anda mendapat duit tersebut, pastikan anda masukkan ke dalam tabung wang berwarna anda. Ini adalah cara menyimpan wang gaji kecil yang berkesan namun memerlukan disiplin dalam diri.

9. Cari pendapatan tambahan

Jika gaji anda terlalu kecil dan anda tidak mampu untuk menyimpan walau pun telah membuat belanjawan dengan teratur, nasihat kami ialah anda boleh cuba mencari pendapatan tambahan. Dengan adanya pendapatan tambahan, secara automatik anda akan mempunyai wang untuk disimpan. Terdapat pelbagai cara untuk menambahkan pendapatan secara sampingan di rumah. Di antara pilihan untuk anda ialah:

  • Home baker
  • Berniaga secara online. Anda boleh menjadi dropship tanpa mengeluarkan modal
  • Guru mengaji
  • Guru tusyen
  • Kelas PJJ

10. Tabung khusus untuk membeli atau mendapatkan sesuatu

Sumber: Maskulin

Anda juga boleh menabung untuk tujuaan membeli sesuatu, atau pun untuk mendapatkan sesuatu seperti untuk pergi bercuti atau menunaikan umrah. Apa yang perlu anda lakukan ialah sediakan satu tabung khas dan tulis nama pada tabung tersebut. Sebagai contoh: Tabung Bercuti Ke Bali. Simpanlah duit di dalam tabung tersebut mengikut kemampuan dan rancangan anda, bila untuk bercuti ke sana.

Itulah dia info  tentang cara menyimpan duit gaji kecil yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang tips jimat duit dan cara pengeluaran tabung haji

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.