Jom ketahui cara kira DSR beli rumah. Ini asas sebelum membeli rumah.

Anda semua tahu bahawa memohon pinjaman bukanlah merupakan satu perkara yang boleh dianggap mudah. Tidak kira sama ada pinjaman tersebut merupakan pinjaman perumahan, pinjaman kereta atau lain-lain lagi, segala-segalanya daripada sejarah kredit anda (credit history) sehingga kepada jenis pekerjaan anda akan diambil kira dan dinilai.

Selain daripada itu juga, pegawai bank atau pegawai yang terlibat dalam proses membuat pinjaman adakalanya boleh menjadi sangat ketat dan teliti dalam menilai dan meneliti faktor-faktor ataupun butiran-butiran kewangan anda ini. Salah satu perkara pertama yang akan diambil kira oleh pihak bank adalah Nisbah Khidmat Hutang atau dalam bahasa Inggerisnya, “debt service ratio” atau lebih dikenali sebagai DSR.

Sekiranya anda pernah melakukan atau pernah mencuba membuat pinjaman kereta atau rumah sebelum ini, anda mungkin sudah mempunyai gambaran atau idea kasar tentang apakah itu DSR atau sekurang-kurangnya anda telah mengetahui bahawa DSR memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada pinjaman anda akan diluluskan ataupun ditolak.

Walau bagaimanapun, adakah anda mengetahui maksud sebenar ataupun fungsi sebenar DSR? Anda tidak perlu bimbang. Artikel ini akan membawa anda menyelami apa itu DSR serta menunjukkan kepada anda bagaimana DSR berfungsi dalam menentukan status permohonan pinjaman anda.

Apa Itu Nisbah Khidmat Hutang (DSR)?

Sekiranya anda pernah memohon pinjaman rumah, kereta atau peribadi sebelum ini, anda mungkin telah mendengar perkataan DSR atau nisbah khidmat hutang daripada pegawai-pegawai pinjaman bank ketika mereka menjelaskan kepada anda bagaimana pinjaman anda itu berlaku. Nisbah khidmat hutang atau DSR merupakan satu pengiraan atau formula yang digunakan oleh pihak bank untuk memeriksa atau menilai sama ada anda mampu membayar balik pinjaman yang anda ingin pohon tersebut.

Kebiasaannya, jumlah DSR anda akan dibandingkan dengan had DSR maksimum yang dibenarkan oleh pihak bank. Sekiranya jumlah DSR anda berada dalam lingkungan had yang ditetapkan, permohonan pinjaman anda mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk diluluskan. Ini kerana, semakin rendah DSR, semakin tinggi peluang untuk permohonan pinjaman anda diluluskan. Dalam kebanyakan kes, seharusnya anda menjaga atau mengekalkan DSR anda dalam lingkungan 30% sehingga 40%.

Selain daripada itu, had DSR mungkin berbeza untuk setiap individu berdasarkan tahap pendapatan masing-masing. Had DSR maksimum yang dibenarkan oleh pihak bank juga mungkin berbeza di antara satu bank dengan bank yang lain. Ini bermakna, sekiranya permohonan anda ditolak oleh satu bank, ianya tidak bermakna permohonan pinjaman anda itu akan turut ditolak oleh bank-bank yang lain.

Imej via White Sands Federal Credit Union

Bagaimana DSR Di Kira?

Bagi mengetahui sendiri tentang peluang permohonan pinjaman anda sebelum merujuk kepada bank, anda boleh memilih untuk membuat pengiraan DSR anda sendiri Walaupun pengiraan anda mungkin tidak setepat pengiraan oleh pihak bank, sekurang-kurangnya anda boleh memiliki idea yang jelas tentang status kewangan anda.

Untuk mencuba melakukan pengiraan ini, anda boleh mengikuti langkah-langkah berikut;

  1. Kumpul maklumat kesemua pendapatan dan perbelanjaan
    Pendapatan yang anda masukkan di dalam pengumpulan data ini mestilah yang boleh dibuktikan dengan mudah kepada pihak bank melalui slip gaji dan penyata KWSP. Kebanyakan bank berhati-hati dalam menerima pekerja bebas (freelance) atau hasil sewa yang mana tidak konsisten.
    Anda mungkin boleh cuba untuk memasukkan data-data pendapatan anda melalui seberapa banyak dokumen sokongan yang ada, namun ianya lebih elok jika anda mengambil kira kepada dokumen-dokumen pendapatan yang penting sahaja.
    Selepas itu, anda perlu menyenaraikan jumlah komitmen yang anda ada dan berapa banyak yang anda perlu belanjakan untuk komitmen tersebut setiap bulan. Jumlah ini boleh jadi datang daripada pembayaran bil-bil bulanan dan pembayaran minima kredit kad.
  2. Gunakan formula ini untuk membuat pengiraan
    DSR boleh dikira menggunakan formula,
    “Jumlah Komitmen Setiap Bulan / Jumlah Pendapatan Bersih Setiap Bulan x 100 = DSR
    Pendapatan bersih adalah jumlah pendapatan setelah ditolak dengan potongan. Andaikan gaji kasar Encik Ahmad adalah RM5,800. Oleh itu, RM5,800 (gaji kasar) – [RM638 (kwsp) + RM32 (Perkeso) + RM350 (cukai)] = RM4,800 (pendapatan bersih).
    Contoh di bawah ini pula merupakan gambaran bagaimana DSR dikira.
    Katakan bahawa Encik Ahmad mempunyai komitmen kewangan bulanan sebanyak RM2,500 dan pendapatan bersih bulanan sebanyak RM4,800. Oleh yang demikian, DSR Encik Ahmad adalah sebanyak 52.1%, di mana;
    RM2,500 (komitmen bulanan) / RM4,800 (pendapatan bersih bulanan) x 100 = 52.1%.
    Oleh itu, DSR Encik Ahmad berada pada paras yang baik kerana kebanyakan bank pada umumnya cenderung untuk menerima DSR di bawah kadar 60%.

Apa Yang Boleh Memberi Kesan Kepada DSR Anda?

Terdapat beberapa faktor yang boleh memberi kesan (sama ada baik atau buruk) kepada DSR anda. Sebagai contoh, sekiranya anda tidak mempunyai pendapatan bulanan yang stabil, ia mungkin memberi kesan buruk terhadap pembayaran pinjaman anda.

Perkara ini akan memberikan gambaran kepada bank-bank berkenaan bahawa sekiranya mereka memberikan pinjaman kepada anda, anda mempunyai peratusan yang sederhana hingga tinggi untuk tidak membayar pinjaman tersebut. Selain itu, pembayaran pinjaman bulanan yang banyak juga akan menyumbang kepada perkara ini.

Di samping itu, status pekerjaan anda juga penting. Ini kerana bank-bank akan mengambil kira industri pekerjaan anda (sebagai contoh sektor awam) dan tempoh bekerja anda untuk memastikan ia merupakan sama ada ianya pekerjaan yang tetap atau tidak.

Selain itu juga, sejarah kredit dan akaun bank juga boleh membina DSR anda ataupun merosakkannya. Oleh itu, jadilah seorang yang bijak dalam merancang kewangan dan kredit anda.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Untuk Meningkatkan DSR Anda?

Anda tidak perlu risau sekiranya permohonan pinjaman anda ditolak atas alasan DSR anda tidak berada pada kedudukan yang baik. Ini kerana anda masih lagi boleh meningkatkan paras DSR anda kepada satu tahap yang lebih baik pada masa-masa yang akan datang. Di bawah ini merupakan langkah-langkah atau tips-tips yang anda boleh lakukan untuk meningkatkan kadar DSR anda.

  1. Rendahkan hutang anda. Sekiranya anda mempunyai hutang daripada pinjaman atau kad debit yang belum dibayar, ianya adalah lebih sekiranya anda melunaskannya terlebih dahulu. Salah satu cara terbaik untuk memulakannya adalah dengan menggunakan kaedah bola salji (snowball method).
    Selain itu, anda juga boleh menggabungkan beberapa pembayaran anda kepada satu pinjaman, dengan itu ia memudahkan pembayaran pinjaman anda di dalam satu pinjaman serta mengurangkan faedah juga.
  2. Kurangkan hutang anda. Sebaiknya anda cuba kurangkan bilangan hutang atau kredit kad di bawah nama anda sebanyak yang mungkin. Lebih-lebih lagi sekiranya anda adalah orang yang menggunakan kredit kad.
  3. Sentiasa bayar tepat pada waktunya. Setiap kali bil-bil atau penyata kredit kad anda tiba, pastikan anda membayar 100% jumlahnya dan pada waktunya. Apa yang anda lihat sebagai satu jumlah kecil yang belum dibayar boleh bertambah dalam bulan-bulan berikutnya, seterusnya menjadi satu hutang yang besar.

Semoga anda menyukai artikel penulisan cara kira DSR beli rumah ini. Jemput juga baca tentang syarat pinjaman perumahan kerajaan dan tips car rumah sewa

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.