Ramai yang berminat memulakan pelaburan saham, tetapi masih kurang jelas akan langkah pertama iaitu tidak tahu cara buka akaun CDS. Akaun CDS ataupun nama penuhnya adalah Central Depository Service adalah perkara wajib ada untuk memulakan pelaburan.

Tanpa akaun ini, sememangnya mustahil untuk anda memulakan pelaburan saham. Sebab itulah ada sesetengah orang kata, jangan sembang lebat pasal pelaburan saham kalau akaun CDS pun masih tiada lagi.

cara buka akaun cds
Imej via [moneytrade]

Jadi, sekiranya ingin melabur saham, anda harus membuka akaun CDS terlebih dahulu.

Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut mengenai cara buka akaun CDS, mari berkenalan dahulu dengan akaun CDS ini.

Apa itu CDS?

cara buka akaun cds
Imej via [bicarapelaburan]

CDS adalah akaun yang dibuka dengan Bursa Malaysia dan merupakan tempat menyimpan saham-saham yang dibeli oleh anda. Akaun CDS ini boleh dibuka oleh individu yang berusia 18 tahun ke atas. Ia juga boleh dibuka oleh syarikat, persatuan, pemegang amanah dan sebagainya.

Waktu dulu-dulu, semasa mula membeli saham, pelabur akan diberikan sijil mengenai maklumat berkaitan dengan saham-saham yang dibeli. Namun kini, setiap maklumat akan disimpan secara elektronik menggunakan akaun CDS.

Akaun CDS: Secara Langsung

Secara umumnya, akaun CDS boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu secara langsung dan penama. Jika membuka akaun CDS secara langsung, nama pelabur akan terus dicatatkan kepada akaun tersebut.

Dengan akaun CDS secara langsung ini, dividen dari syarikat yang dibeli akan terus dimasukkan ke dalam akaun pelabur. Pelabur boleh menghadiri setiap mesyuarat tahunan yang dianjurkan oleh syarikat tersebut.

Akaun CDS: Penama

Pelabur juga boleh terus membeli kaunter IPO yang merupakan kaunter-kaunter yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia. Akaun CDS penama pula tidak mencatatkan nama pelabur sebagai pemilik akaun tetapi menggunakan nama syarikat broker yang dilantik sebagai penama.

Dividen yang diberikan tidak akan dimasukkan ke akaun pelabur, sebaliknya akan diuruskan oleh syarikat penama dengan mengenakan caj tertentu.

Cara Buka Akaun CDS

cara buka akaun cds
Imej via [ideasaham]

Seterusnya, jom kita lihat cara buka akaun CDS pula. Mudahlah untuk kita teruskan urusan pelaburan selepas ini.

Langkah 1: Kenalpasti Syarikat Broker

Akaun CDS perlu dibuka melalui syarikat broker yang sah, dimana mereka akan melantik remisier atau dealer untuk berurusan dengan bakal pelabur yang ingin menyertai pelaburan.

Sehingga tahun 2017, terdapat 11 buah syarikat yang menyediakan akaun dan perkhidmatan patuh syariah sama ada secara asas ataupun keseluruhan. Anda boleh memilih syarikat broker anda suka seperti Maybank, Cimb dan sebagainya.

Langkah 2: Dapatkan Maklumat Mengenai Syarikat Broker

Selepas mengenalpasti syarikat broker yang berkenan di hati, anda perlu mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai lokasi dan nombor telefon syarikat terbabit.

Anda boleh dapatkan alamat cawangan-cawangan syarikat broker di laman web Bursa Malaysia, laman sosial dan sebagainya. Jika syarikat utama broker itu jauh dari tempat tinggal anda, jangan risau kerana ia mempunyai cawangan-cawangan tertentu yang berdekatan dengan tempat tinggal anda.

Langkah 3: Berjumpa dengan remisier atau dealer

Setelah mengenalpasti lokasi syarikat broker yang anda mahu, bolehlah terus ke sana dan berjumpa dengan remisier atau dealer untuk membuka akaun CDS dan perdagangan.

Sebelum pergi, telefon pihak terbabit terlebih dahulu untuk membuat temu janji agar akan ada remisier atau dealer yang akan melayani anda. Jika tidak membuat temu janji dikhuatiri pihak remisier atau dealer mempunyai urusan lain. Tidaklah nanti tergendala urusan anda untuk buka akaun CDS.

cara buka akaun cds
Imej via [travelogjutawan]

Langkah 4: Buka akaun CDS

Apabila dah berjumpa dengan remisier atau dealer, bolehlah mula buka akaun CDS tersebut. Mengikut pengalaman orang ramai, biasanya remisier akan memberikan sedikit penerangan berkaitan dengan saham, akaun CDS dan akaun perdagangan.

Jika anda ada apa-apa soalan yang hendak ditanya, anda boleh terus tanya kepada remisier atau dealer tersebut. Untuk buka akaun CDS, hanya perlu bawa salinan kad pengenalan, penyata bank dan bayaran sebanyak RM 10.60 termasuk GST 6%.

Selepas anda mengisi beberapa borang, serahkan dokumen dan buat bayaran yang diperlukan. Jadi hampir selesailah urusan anda untuk buka akaun CDS tersebut.

Kemudian, anda hanya perlu menunggu akaun CDS anda disahkan oleh Bursa Malaysia dan diaktifkan di platform perdagangan dalam talian. Jika tidak faham, jangan risau kerana remisier atau dealer akan terangkan langkah-langkah untuk mengaktifkan akaun platform dagangan dalam talian tersebut.

Jadi pengesahan akaun CDS anda mungkin mengambil masa beberapa hari waktu bekerja. Biasanya tidak lebih dalam masa 7 hari. Selepas akaun CDS anda disahkan, anda boleh mengaktifkan platform perdagangan dalam talian.

Langkah 5: Mulakan Pelaburan Saham

Selepas pengaktifan platform dagangan dalam talian, anda kini boleh memulakan pelaburan saham. Oleh kerana ia merupakan cara buka akaun tunai, maka perlulah meletakkan dahulu duit dalam akaun perdagangan sebagai modal untuk membuat pelaburan.

Anda boleh bertanya kepada remisier atau dealer mengenai cara untuk memasukkan wang ke dalam akaun perdagangan.

Jika anda buka akaun dengan Maybank Investment Berhad, maka anda boleh menggunakan Maybank2u untuk memindahkan wang akaun simpanan anda kepada akaun pelaburan. Apabila anda sudah mempunyai modal di dalam akaun pelaburan anda, anda bolehlah membeli kaunter saham yang anda perlukan. 

Jual Beli Saham

Jual beli saham hanya boleh dilakukan pada hari Isnin hingga Jumaat. Waktu kerja atau berurusan pula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Kesimpulannya,

Cara buka akaun CDS amat mudah tetap perlu diberi perhatian. Anda memerlukan online trading platform untuk membuat urusan dengan pantas. Jika tidak tahu cara gunakannya, sila rujuk kepada remisier atau dealer anda.

Jom baca juga Pelaburan Emas, Cara simpan duit untuk pelajar, Jana pendapatan dan Pengiraan stamp duty LHDN.

Rujukan

  1. Panduan Pelaburan Saham: Cara Buka Akaun CDS & Trading. https://jomurusduit.com/2017/01/panduan-pelaburan-saham-cara-buka-akaun-cds-trading.html
  2. Cara Buka Akaun Saham (CDS). https://www.isaham.my/blog/cara-buka-akaun-saham-cds
  3. Membuka akaun CDS. Real story.. http://darinacare.blogspot.com/2015/05/membuka-akaun-cdsreal-story-ni.html
Copy

Penulis: rinazul

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.