Malaysia merupakan antara negara pengeluar dan eksport hasil minyak sawit yang terbesar di dunia. Penanaman pokok kelapa sawit sangat meluas di negara kita dengan adanya badan-badan seperti FELDA, RISDA, Sime Darby dan lain-lain.

Tahukah anda, selain digunakan sebagai minyak masak, kajian terhadap kelapa sawit kini menunjukkan potensinya sebagai bahan biodiesel?

Bahan biodiesel ialah bahan bakar kenderaan (diesel) yang diperolehi daripada sumber alam semula jadi. Jika sebelum ini, diesel diperolehi daripada industri cari gali petroleum, bidang pertanian pula boleh dijadikan sebagai sumber alternatif bagi lebih penjimatan kos dan masa.

Apa peranan Malaysia sebagai negara dengan kelapa sawit sebagai antara tanaman komoditi utama?

Mari baca artikel ini yang akan menghuraikan usaha-usaha kerajaan Malaysia dalam menambah pendapatan ekonomi negara dengan program biodiesel ini.

Pengenalan

Biodiesel dari segi kimia merujuk kepada susunan rantaian campuran ester monoalkil dalam asid lemak yang dihasilkan daripada sumber tumbuhan. Antara tumbuhan yang digunakan ialah algae, kelapa, kelapa sawit, biji sawi, soya, bunga matahari dan sebagainya. Menariknya, kelapa sawit merupakan tumbuhan yang boleh menghasilkan biodiesel paling banyak (4752 liter per hektar) berbanding tumbuhan lain.

Industri biodiesel ini mula melonjak sekitar tahun 2007 apabila kesedaran kebergantungan terhadap petroleum mula meningkat secara global.

Kegunaannya merangkumi kepekatan yang pelbagai bergantung kepada aplikasi. Penambahan biodiesel ke dalam petroleum sedia ada dilakukan kerana biodiesel mampu berperanan sebagai bahan api yang tidak mengeluarkan belerang.

Namun, peratusannya sentiasa dikaji bagi melihat keupayaannya apabila semakin tinggi peratusan digunakan, prestasi pembakarannya mungkin berubah.

Biodiesel di Malaysia

Imej via iLabur

Mesyuarat Ke-8 Jawatankuasa Kabinet mengenai Daya Saing Minyak Sawit (Cabinet Committee on Competitiveness of Palm Oil –CCPO) pada 12 Januari 2010 telah memutuskan bahawa program mandatori B5 (adunan 5% biodiesel sawit dengan 95% diesel petroleum) dilaksanakan bagi sektor bersubsidi di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka bermula Jun 2011 secara berfasa.

Tujuan Program Mandatori B5 dijalankan adalah untuk meningkatkan kadar adunan yang lebih tinggi di samping memperkukuhkan harga minyak sawit sekali gus meningkatkan imej industri sawit sebagai industri yang mesra alam dan mampan.

Langkah kerajaan melaksanakan program bio bahan api ini bukan sahaja mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara malah turut membuktikan kerajaan komited dalam mengurangkan kadar keamatan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 40% menjelang tahun 2020.

Program yang dikenali sebagai program B5 ini telah dilaksanakan sepenuhnya di seluruh Semenanjung Malaysia melibatkan sektor pengangkutan dan perikanan pada Mac 2014.

Pelaksanaannya di Semenanjung Malaysia melibatkan penggunaan sebanyak 150 000 tan biodiesel sawit setahun di lebih 2832 stesen minyak.

Program B7

Penggunaan mandatori biodiesel sawit dalam negara telah dipertingkatkan daripada adunan 5% kepada 7% dengan pelaksanaan Program B7 bermula November 2014 secara berperingkat. Keseluruhan sektor pengangkutan dan perikanan di Semenanjung Malaysia telah dibekalkan dengan B7 mulai Disember 2014.

Bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, B7 telah dibekalkan ke negeri berkenaan sejak Disember 2014.

Pelaksanaan Program B7 di seluruh Malaysia bagi kedua-dua sektor pengangkutan dan perikanan melibatkan 3198 buah

  • stesen minyak
  • pengguna fleet
  • tangki skid syarikat pengangkutan

dengan anggaran penggunaan biodiesel sawit berjumlah 575 000 tan setahun.

Secara tidak langsung, hampir 667.6 juta liter setahun penggunaan diesel fosil dapat dijimatkan menerusi Program B7 di seluruh Malaysia

Program B10

Program B10 (adunan 10% biodiesel sawit dengan 90% diesel petroleum) telah diperkenalkan pada Februari 2013 dengan pelancaran penggunaan B10 bagi kenderaan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan agensi MPIC.

Prospek penggunaan B10 turut diperluaskan ke sektor industri dengan penawaran skim insentif biodiesel sawit yang telah bermula pada Mac 2013. Dana permulaan sebanyak RM 3 juta daripada Dana Penstabilan Harga Minyak Sawit telah diperuntukkan bagi memastikan harga B10 lebih rendah atau setanding dengan harga diesel industri.

Skim ini bertujuan bagi menggalakkan penggunaan diesel dengan kadar adunan biodiesel lebih daripada 10% di sektor industri yang melibatkan kilang yang menggunakan dandang dan jentera berenjin diesel.

Sehingga kini, 6900 tan kuota biodiesel sawit telah diluluskan (69% daripada kuota yang diperuntukkan) dengan penglibatan enam buah syarikat.

Bagi persediaan program B10, standard sementara (provisional) bagi B10 telah diterbitkan pada Mac 2014. Tempoh sah laku standard sementara tamat pada Mac 2016.

Sebanyak 24 buah kenderaan melibatkan sebuah kenderaan MPIC, 19 buah kenderaan berpusat di Ibu Pejabat MPOB dan empat buah kereta Peugeot kegunaan pengurusan tertinggi MPOB dan MPIC. MPOB turut bekerjasama dengan pihak luar bagi percubaan penggunaan B10, antaranya Alam Flora yang bermula pada Jun 2013.

Projek percubaan penggunaan B10 bagi 50 buah kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah dijalankan pada Februari 2014.

Perbincangan dan Konsultansi

Bagi pelaksanaan Program B10, MPI dan MPOB telah mengadakan beberapa siri perbincangan / konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan dalam sektor automotif termasuk Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA) dan Malaysian Automotive Association (MAA), Federation of Malaysia Manufacturers (FMM), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meneliti kesesuaian penggunaan B10 dalam sektor berkenaan berkaitan aspek teknikal dan jaminan enjin.

Susulan itu, Nancy Shukri pada 27 Mei 2016 telah membentangkan di Kabinet cadangan untuk meningkatkan program B7 ke B10 di mana Kabinet telah bersetuju dengan cadangan pengurangan Greenhouse Gas (GHG) melalui program B10.

Walau bagaimanapun, program B10 terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat perbezaan ketara antara harga minyak fosil dan minyak sawit mentah.

Perancangan Masa Depan

Imej via iLabur

Kerajaan telah meneruskan program B10 itu secara berperingkat bermula pada 01 Disember 2018 sebelum pelaksanaannya secara mandatori pada 01 Februari 2019 yang lepas.

Penggunaan B10 itu bagi semua jenis kenderaan diesel seperti pacuan empat roda, lori dan bas juga akan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 1.6 juta tan karbon dioksida setahun.

Kini, MPOB bersama FGV bersama-sama sedang membangunkan B20 pula dengan projek percubaan komersial yang dijangka akan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Kesimpulan

Kepesatan teknologi dan arus kemodenan telah membuka peluang kepada pelbagai kajian dan penyelidikan khususnya untuk manfaat bersama.

Program biodiesel ini sangat bagus lebih-lebih lagi keberadaan sumber yang banyak di negara kita dan boleh dijadikan antara produk eksport utama negara.

Kita perlu lebih berdaya saing dengan perkara ini memandangkan negara jiran seperti Indonesia yang turut mempunyai industri kelapa sawit, tidak ketinggalan untuk sama-sama menerokai pasaran baru ini. Malah, mereka sedang mengkaji penghasilan B30 sedangkan kita masih lagi berada pada fasa B20.

Rujukan

  1. Warta Sawit, Bio Bahan Api Berasaskan Sawit, Bil. 59(1), 2015, hlm. 14.
  2. https://www.mpi.gov.my/index.php/komoditi/program-insentif/pplh/255-mpic-di-dalam-akhbar-2019/berita-biobahan-api/571-program-biobahan-api-sawit-negara-2

 

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.