Ustaz Don merupakan penceramah bebas yang sering muncul di kaca televisyen serta media sosial. Penyampaian ceramahnya agak berbeza dan lebih santai, namun tetap meninggalkan kesan kepada para pendengar. Siapakah Ustaz Don ini ? Mungkin tidak ramai yang mengenali beliau secara dekat, namun anda boleh membaca tentang diri beliau di dalam artikel ini.
Imej via kosmo
Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid dilahirkan pada 14 November 1984. Beliau merupakan anak kepada pasangan Che Maryam Binti Abdul Kader dan Don Biyajid Bin Mustafa. Anak kedua daripada empat orang adik beradik ini dilahirkan di Bukit Mertajam Pulau Pinang. Bapanya merupakan bekas Pembantu Makmal Veterinar.
Beliau telah berkahwin dengan pasangannya Husna Zahry Rahfie. Perkahwinannya telah diserikan dengan kehadiran tiga orang cahaya mata bernama Don Mustofa (2014), Don Ibrohim (2016), Don Sulaiman (2019) dan Don Yunus (2021).
Beliau mula meminati hafazan Al-Quran selepas tamatnya SPM dan Al-Quran adalah naskhah yang sangat Istimewa untuk sekelian alam. Bukan mudah untuk menghafal Al-Quran, namun ianya hanya akan bersama dengan siapa yang ia mahu. Sedangkan ada insan yang cuba menghafal Al-Quran sejak berumur empat tahun pun belum tentu dapat menghafal sepenuhnya.
Ustaz Don bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh, Bukit Mertajam. Kemudiannya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nibong Tebal, Pulau Pinang dalam aliran Sains. Semasa di bangku sekolah lagi, Ustaz Don sangat aktif berpidato. Beliau pernah menjuarai pidato semasa Pertandingan Bahas Al-Quran Ala Parlimen 2002. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai pendebat terbaik oleh Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Duta Malaysia ke Kaherah pada tahun 2007.
Ustaz Don telah menyambung pelajaran di peringkat Diploma di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat, Pulau Pinang sebelum menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tingg dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra, Mesir dalam bidang Takhassus Qiraat.
Imej via kinderhive
Selepas tamat pengajian pada tahun 2008, Ustaz Don menganggur selama 6 bulan dan telah membuka Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di surau di kampung halamannya bagi membantu penduduk setempat tentang asas Pendidikan Islam. Beliau menjadi pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Selangor sejak tahun 2010 dan kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pengajian Sepanjang Hayat sebagai Pengurus Besar di KuisCell.
Ustaz Don memulakan kariernya sebagai ustaz selebriti tv selepas beliau terpilih semasa uji bakat bagi program Ihya Ramadan sebanyak 20 episod. Program Ihya Ramadan bersiaran pada hari Isnin hingga Rabu dan penonton boleh berinteraksi melalui talian telefon dan juga Fan Page di Facebook. Rancangan tv ini telah mendapat sambutan penonton yang begitu menggalakkan. Bermula dari Ihya Ramadan, beliau telah diberi peluang untuk mengendalikan kuliah interaktif berjudul 30 Minit Ustaz Don di saluran TV Al-Hijrah yang merupakan kesinambungan dari Ihya Ramadan.
Ustaz Don juga merupakan Pengerusi Mohabbaten Travel & Tours Sdn Bhd di bawah anak syarikat Andalusia. Kini, beliau bukan sahaja menjadi personaliti media, penceramah bebas, pengacara tv, pensyarah dan ahli perniagaan, malah telah menghasilkan buku tulisan sendiri bergenre Islamik bertajuk Syariat Itu Mudah, Kahwin Itu Indah dan Solat & Selawat.
Ustaz Don seorang yang sangat mesra dengan masyarakat, senang didekati, peramah, serta tidak lokek dengan ilmu. Selain itu, Ustaz Don juga merupakan seorang yang optimis. Beliau sering berjubah, berserban serta berselendang di bahu kanan, namun tetap mengenakan pakaian kasual bersesuaian dengan situasi dan majlis.
Ustaz Don adalah seorang yang sangat menghormati serta patuh kepada kata-kata guru. Bagi beliau, menghormati guru akan membuatkan seseorang itu mendapat keberkatan dalam Pelajaran. Ustaz Don juga sejak kecil sering mengikuti bapanya ke masjid untuk solat berjemaah serta mendengar ceramah agama.
Jemput baca biodata Ustazah Asma Harun dan biodata Syamsul Debat