Siapa Ustazah Asma Harun?

Beliau merupakan seorang pendakwah yang terkenal dengan penyampaian ilmu agama. Sering muncul di stesen – stesen tv serta media sosial seperti Youtube dan juga Facebook. Adalah mustahil jika anda tidak mengenali Ustazah Asma Harun. Orangnya begitu bersahaja sewaktu menyampaikan ceramah.

Lantunan suaranya yang lembut tetapi tegas serta diselangi dengan gurau senda pastinya menghiburkan. Para ibu dan juga suri rumah antara individu yang pastinya mengenali beliau kerana ceramahnya sering berkait rapat dengan wanita.

Setiap kali beliau memberi ceramah, pastinya aura positif akan menular ke dalam diri si pendengar. Justeru, jom kita kenali Ustazah Asma Harun dengan lebih dekat lagi.

Imej via Facebook

Latar belakang Ustazah Asma

Ustazah Asma berasal dari Kampung Batu 6, Kuala Terengganu dan dilahirkan pada tanggal 22 September 1983. Beliau mempunyai 10 orang adik beradik dan merupakan anak kepada pasangan Harun Bin Ismail dan juga Fikriah Binti Awang.

Bapa beliau merupakan seorang pendakwah dan juga peniaga nasi ayam. Manakala ibunya pula seorang guru dalam subjek Fizik.

Datuk dan moyang beliau terdiri dari kalangan orang yang hebat. Datuknya adalah Ustaz Haji Awang Abu Bakar manakala moyangnya pula adalah Tok Guru Haji Abbas. Berasal dari keturunan pendakwah, sejak dari kecil beliau telah diberikan pendidikan agama dan moral yang terbaik oleh kedua ibu bapanya.

Pendidikan

Ustazah Asma awalnya bersekolah di PASTI, Darul Taqwa. Kemudian meneruskan persekolahan di SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka dan SMU (A) Maahad Muhammadi Lil Banat Kota Bharu.

Beliau menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dalam bidang Syariah (Diploma). Kemudian ke Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Syariah) dan Open University Malaysia (OUM) di peringkat Master Pengajian Islam.

Pengalaman Pekerjaan

Ustazah Asma pernah bertugas di JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan pada tahun 2008. Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam dan Penolong Pengarah Bahagian Halal. Walau bagaimana pun, beliau telah meletakkan jawatan pada tahun 2017.

Kini beliau menumpukan perhatian terhadap tugas sebagai pendakwah, penceramah bebas, pakar motivasi dan perundingcara rumahtangga. Malah, Ustazah Asma turut menulis buku serta merupakan ahli perniagaan dengan memasarkan produk lain seperti telekung, jubah, tudung labuh, pakaian, makanan Sunnah, buku, planner dan lain-lain.

Bertemu Jodoh

Ustazah Asma bertemu jodoh di usia 22 tahun bersama pasangan yang berasal dari Kuala Besut, Terengganu iaitu Tengku Fazil Bin Tengku Yahya. Suami beliau merupakan seorang pensyarah kejuruteraan kimia. Mereka dikurniakan seramai 7 orang anak yang comel dengan nama yang indah iaitu Atikah, Luqman, Maisarah, Imran, Sofwan, Raihanah dan juga Fatimah. Beliau bersama keluarga menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Kehadiran suami dan anak – anak menjadi pelengkap hidupnya. Suaminya adalah individu yang sering menjadi pendengar setia dan sering memberi nasihat kepada beliau. Malah, sikap suaminya yang penyabar dan sentiasa prihatin membawa kebahagiaan di dalam rumah tangga mereka.

Imej via Facebook

Judul Buku

Selain menjadi penceramah, Ustazah Asma juga telah berkarya dan menghasilkan beberapa judul buku bacaan umum. Bahan bacaan yang diterbitkan boleh dibeli di kedai – kedai buku atau juga boleh dapatkannya secara dalam talian. Antara hasil karya beliau adalah :

  • Sahabat Dunia Akhirat
  • Kembara Menuju Allah
  • Kepada-Mu Aku Kembali
  • Jangan Biarkan Aku Sendiri
  • Bersama-Mu Aku Bahagia
  • Aku Rindu Kepada-Mu
  • Tazkirah The Time
  • Tip Wanita Bahagia
  • 150 Tip Menjadi Wanita Dambaan Syurga
  • Keluarga Menuju Syurga
  • 111 Soal Jawab Fiqh Ramadan

Anda boleh menonton perkongsian ilmu dari Ustazah Asma secara online di Youtube dengan tajuk seperti di bawah :

  • Contoh Isteri Yang Terbaik
  • Kekuatan dan Keajaiban Zikrullah
  • Nasihat Buat Yang Sedang Mencari Jodoh
  • Tanda – Tanda Allah Terima Taubat Kita

Ilmu Agama

Sejak dari kecil, Ustazah Asma dan adik – beradiknya telah diberikan pendidikan agama yang cukup sempurna, penuh kasih saying dan juga disiplin. Dengan hanya bergurukan kedua ibu bapa, mereka sepuluh beradik telah berjaya khatam Al – Quran di usia yang begitu muda.

Setiap hari selepas menunaikan solat Subuh dan Maghrib, mereka akan mula membaca dan mempelajari Al-Quran bersama – sama biarpun kedua orang tua mereka sibuk dengan pekerjaan masing – masing.

Biarpun masih kanak – kanak dan tidak memahami apa-apa, kedua ibu bapa Ustazah Asma telah membiasakan kesemua adik-beradiknya menghadiri kelas ibu agama. Setiap hari Jumaat, mereka sekeluarga akan mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Tok Guru Haji Hadi di Masjid Rusila. Bertitik tolak dari situlah, kecintaan Ustazah Asma terhadap ilmu agama semakin mendalam.

Imej via Facebook

Eratkan Hubungan Kekeluargaan

Bagi mengeratkan hubungan dalam keluarga, kesemua adik – beradik Ustazah Asma diharuskan makan bersama – sama. Mereka sama sekali tidak dibenarkan makan sendirian. Biarpun telah kenyang, mereka perlu berkumpul bersama – sama semasa tibanya waktu makan.

Menjelang hujung minggu pula, ibu bapa beliau akan membawa seluruh ahli keluarga keluar bersiar – siar bersama ke pantai, taman permainan dan sebagainya. Biarpun adik-beradiknya agak ramai, namun tiada seorang pun yang ditinggalkan di rumah. Kesemuanya wajib keluar bersama biarpun telah dewasa.

Ibu bapa beliau akan sentiasa memastikan kesemua anaknya menyertai setiap aktiviti keluarga dan berkumpul bersama bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan, memupuk kasih sayang antara satu sama lain serta saling hormat menghormati.

Didikan agama serta disiplin yang diterapkan sejak dari kecil telah membuatkan hubungan mereka sekeluarga begitu erat sehingga hari ini.

Penutup

Sebagai seorang anak, Ustazah Asma Harun sangat bersyukur dilahirkan dari keluarga yang penuh dengan ilmu keagamaan serta disiplin yang tinggi. Hasil didikan kedua orang tuanya telah menjadikan beliau seorang yang berjaya pada hari ini. Malah, kini beliau pula terus berdakwah kepada orang ramai dan menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat sebagai panduan.

Jemput baca biodata Ebit Lew dan biodata Syamsul Debat

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.