“See my level” 

Antara frasa ungkapan jika kita memiliki barangan mewah, bukan?

Terutamanya dalam bidang fesyen, aksesori, perhiasan, tas tangan dan sebagainya, terdapat aneka pilihan produk mewah yang tentunya dijual dengan harga yang agak tinggi sesuai dengan kualiti dan jenamanya.

Salah satu daripadanya ialah jenama Louis Vuitton atau LV.

Artikel ini menyingkap jatuh bangun ikon dalam bidang fesyen dunia ini.

Menarik dibaca untuk dijadikan inspirasi.

Latar Belakang Louis Vuitton

Imej via Biography

Louis Vuitton dilahirkan pada tahun 1821 di Anchay, kawasan pergunungan hutan tebal di Perancis.

Nenek moyangnya merupakan tukang kayu, petani dan keluarganya melakukan pelbagai pekerjaan. Ayahnya seorang petani manakala ibunya adalah seorang pembuat topi.

Ibu Vuitton meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun dan ayahnya berkahwin lagi dengan wanita lain. Perkara ini membuatkan Vuitton berasa tertekan dan bosan lalu membuat keputusan untuk berpindah ke Paris.

Penghijrahan ke kota Paris

Beliau telah meninggalkan rumahnya pada tahun 1835 dengan berjalan kaki seorang diri ke Paris dari tempat asalnya. Vuitton berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Beliau sudah mengembara lebih daripada dua tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara diri. Vuitton tinggal di mana-mana tempat untuk berteduh dan tidur pada setiap malam dalam perjalanan ke kota.

Beliau akhirnya tiba di Paris pada tahun 1837 ketika berusia 16 tahun. Vuitton telah diambil sebagai perantis pereka kotak dan bungkusan oleh Monsieur Marechal.

Pada abad ke-19, pembuatan kotak dan pembungkusan adalah satu profesion yang dihormati. Mereka bertanggungjawab dalam membuat kotak untuk memuatkan barangan yang dimiliki oleh pemiliknya.

Vuitton mengambil masa selama beberapa tahun untuk membina reputasinya dalam kalangan bangsawan.

Khidmat kepada Isteri Pemerintah Perancis

Imej via iLabur

Pada tahun 1851, isteri kepada pemerintah Perancis iaitu Eugenie telah mengupah Vuitton untuk menjadi pembuat kotak peribadi  beliau. Eugenie menyifatkan hasil kerja Vuitton sebagai hasil karya yang berkualiti tinggi.

Vuitton dikatakan telah menyimpan koleksi pakaian dengan penuh kesenian. Perkara ini adalah peluang keemasan baginya untuk berkenalan dengan golongan elit dan memberikan perkhidmatannya kepada mereka.

Bermula dari sini, jenama fesyen yang menggunakan namanya sendiri mula membangun dan dikenali sebagai jenama fesyen kulit yang mewah dan menjanjikan gaya hidup yang tampak mahal pada si pemakainya.

Perkahwinan dan Perniagaan Sendiri

Tahun 1854 adalah tahun yang paling mencabar bagi Vuitton dengan segala pekerjaan yang perlu disiapkan olehnya sebagai seorang yang masih bertatih mencari pasaran dan mengukuhkan namanya.

Pada tahun ini juga, Vuitton bertemu dengan Emilie Parriaux yang berusia 17 tahun yang kemudiannya menjadi isterinya. Mereka berkahwin pada tahun yang sama.

Vuitton kemudiannya berhenti kerja dengan majikannya dan membuka perniagaan rekaan kotaknya sendiri.

Beliau telah menawarkan perkhidmatan mereka kotak yang menjanjikan keselamatan barangan yang terjamin. Vuitton juga menekankan kepakarannya adalah dari segi pembuatan bekas yang menyimpan barangan-barangan fesyen.

Rekaan Kotak Baharu

4 tahun selepas membuka kedainya sendiri, Vuitton melancarkan rekaan kotak terbaru.

Lain daripada kebiasaan kotak menggunakan kulit sebagai bahan asas, kali ini Vuittton menggunakan kanvas yang membuatkan kotaknya lebih ringan dan lebih tahan lasak untuk pelbagai jenis cuaca di dalam dan di luar bangunan.

Kelainan yang dibawa bukan sahaja dalam penggunaan bahan material tetapi bentuk rekaannya yang berbentuk empat segi.

Kebiasaannya, pereka-pereka lain mengguna pakai  bentuk bulat atau bentuk kubah. Rekaan bentuk sebegini lebih senang untuk dibawa dan dihantar ke mana-mana menggunakan pengangkutan awam seperti kapal dan kereta api.

Ramai orang menyifatkan rekaan kotak barangan Vuitton ini adalah pencetus dan penanda era kelahiran beg moden dunia. Di sinilah bermulanya cara baru untuk menyimpan barang dan beg ini telah dikomersialkan dan mendapat sambutan yang menggalakan daripada orang ramai yang digunakan untuk tujuan ramai.

Vuitton berpindah ke Asnieres, sebuah kampung di luar Paris. Vuitton menerima tempahan bukan sahaja daripada kerabat diraja Perancis tetapi juga dari Mesir.

Jatuh Bangun Dunia Perniagaan

Pada tahun 1870, perniagaan Vuitton yang semakin maju ini terganggu kerana peperangan yang melanda negara Perancis pada ketika itu.

Apabila Vuitton kembali ke Asnieres selepas tamat peperangan, dia mendapati kampungnya musnah, pekerjanya telah berselerakan, peralatannya telah dicuri dan kedainya telah dimusnahkan.

Dalam masa beberapa bulan beliau telah berjaya membuka kedai baru di Rue Scribe. Dengan kedai yang baru, Vuitton telah memiliki fokus bisnes baru iaitu untuk mengeluarkan jenama yang mewah.

Kedai yang terletak di tengah-tengah kota Paris ini mendapat tarikan ramai. Vuitton memperkenalkan rekaan beg yang terbaru yang ringkas tetapi mewah. Rekaan terbaru ini adalah sesuai untuk golongan elit.

Sejak itu, bermulalah kejayaan Vuitton yang telah menjadikan Louis Vuitton sebagai jenama mewah dunia.

Legasi Louis Vuitton

Imej via iLabur

Vuitton meninggal pada usia 70 tahun pada 1892 dan legasi jenama mewah ini diteruskan oleh anak cucunya dan jenama ini kekal bertahan dan glamor sehingga kini.

Ibu pejabat Louis Vuitton kini terletak di Paris, Perancis dengan bilangan pekerja Louis Vuitton adalah seramai 120 000 orang.

Rangkaian Louis Vuitton yang mempunyai lebih daripada 460 buah kedai di seluruh dunia termasuk 3 di  Malaysia iaitu Starhill Gallery, The Gardens dan Suria KLCC.

Kini, perkhidmatan yang disediakan oleh Louis Vuitton merangkumi gedung beli belah di mana  produk utama yang menjadi teras kepada perniagaan Louis Vuitton ialah beg tangan, minyak wangi, aksesori, pakaian untuk lelaki dan perempuan, barangan mewah, barangan kulit, kasut, jam tangan, kosmetik, barang kemas, cermin mata hitam dan buku.

Kesimpulan

Kejayaan Louis Vuitton mengajar kita semua untuk sentias berusaha memajukan diri sendiri. Antaranya ialah dengan berhijrah ke situasi yang lebih baik.

Selain itu, jika kita ingin hasilkan produk jualan, pastikan barangan kita berkualiti dan tinggi dan sebaiknya lain daripada yang sedia ada di pasaran untuk memberi nilai tambah.

Setiap halangan dan dugaan yang melanda para peniaga perlu dihadapi dengan sabar dan terus aturkan langkah yang baru untuk mengembangkan lagi perniagaan. Rezeki tak akan datang bergolek kalau tak dicari!

Rujukan

  1. Editor Biography.com. (2014, 2 April). Louis Vuitton Biography, Diambil daripada https://www.biography.com/fashion-designer/louis-vuitton.html
  2. Editor Majalah Niaga. (2017, 6 Julai), Kisah Kejayaan Jenama Louis Vuitton: Bermula Dari Biasa Hingga Jadi Luar Biasa. Diambil daripada https://www.majalahniaga.com/kisah-kejayaan-jenama-louis-vuitton-bermula-dari-biasa-hingga-jadi-luar-biasa.html
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.