Nama Datuk Jimmy Choo bukanlah nama baru di negara ini, malah cukup terkenal di persada antarabangsa. Beliau merupakan seorang pereka kasut terkemuka dengan jenama Jimmy Choo mendapat sambutan hangat di luar negara. Pelbagai jenis kasut telah direka olehnya khusus untuk semua peringkat termasuklah para selebriti antarabangsa. Siapakah sebenarnya Jimmy Choo ini yang telah mengharumkan nama negara. Mari kita semak biodata Jimmy Choo yang sememangnya hebat ini.

Imej via entrepreneurtraits97

Latar Belakang

Nama sebenar Datuk Jimmy Choo Yeang Keat adalah Jimmy Chow. Semasa proses pendaftaran sijil kelahiran beliau, namanya telah tersalah ejaan dan menjadi Jimmy Choo. Nama itu kekal menjadi miliknya hingga hari ini, malah nama tersebut menjadi kebanggaan dan dikenali di seluruh dunia. Datuk Jimmy Choo telah dilahirkan pada tanggal 15 November 1948 dan berasal dari Georgetown, Pulau Pinang.

Pendidikan

Datuk Jimmy Choo bersekolah di Sekolah Rendah Shih Chung sehingga tahun enam. Beliau telah menyambung pengajian dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen di Cordwainers Technical College di Hackney, London pada tahun 1983.

Pengalaman dan Cabaran

Datuk Jimmy Choo telah mendapat pendedahan tentang teknik dan pembuatan kasut dari bapanya yang juga seorang tukang kasut. Beliau telah berjaya menghasilkan sepasang kasung pertama pada usia 11 tahun. Semasa pengajian beliau di London, bapanya hanya menanggung pengajiannya untuk tahun pertama sahaja. Yuran pengajiannya untuk tiga tahun berikutnya ditanggung sendiri hasil wang pendapatan bekerja secara separuh masa di restoran dan kilang kasut.

Setelah tamat pengajian, beliau bekerja sebagai penolong pereka fesyen di sebuah kilang di Hackney, London selama dua tahun. Kemudian, beliau telah menyewa sebuah bangunan lama yang merupakan bekas hospital untuk membuka kedai kasut miliknya. Walau bagaimana pun, selama 4 tahun penjualan kasut miliknya tidak memberangsangkan. Namun, selepas empat tahun berusaha keras, kasut rekaan beliau telah mendapat perhatian dan liputan dari Majalah Vogue di United Kingdom.

Rekaan kasut Jimmy Choo mula dikenali ramai. Namun, jualannya belum meningkat malah terus merosot biarpun semakin dikenali. Akhirnya, rekaan kasutnya telah menarik perhatian mendiang Puteri Diana dan beliau telah membelinya sekitar tahun 1990. Pembelian pertama dari mendiang Puteri Diana telah membuatkan beliau terus jatuh cinta dengan rekaan kasut Jimmy Choo.

Sejak dari itu, kasut rekaan Jimmy Choo semakin melonjak naik di persada antarabangsa. Datuk Jimmy Choo telah mengasaskan Jimmy Choo Ltd bersama – sama Tamara Mellon pada tahun 1996. Ia merupakan editor British Vogue dan mereka memulakan sebuah syarikat pengeluaran kasut yang berpusat di Itali. Permintaan kasut rekaannya semakin mendapat sambutan dan semakin terkenal.

Pada tahun 2001 Datuk Jimmy Choo telah menjual sebanyak 50 peratus saham syarikat kepada Equinox Luxury Holdings Ltd. Pengerusi dan CEO Equinox iaitu Robert Bensoussan telah menjadi CEO syarikat Jimmy Choo. Penjualan saham tersebut adalah kerana beliau ingin memberi tumpuan terhadap kerja – kerja yang dilakukan oleh Jimmy Choo Couture.

Imej via theprettyshoes

Anugerah yang diperoleh 

Datuk Jimmy Choo telah dianugerahkan dengan gelaran Datuk oleh Sultan Pahang di atas kejayaannya dalam bidang fesyen dan rekaan. Malah, beliau turut mendapat penganugerahan gelaran Profesor dari University of the Arts London di atas sumbangannya dalam bidang fesyen. Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendapat anugerah dari  Permaisuri England, Queen Elizabeth II iaitu “Order of the British Empire” OBE (Knighthood) pada tahun 2002. Sebagai penghargaan dari kerajaan negeri Pulau Pinang kepada anak kelahiran negeri tersebut, beliau turut dianugerahkan dengan Darjah Setia Pangkuan Negeri daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang juga membawa gelaran Dato’.

Sifat dan Sikap

Biarpun telah mencipta nama glamour di persada antarabangsa, namun Datuk Jimmy Choo tidak pernah melupakan asal – usulnya serta tanah air tercinta. Setiap tahun Datuk Jimmy Choo akan pulang bercuti ke kampung halaman bersama keluarganya. Saat bercuti di kampung halaman, Datuk Jimmy Choo akan meluangkan masa bersama sanak saudara serta sahabat handai di Pulau Pinang.

Antara sifat lain yang membawa kepada kejayaan beliau adalah sikap menghormati orang lain walau siapa pun mereka terutama sekali kedua ibu bapa dan para guru. Bagi Datuk Jimmy Choo, insan – insan inilah yang telah membawa kepada kejayaan kepada beliau sehingga di kenali di seluruh dunia.

Datuk Jimmy Choo yang tinggal dan hidup mewah di London tetap tidak melupakan negara Malaysia. Beliau sentiasa menceritakan tentang Malaysia dengan penuh semangat tiap kali berucap di majlis – majlis umum.

Motivasi

Datuk Jimmy Choo sentiasa berfikiran positif dan sentiasa memotivasikan dirinya sendiri kerana bagi beliau, inspirasi boleh datang pada bila – bila masa dan di mana sahaja. Seseorang yang ingin berjaya perlu bekerja dengan lebih kuat untuk mencapai apa yang diimpikan dan Datuk Jimmy Choo sering merasakan beliau masih belum berjaya mencapai yang terbaik. Oleh sebab itu, Datuk Jimmy Choo sentiasa berusaha dengan lebih baik setiap hari kerana bagi beliau masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

Minatnya yang mendalam terhadap kasut menjadikan beliau seorang yang begitu berusaha mencipta pelbagai rekaan kasut. Banyak perkara yang dipelajarinya dan bagi beliau biarpun sudah mencipta nama di dalam dunia rekaan fesyen kasut, namun masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Keazaman serta minat yang tinggi telah membolehkan beliau menempa nama di seluruh duniat.

Bagi Datuk Jimmy Choo, generasi muda pada hari ini juga perlu bekerja kuat serta membuka minda agar terus berjaya di masa hadapan. Sebagai seorang pereka fesyen kasut terkenal, kehadiran keluarga juga sangat penting dalam kehidupannya. Biarpun sibuk dengan urusan perniagaan, Datuk Jimmy Choo sentiasa meluangkan masa bersama keluarganya kerana ianya sangat penting demi kesejahteraan hidup.

Imej via yorkshireeveningpost

Kejayaan

Jenama Jimmy Choo bukan lagi jenama asing, malah jenama ini penuh dengan gaya, mewah, tulen serta menjadi pilihan ramai artis serta selebriti di seluruh dunia. Kasut rekaan Jimmy Choo selain pernah menjadi pilihan Puteri Diana, ia turut menjadi pilihan Katie Holmes, Natalie Imbruglia. Malah, ia juga pernah muncul dalam beberapa buah filem terkenal seperti In Her Shoes (Cameron Diaz) dan The Devils Wear Prada (Meryl Streep).

Kejayaan Datuk Jimmy Choo di luar negara secara tidak langsung telah dianggap sebagai duta Malaysia kerana turut membawa nama Malaysia di dunia rekaan fesyen antarabangsa. Beliau turut dianugerahkan dengan Anugerah Khas Kementerian Pelancongan kerana telah mempromosikan Malaysia di luar negara. Pada Majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2010 dan 2011, datuk Jimmy Choo telah menerima sebuah trofi daripada Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun.

Sebuah institusi pembuatan kasut telah ditubuhkan di Malaysia dan penglibatan Datuk Jimmy Choo dalam projek ini adalah sebagai sumber inspirasi kepada anak tempatan untuk berjaya dalam bidang pembuatan kasut dan pereka fesyen yang sentiasa berkembang selari dengan peredaran masa.

Kesimpulan

Setiap kejayaan yang dicapai oleh Datuk Jimmy Choo adalah berkat kesungguhan beliau dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Malah, impian dan cita – citanya yang begitu tinggi serta minat yang begitu mendalam dalam seni rekaan fesyen kasut menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya di peringkat antarabangsa. Permulaan yang sukar tidak menghalang Datuk Jimmy Choo terus mengorak langkah sehingga berjaya.

Biarpun telah menempa nama di luar negara, namun beliau tidak pernah lupa pada asal – usul dan negara tercinta. Dengan adanya usahawan berjaya seperti Datuk Jimmy Choo, pastinya kita sebagai rakyat Malaysia turut berbangga dengan kejayaan beliau yang turut memperkenalkan negara Malaysia di peringkat antarabangsa.

Jemput baca biodata Tengku Amir Shah dan biodata Sheikh Muszaphar Shukor

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.