Alibaba dan Jack Ma begitu sinonim sekali. Siapa yang tidak mengenali Jack Ma dan dunia Alibaba, rata – rata ramai yang tahu. Beliau merupakan pengasas atau pelopor Alibaba Group yang begitu terkenal dalam sektor e-dagang.

Imej via thevocket

Minatnya terhadap Bahasa Inggeris sejak berumur 12 tahun lagi telah menjadikan Jack Ma antara individu terkaya di Asia pada hari ini. Jack Ma, merupakan seorang guru yang miskin suatu tika dahulu. Namun, minatnya yang mendalam terhadap Bahasa Inggeris mendorong beliau untuk bergaul dengan bangsa asing ketika di China.

Bukan mudah untuk mencapai sesebuauh kejayaan, apatah lagi berusaha sendiri setelah kegagalan demi kegagalan ditempuhi. Namun, semangat dan usaha yang tidak mengenal erti putus asa pastinya ada sinar di masa hadapan. Dan pada hari ini, kejayaan demi kejayaan mula diraih dan tiada siapa menyangka Jack Ma akan menjadi ikon perniagaan e-dagang terkemuka di China. Jom kita lihat siapakah sebenarnya Jack Ma dan selami biodata Jack Ma dengan lebih terperinci.

Latar Belakang Jack Ma

Jack Ma atau nama sebenarnya ialah Ma Yun telah dilahirkan pada 10 September 1964 di Hangzhou, Zheijiang, China. Beliau merupakan anak kepada pasangan yang bekerja sebagai pemuzik tradisional dan bergantung hidup dengan pencen bulanan sebanyak RM 150 sebulan. Jack Ma telah berkahwin dengan pasangannya dan memiliki dua orang cahaya mata. Sebenarnya nama Jack ini diberi semasa beliau menjadi pemandu pelancong apabila salah seorang pelancong sukar menyebut nama Cinanya. Bermula dari situlah Jack Ma memperbaiki pertuturan Bahasa Inggerisnya.

Minat Bahasa Inggeris Sejak Kecil Mengubah Pemikiran Jack Ma

Seawal usia 12 tahun, Jack Ma sangat meminati bahasa Inggeris sehinggakan beliau sanggup berbasikal setiap hari selama 40 minit menuju ke hotel di daerah Hangzhou. Beliau mengambil kesempatan dengan menjadi pemandu pelancong bagi meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris dan ia berlangsung sehingga 8 tahun.

Pada tahun 1979, Jack Ma telah bertemu dengan sebuah keluarga dari Australia dan mulai rapat dengan mereka. Hubungan mereka berterusan sehingga menjadi sahabat pena. Setelah 6 tahun berhubungan, akhirnya Jack Ma telah dijemput ke Australia dan telah tinggal di sana selama sebulan. Pengalaman berada di negara orang telah mengubah pandangan Jack dan beliau telah mula berfikir dengan cara yang berbeza.

Imej via financialtimes

Gagal Bukan Sekali

Pengalaman hidup telah mengajar Jack Ma untuk sentiasa tabah menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Beliau pernah gagal mencari kerja sebanyak 30 kali, malah pernah gagal sebanyak tiga kali ketika menjalani ujian kemasukan ke universiti. Jack Ma pernah ditolak dari memasuki Universiti Harvard dan juga pernah gagal mendapat sebarang pekerjaan di KFC. Beliau juga pernah memohon untuk menjadi pegawai polis bersama lima orang rakannya namun, hanya Jack Ma sahaja gagal diterima. Pernah juga beliau memohon pekerjaan pelayan di sebuah hotel bertaraf empat bintang bersama sepupunya, namun hanya sepupunya sahaja yang diterima bekerja.

Kegagalan demi kegagalan dalam mencari pekerjaan tidak mematahkan semangatnya malah menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha sehingga berjaya. Kegigihan Jack Ma untuk terus belajar membuahkan hasil apabila beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris dari Universiti Perguruan Hangzhou dan akhirnya berjaya menjadi seorang guru sekolah menengah dengan pendapatan RM 36.00 hingga RM 45.00 sebulan.

Pada tahun 1992, Jack Ma telah dilantik sebagai Sekreteriat Pengurusan Gerai penjual ayam goreng yang dikenali ramai iaitu Kentucky Fried Chicken (KFC). Di sinilah permulaan Jack Ma mula mengenali komputer dan internet. Jack Ma bukanlah seorang yang berpengalaman tentang dunia komputer, namun beliau mula tertarik dengan internet ketika menggunakannya buat pertama kali semasa kunjungan ke Amerika Syarikat pada tahun 1995.

Berfikiran Positif Membuahkan Hasil

Sifat ingin tahu tentang internet telah membuatkan Jack Ma mendalami dunia IT. Beliau telah cuba membuat carian pertama dalam talian dengan memasukkan kekunci beer dalam enjin carian Yahoo, namun beliau tidak menyangka kerana tiada sebarang informasi tentang perkataan tersebut dari negara China. Bukan itu sahaja, malah beliau tidak menjumpai sebarang maklumat mengenai negara kelahirannya.

Bermula dari situlah, Jack Ma mendapat idea untuk membangunkan laman web berkaitan negara China. Dengan modal sebanyak USD 2000 yang dipinjam dari saudaranya, beliau telah berjaya membangunkan laman web berkaitan indeks perniagaan iaitu China Pages buat pertama kalinya.

Imej via wharton

Kegagalan Syarikatnya Tidak Memadamkan Semangat Jack Ma

Sebuah syarikat iaitu China Telecom telah menawarkan USD185,000 sebagai pelaburan dengan syarikat Jack Ma. Walau bagaimana pun, kerjasama itu gagal diteruskan kerana syarikat China Telecom yang memiliki lebih 3 kerusi lembaga daripada China Pages menjadikan idea Jack Ma tidak dipeduli dan akhirnya Jack Ma meletak jawatan.

Jack Ma kemudiannya terus bangkit dan meneruskan impiannya untuk membina syarikat e-dagang dan telah berjaya memulakan perniagaan Alibaba pada tanggal 4 April 1999. Modal perniagaan adalah hasil gabungan dari 18 orang rakannya dengan jumlah modal terkumpul sebanyak USD60,000.

Bermula Dari Bawah Semula

Pada tahun 1999, Jack Ma telah mengumpulkan seramai 17 orang rakan di pangsapurinya di Hangzhou dan telah meyakinkan sahabatnya untuk membangunkan serta melabur dalam pasaran atas talian yang diberi nama Alibaba. Modal sebanyak AS$60,00 telah berjaya dikumpulkan bagi memulakan perniagaan atas talian ‘Business to Business’ (B2B) yang menghubungkan industri kecil dan sederhana di seluruh China dengan pelanggan di seluruh dunia. Alibaba Group telah berjaya didaftarkan di Hangzhou bagi perniagaan e-dagang global.

Selama empat tahun Jack Ma dan rakan menjalankan perniagaan e-dagang tersebut sebelum menjana keuntungan. Perniagaan Alibaba terus berkembang sehingga menjadi sebuah organisasi yang memiliki lebih dari 25,000 kakitangan. Kejayaan demi kejayaan dikecapi sehingga berjaya menjual saham sehingga AS$25 juta. Ramai syarikat tertarik dengan perniagaan Alibaba sehinggakan pada tahun 1999 Alibaba telah berjaya mengumpulkan AS$5 juta dari Goldman Sachs dan sebanyak AS$20 juta dari Softbank yang merupakan sebuah syarikat telekomunikasi Jepun yang juga membuat pelaburan di syarikat-syarikat teknologi.

Alibaba dan Yahoo juga telah bekerjasama untuk jangka masa panjang pada tahun 2005. Kerjasama yang terjalin ini membenarkan syarikat Yahoo mengambil alih sebanyak 40% daripada syarikat Alibaba dan Alibaba pula akan mendapat teknologi yang digunakan oleh Yahoo. Situasi ini telah menjadikan Alibaba sebagai salah sebuah syarikat internet terbesar di China.

Tanggal 18 September 2014, Alibaba Group telah berjaya mengatasi kedudukan Facebook di Bursa Saham New York dalam jumlah penawaran awam permulaan (IPO) yang menjadikan penyenaraian teknologi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Antara anak syarikat Alibaba Group adalah :

  • Alibaba Cloud Computing
  • Alibaba.com Ltd.
  • Alisoft Holding Limited
  • AutoNavi Holdings Ltd
  • China Yahoo!
  • ChinaVision Media Group Limited
  • cnzz.com, Inc.
  • eTao
  • Taobao.com
  • Tmall.com

Kesimpulan

Alibaba berkembang dengan begitu pesat, namun syarikat itu hanya memiliki bajet yang boleh bertahan untuk 18 bulan sahaja menjelang 2002. Ini kerana keahlian pengguna Alibaba adalah percuma dan ia tidak memberi keuntungan. Mereka kemudian telah mengambil peluang menghasilkan produk untuk pengeksport China menjual kepada pembeli dari Amerika Syarikat secara online. Segala teknik baru ini telah membuahkan hasil serta berjaya menyelamatkan Alibaba. Jika di penghujung tahun 2002, Alibaba hanya mengaut keuntungan sebanyak USD1, namun kini sehingga tahun 2017, pendapatan Alibaba telah mencapai sehingga RM100 bilion. Malah, Alibaba mempunyai pengguna aktif seramai 529 juta di seluruh dunia. Kini, Jack Ma berada di tangga ke-23 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan sebanyak RM 164 bilion.

Jemput juga baca tentang biodata Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan biodata Prof Ungku Aziz

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.