Nama Ebit Lew bukanlah suatu yang asing dalam masyarakat Malaysia, malah namanya sering disebut – sebut oleh ramai orang kerana kebaikannya yang sering membantu golongan yang kurang bernasib baik. Beliau dilahirkan dalam keluarga berketurunan Cina dan beragama Buddha.
Walau bagaimana pun, ketika usianya 12 tahun, beliau telah mendapat hidayah dari Allah SWT dan mula mengenal Islam. Bagi yang tidak mengenali Ebit Lew, marilah kita sama – sama menyelami biodata Ebit Lew yang ramai tidak tahu.
Ebit Lew atau nama sebenarnya ialah Lew Yun Pau dilahirkan pada tanggal 21 Disember 1984 di Muadzam Shah, Pahang Darul Makmur. Beliau merupakan anak ketiga dari 12 orang adik – beradik dan dilahirkan dalam keluarga berketurunan Cina.
Setelah memeluk agama Islam, Lew Yun Pau telah menukar namanya kepada Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew dan kini lebih popular dengan nama Ebit Lew. Enam orang adik beradik Ebit telah pun memeluk agama Islam, manakala 6 orang lagi masih belum menerima hidayah Allah.
Ebit telah berkahwin dengan pasangannya dan dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Beliau memiliki dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Isteri Ebit sering mengenakan purdah tiap kali muncul bersama – sama Ebit.
Ebit mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Ridan dan kemudiannya bersekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah. Beliau juga telah bersekolah di beberapa sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib. Seterusnya beliau telah menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia.
Ebit Lew merupakan seorang yang sangat berbudi pekerti, sopan santun, lemah lembut serta sangat menghormati orang lain. Beliau juga sangat prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat sekeliling.
Sifat terpuji beliau sangat disenangi oleh orang ramai. Tatkala terdapat permasalahan di suatu lokasi, Ebit Lew antara insan terawal yang menghulurkan bantuan.
Setiap bantuan yang dihulurkan dilakukan sendiri bersama team yang sentiasa menyokong penuh di belakangnya. Bantuan akan diberikan kepada yang ditimpa musibah tanpa memilih bangsa, adama dan juga latar belakang mangsa.
Ebit memberikan bantuan dengan ikhlas, jujur dan berhemah. Oleh sebab itu, beliau sangat dikagumi oleh masyarakat Malaysia. Baginya, bantuan yang diberikan adalah berdasarkan kepada semangat persaudaraan serta kasih sayang sesama insan.
Ebit Lew turut memberi sumbangan kepada orang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Beliau menyalurkan bantuan di seluruh negara tanpa mengenal erti penat kerana sangat memahami situasi yang dihadapi oleh golongan yang terkesan ini.
Semasa penduduk di negeri Selangor berhadapan dengan krisis bekalan air, Ebit juga telah datang menghulurkan bantuan dengan menyediakan dua lori tangki air di beberapa lokasi yang terjejas.
Pada awal tahun 2021, Ebit juga telah menyumbangkan sebanyak 100 buah tablet kepada murid sekolah yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan. Tablet ini digunakan untuk sesi persekolahan yang diadakan secara dalam talian yang berkonsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ebit juga telah menulis beberapa buah buku motivasi yang menjadi best seller di pasaran. Buku – buku ini sangat mendapat sambutan kerana Ebit menerapkan unsur dakwah dalam setiap bait yang ditulisnya. Antara buku yang ditulis berjudul:
Ebit juga telah melancarkan perniagaan dalam sektor peruncitan yang dikenali dengan nama ElewsMart. Pada Julai 2020, sebanyak 10 buah cawangan pertama telah dibuka di beberapa kawasan iaitu terletak di Bandar Baru Bangi, Sg. Buloh, Balakong Cheras, Shah Alam, Damansara, Prima Gombak, Gombak Traders dan Subang Perdana.
Tujuan penubuhan ElewsMart adalah untuk menjadi sebuah syarikat peruncitan utama milik orang Islam yang menyediakan keperluan utama harian dengan harga yang murah. Selain itu, ElewsMart ini juga dijadikan sebagai hub bantuan kepada mereka yang memerlukan keperluan asas tanpa mengira bangsa dan agama dengan menyediakan ‘Food Bank’ di setiap cawangan ElewsMart.
Antara lain tujuan penubuhan ElewsMart juga adalah untuk membantu pembangunan ekonomi negara dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.
Ebit Lew antara insan dermawan yang sangat prihatin terhadap masalah atau musibah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Sering menjadi antara yang terawal memberi bantuan, sikapnya ini seharusnya dicontohi oleh semua orang.
Biarpun pernah suatu ketika perbuatannya ini sering disalah tafsir, namun beliau tidak pernah berputus asa menghulurkan bantuan. Sekiranya beliau berputus asa kerana tanggapan negatif orang sekeliling, maka bantuan tidak akan dapat disalurkan dan lebih ramai orang miskin dan gelandangan tidak dapat menerima bantuan lagi daripadanya.
Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menyokong tindakan positif yang dilakukan oleh Ebit Lew ini agar lebih ramai nasib golongan yang kurang bernasib baik terbela.
Jemput baca biodata Syamsul Debat dan biodata Ustaz Kazim Elias