Celotehnya yang bersahaja dalam rancangan masakan pastinya menarik perhatian para penonton. Mulutnya agak becok sambil tangkas memasak, sebentar sahaja sudah tersedia beberapa hidangan yang begitu enak. Sebut sahaja nama Datuk Chef Wan, pastinya ramai mengenalinya. Bukan sahaja merupakan seorang Chef Profesional, malah beliau turut menjadi penulis, penghibur dan juga pengacara rancangan. Jom kita terjah apa yang menarik tentang biodata Datuk Chef Wan ini.

Kehidupan Awal

Nama sebenar Datuk Chef Wan adalah Redzuawan bin Ismail. Dilahirkan di Singapura pada tanggal 6 Januari 1958. Beliau merupakan anak sulung daripada 7 orang adik beradik.

Datuk Chef Wan mempunyai darah kacukan. Bapanya Ismail Md Nor berketurunan Jawa dan Melayu Riau. Ibunya Noraini Abdullah pula berketurunan Jepun dan Nyonya.

Ibunya merupakan seorang muallaf Cina dan berkahwin dengan bapanya yang merupakan seorang tentera. Bagi meringankan beban ayahnya, ibunya juga telah membuat kuih untuk dijual sebagai sumber pendapatan tambahan.

Chef Wan juga telah diminta untuk bersama – sama membantu keluarga menambah pendapatan. Dari sinilah bermulanya Chef Wan mengenali dunia masakan. Perasaan ingin tahu yang tinggi mendorong Chef Wan sentiasa mempelajari serta membuat eksperimen masakan.

 Kegigihannya ini telah menjadikan beliau seorang chef celebriti terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Beliau telah menamatkan zaman bujangnya bersama isterinya Norhayati Ayub yang ketika itu berumur 17 tahun. Hasil perkahwinan ini, mereka telah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohd Nazri dan Serina.

Imej via asiatatler

Sejarah Pendidikan

  • Chef Wan mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Terendak, Melaka
  • Beliau kemudiannya bersekolah menengah di sekolah berasrama penuh iaitu di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK)
  • Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Chef Wan telah melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Institusi Teknologi Mara (ITM)
  • Beliau juga telah meneruskan pengajian di Universiti New South Wales, Australia dan kemudian menyambung pengajian Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat
  • Selain mendapat penganugerahan dalam bidang perakaunan dan bidang perhotelan, beliau turut memiliki Diploma dari Hotel Ritz, Paris

Pengalaman Kerjaya

  • Chef Wan memulakan kerjaya pertamanya sebagai seorang akauntan
  • Chef Wan telah memulakan kerjayanya dalam rancangan tv sebagai chef masakan dalam rancangan Kuali pada tahun 1992
  • Selain Kuali, program masakan lain yang dikendalikan beliau adalah seperti Acu – Acu Aidilfitri, Ciptarasa, Selera dan program masakan antarabangsa seperti Flavour of Asia di saluran Prime 12, Singapura
  • Beliau juga pernah menjadi pengacara, penulis dan juga pelakon
  • Chef Wan pernah membantu menguruskan restoran sahabatnya iaitu Alexander Café
  • Beliau juga pernah bekerja dengan Keluarga Gentrys yang merupakan sebuah keluarga hartawan di Hawaii dan pernah menyediakan hidangan untuk beberapa selebriti terkenal Hollywood termasuklah Barbara Streisand dan Elizabeth Taylor
  • Beliau juga pernah dilantik menjadi Chef Residen (Bintang Primier) bagi saluran masakan Asia yang berpangkalan di Hong Kong
  • Chef Wan turut menulis dan menerbitkan pelbagai jenis buku resepi seperti Flavours of Malaysia, Chef Wan’s Sweet Treats, diterbitkan oleh Times Edition pada tahun 2000

Sumbangan

  • Chef Wan pernah mewakili Malaysia di pelbagai ekspo makanan dan pameran pelancongan seperti pameran anjuran Tourism Malaysia, Malaysian Internatonal Trade Board (MALTRADE) dan Malaysian Airlines (MAS)
  • Beliau juga pernah terlibat dalam beberapa demonstrasi masakan seperti ‘The World Food Expo’ di Paris, France dan Beijing, China serta banyak lagi demonstrasi masakan
  • Cehf Wan pernah memberi seminar tentang “The Excitement and Enticement of Malaysian Cuisine” yang diadakan di IFCA/IFSA iaitu Persidangan Asia Pasifik
  • Chef Wan juga pernah menjadi pembantu pengacara di majlis ‘Gala Dinner’ untuk ‘Gourmand World Cook Book Award ke 9 di Barcelona, Spain

Pencapaian

  • Chef Wan pernah menerima anugerah ‘Life Time Achievement South East Asia Cuisine dan ‘Best of Wan Taste of Malaysia’ yang merupakan anugerah berprestij daripada ‘National Choice’  
  • Beliau telah diberi peluang menyediakan hidangan untuk dua tokoh terkenal iaitu Sultan Brunei dan juga bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton
  • Buku masakannya yang bertajuk ‘Salon International Du Livre Gourmand’ telah mendapat anguerah pada tahun 2000
  • Chef Wan telah mendapat pingat emas dengan menyampaikan ‘The Royal Dining Etiquette of the Palace of Perak
  • Penyertaan Chef Wan semasa pertandingan memasak di California telah membawa kejayaan kepada beliau dan telah merangkul tempat kedua dalam pertandingan tersebut
  • Beliau juga telah dipilih sebagai ‘Malaysia Airlines (MAS) Holiday Travel Icon Ambassador’ untuk program menjelajah dunia
Imej via salwani-waniworld

Senarai Nama Rancangan Masakan

Antara rancangan masakan yang popular dikendalikan oleh Chef Wan adalah seperti berikut:

  • The Kuali Cook ShowChef Wan,
  • Citarasa Sedunia Bersama Gas Petronas
  • A Taste of Australia with Chef Wan (Australian ABC Networks)
  • Market Kitchen (UK Food Network)
  • Flavours of the World (TV4, Sweden)
  • Flavours of Asia (Prime 12, Singapore)
  • Chef Wan and Gino’s Specials (Orge TV, Norway)
  • Ekspedisi Chef Wan (TV9)

Anugerah dan Pengiktirafan

  • Chef Wan telah dianugerahkan gelaran Datuk pada Februari 2010 oleh Yang Di-Pertuan
  • Agong
  • Beliau telah dilantik menjadi Duta Kulinari oleh Tourism Malaysia pada November 2010
  • Chef Wan telah menerima anugerah The Best Celebrity Television Chef bagi Gourmand World Cookbook Awards pada tahun 2009
  • Menerima anugerah berpestrij daripada National Critics Choice iaitu Life Time Achievement South East Asia Cuisine menerusi kategori The Hospitality and Dining Awards 2011/2012 dan juga Best Editor‘s Choice Award berdasarkan buku masakannya, Best of Wan Taste of Malaysia
  • Kerajaan Thailand juga telah memberi gelaran Friends of Thailand Award pada September 2010

Kesimpulan

Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi seorang chef terkenal bukan sahaja di Malaysia, namun di peringkat antarabangsa. Namun, minat serta keinginan yang tinggi dalam bidang masakan telah berjaya membawa nama Chef Wan ke seantero dunia. Beralih dari bidang akauntan ke bidang masakan ternyata membawa kejayaan ke dalam kehidupan Chef Wan. Ramai yang kagum dengan kebolehan serta kreativiti Chef Wan dalam menghasilkan resepi masakan yang unik begitu enak untuk dinikmati.

Sering berleter sewaktu mengelola rancangan masakan, membuatkan para penonton dan peminat begitu terhibur dengan leterannya. Chef Wan yang sentiasa sibuk dengan program masakan akan tetap meluangkan masa bersama keluarga dengan bercuti di tempat – tempat menarik untuk berehat seketika.

Semangat dan kegigihannya sejak muda telah membolehkan Chef Wan menghasilkan beberapa buah buku masakan untuk para peminatnya. Beliau sentiasa berkongsi ilmu dan kemahiran yang dipelajarinya setiap kali mengelola rancangan masakan. Sememangnya Chef Wan bukanlah seorang chef biasa, tetapi merupakan seorang chef terkenal di seluruh negara.

Jemput juga baca biodata Charlie Lee dan biodata Larry Page

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.