Anda berminat untuk melabur dalam saham tapi tak tahu bagaimana untuk bermula? Langsung tak tahu apa-apa tentang saham tapi punya keinginan yang membuak-buak untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang saham? Jom kami kongsikan info menarik untuk anda belajar saham: 5 cara terbaik untuk anda bermula.

1. Buka Akaun CDS

Kalau anda nak menceburkan diri dalam dunia saham, perkara pertama yang anda wajib ada ialah Akaun CDS. Central Depository System  atau singkatannya CDS adalah akaun yang anda wajib ada sebelum memulakan aktiviti membeli dan menjual saham. Bayangkan ia seperti akaun simpanan bank. Kalau takde akaun bank, anda tak boleh membuat simpanan dan mengeluarkan duit dari bank. Begitulah lebih kurang.

Umur minima untuk memohon akaun CDS ialah 18 tahun dan anda dibenarkan untuk mempunyai lebih dari satu akaun CDS dalam satu masa. Sebagai contoh, katakan anda sudah membuka akaun CDS melalui broker Maybank Investment, dalam masa yang sama juga anda boleh memohon akaun seterusnya bersama broker yang lain pula. Ada ramai pelabur saham yang memilih untuk memiliki lebih daripada satu akaun CDS dalam satu masa.

Untuk maklumat anda, Akaun CDS mempunyai tempoh sah laku sebelum diisytiharkan sebagai akaun dormant. Ia akan menjadi dormant sekiranya anda tidak melakukan sebarang transaksi selama 3 tahun dan menyebabkan akaun anda menjadi tidak aktif. Jika akaun anda sudah diisytiharkan sebagai dormant, anda perlu menghantar semula permohonan untuk mengaktifkan semula akaun CDS tersebut.

Bayaran pendaftaran untuk memohon akaun CDS ialah RM10 untuk satu akaun. Ada sesetengah broker yang memberikan subsidi yuran pendaftaran kepada pemohon baru yang menyertai mereka. Oleh itu lakukan survey dahulu sebelum memilih broker. Untung juga kalau dapat berjimat RM10 untuk bayaran pendaftaran. Broker saham yang baik akan membimbing anda tentang teknik-teknik terbaik, bimbingan tentang platform dan akan sentiasa menyampaikan perkembangan terkini berkaitan dunia saham kepada anda.

Untuk memohon akaun CDS, anda perlu memberikan maklumat berikut kepada broker anda:

  • Nama
  • Emel

2.  Bina modal atau dapatkan bantuan modal

Apabila sudah mempunyai akaun CDS, secara automatic anda sudah mempunyai akaun trading untuk melakukan proses jual beli saham. Sekarang anda sudah boleh melabur dalam saham dengan melakukan urusan jual dan beli. Untuk membeli saham pastinya anda memerlukan modal. Bagaimana untuk mendapatkan modal? Jom kami kongsikan tips.

Anda boleh mula mengumpul modal dengan mengasingkan 10% – 20% duit gaji bulanan anda untuk dijadikan sebagai modal bermain saham. Sebagai contoh jika gaji bulanan anda adalah sebanyak RM3000.00, asingkan RM 300.00 sehingga RM 600.00 mengikut kesesuaian bajet anda. Duit inilah yang akan dijadikan sebagai modal anda bermain saham.

Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk banyakkan mencari ilmu tentang pasaran saham. Anda boleh mendapat ilmu tentang saham melalui kaedah berikut:

  • Buku
  • Blog
  • Kelas pelaburan
  • Follow media sosial personality yang selalu berkongsi info tentang pelaburan saham
Sumber: Worldscholarshipforum

3.  Cari kaunter saham untuk dibeli

Sekarang tiba masa untuk anda pilih saham mana yang anda nak beli. Kaunter yang mana? Di sini terlebih dahulu anda perlu mempunyai matlamat pelaburan iaitu sama ada anda ingin melabur untuk jangka masa panjang atau anda memilih untuk melabur untuk tempoh yang pendek. Ini kerana kriteria pemilihan saham adalah berbeza di antara kedua jenis pelaburan ini.

Jika anda ingin melabur untuk tempoh yang panjang, anda perlu melakukan kajian terperinci tentang  isu fundamental kewangan serta potensi perkembangan syarikat yang anda pilih. Sebaliknya jika anda hanya ingin melabur untuk tempoh yang pendek, anda perlu mengkaji pergerakan harga saham sahaja tanpa perlu mendalami tentang fundamental kewangan syarikat tersebut.

4. Pilih saham untuk dibeli

Setelah memutuskan sama ada nak melabur untuk jangka masa panjang atau pendek, kini tiba masa untuk anda memilih saham mana yang nak anda beli. Pastikan anda membuat pilihan dengan ilmu dan mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

  • Telah melakukan kajian saham secara menyeluruh
  • Mempunyai trading plan. Paling penting anda mempunyai rancangan tentang entry price, target price dan cut loss

5. Pengalaman

Akhir sekali, pengalaman adalah guru terbaik dalam perjalanan anda bermain saham. Sebagai orang baru pastinya anda akan berasa takut-takut kerana melangkah ke duni baru. Tambahan pula anda mempertaruhkan wang yang dikumpul dengan susah-payah. Sentiasa ingat bahawa niat anda bermain saham ialah untuk mendapatkan rezeki yang halal buat keluarga. Asalkan anda bermula dengan ilmu dan lakukan dengan niat yang betul, pastinya sedikit demi sedikit anda akan mengutip pengalaman dan akhirnya menjadi matang dalam arena pasaran saham.

Pelaburan saham melibatkan untung dan rugi. Ada masanya anda mungkin akan tersilap percaturan lalu mengalami kerugian namun jangan jadikan ia sebagai penghalang untuk terus mencari pengalaman. Apa sekali pun, yang paling penting jangan terlalu beremosi. Jangan terlalu ikutkan perasaan.

Pelaburan saham adalah marathon, bukannya pecutan. Anda perlu lakukan secara perlahan-lahan sehingga mendapat langkah yang betul dan tepat. Apabila anda sudah mendapat langkah dan irama yang betul, anda boleh mula memecut laju untuk mengumpul keuntungan demi keuntungan.

Itulah dia info tentang belajar saham: 5 tempat terbaik untuk anda bermula yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang zakat saham, maksud saham pertumbuhan dan maksud pasaran hadapan dalam saham.

Rujukan:

1. Belajar Saham Dengan Mudah. Maher Saha

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.