Selepas berpuluh tahun bekerja makan gaji dan sebagainya. seawal usia 50 tahun, ramai antara pekerja ini akan bersara dan menikmati fasa hidup baru yang kita panggil zaman persaraan atau pencen.

Sepanjang tempoh ini, banyak aktiviti yang digunakan untuk mengisi masa lapang persaraan seperti menyertai kelas agama, berhubung semula dengan sahabat lama, melancong atau sekadar menghabiskan masa bersama keluarga dan anak cucu.

Jangan pelik kalau ada pesara ini yang masih berminat untuk kembali bekerja dengan menjalankan perniagaan sendiri atau bekerja di sektor yang memerlukan khidmat kepakaran mereka.

Oleh itu, artikel kali ini akan cuba mengupas faktor yang mendorong pesara untuk kembali bekerja.

Jom baca!

Pengenalan

Pada setiap tahun, beribu-ribu pekerja memulakan persaraan masing-masing tidak kira secara wajib mahupun secara pilihan. Persaraan ini menyebabkan seseorang pesara mengalami proses transisi dalam kehidupan mereka.

Satu implikasi yang bakal diterima oleh golongan pesara adalah penyesuaian terhadap kehidupan baharu selepas persaraan dan keperluan kewangan dalam tempoh tersebut.

Situasi ini mendorong golongan pesara untuk memikirkan keperluan bagi merancang kehidupan mereka selepas persaraan. Sehubungan dengan itu, dapat dikatakan bahawa tidak semua pesara dikatakan bersara sepenuhnya daripada pekerjaan tetap.

Banyak pesara yang mengambil keputusan untuk kembali ke alam pekerjaan selepas bersara. Bagi menghadapi cabaran persaraan, bekerja selepas bersara membolehkan seseorang pesara bekerja secara separa masa, sepenuh masa mahupun bekerja sendiri.

Faktor Mempengaruhi Rasional Kembali Bekerja

Imej via iLabur

Dalam aspek ini, pesara sudah tentu mempunyai sebab-sebab tertentu untuk bekerja selepas bersara. Dari satu sudut, pelbagai faktor yang mempengaruhi rasional di sebalik kecenderungan untuk bekerja selepas bersara adalah seperti berikut:

  • umur
  • jantina
  • taraf kesihatan
  • kewujudan peluang
  • pilihan kerja
  • minat
  • keperluan untuk bekerja
  • faktor kewangan
  • komitmen keluarga
  • hubungan sosial

Pemerhatian di Peringkat Global

Di negara Barat, pelbagai faktor yang mendorong pesara untuk kembali ke alam pekerjaan selepas persaraan. Bekerja selepas bersara dipengaruhi oleh situasi individu, budaya organisasi dan faktor sosioekonomi.

Dalam aspek ini, kedudukan kewangan, faktor keluarga, keperluan peribadi, sikap organisasi terhadap pekerja yang lebih tua, peluang perniagaan dan status pasaran kerja dilihat sebagai aspek penting bagi pesara mempertimbangkan kemahuan untuk bekerja selepas bersara.

Contohnya kajian yang dilakukan di Michigan, pesara yang bekerja selepas bersara lebih menjurus kepada golongan yang memiliki pendapatan yang lebih tinggi sebelum bersara dan memperoleh jumlah pendapatan yang tinggi selepas bersara.

Situasi di Belanda pula menunjukkan bahawa kedudukan kewangan yang tidak kukuh sebagai salah satu halangan terbesar kepada seseorang pekerja dalam menjalani kehidupan jika ia memilih untuk bersara.

Di Amerika Syarikat, menyambung kerja selepas bersara membolehkan seseorang pesara mengurus aktiviti harian selain bertindak sebagai jaminan kewangan bagi keperluan hidup dalam tempoh bersara. Jaminan kewangan dapat membantu kehidupan pesara apabila mereka memilih untuk bekerja selepas bersara.

Pesara Lelaki vs Perempuan

Imej via iLabur

Lelaki lebih banyak memilih untuk bekerja selepas bersara berbanding wanita. Pelabelan terhadap wanita sebagai mempunyai status sosioekonomi yang rendah turut mempengaruhi wanita untuk menceburi kerja khususnya dalam kalangan wanita berusia.

Malah, faktor pasangan hidup turut mempengaruhi pesara memilih untuk bekerja selepas bersara. Pesara yang tiada pasangan hidup atau pasangan mereka masih bekerja ketika pesara melalui tempoh persaraan akan berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan sosial akibat kekurangan hubungan sosial. Pesara yang mempunyai pasangan hidup yang masih bekerja lebih cenderung untuk bekerja selepas bersara.

Konteks Pesara di Malaysia

Dalam konteks Malaysia, bekerja selepas bersara sebagai sepenuh masa, separa masa mahupun bekerja sendiri tidak dapat dinafikan kewujudannya. Keperluan kewangan yang stabil amat perlu bagi pesara menjamin kesejahteraan sosial di hari tua.

Dalam konteks ini, golongan ini perlu memastikan agar kewangan adalah mencukupi bagi menyara kehidupan mereka. Golongan pesara amat memerlukan kewangan bagi menjamin keperluan harian dan rawatan kesihatan.

Mereka beranggapan bersara membolehkan pesara yang mempunyai sumber kewangan yang terhad berupaya memperoleh pendapatan tambahan bagi membantu masalah kewangan yang dihadapi.

Tinjauan Keperluan Bekerja Selepas Bersara

Imej via iLabur

Muhamad Khairul Ismail & Suresh Kumar N Vellymalay pada tahun 2018 telah melakukan soal selidik berkaitan isu ini terhadap para peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar, Perlis. Berikut merupakan antara hasil penemuan mereka.

Sebanyak 84.0% pesara terlibat dalam perniagaan untuk menyara keluarga masing-masing. Menurut seorang pesara:

Nak haghap det pencen memang tak cukup, kene meniaga jugak la, nak sara anak ngaji ngan belanja dapoq.”

Seorang lagi pesara menyatakan:

Cari duit lebih untuk tampung perbelanjan keluarga, sebab duit pencen tak cukup. Kalau ada lebihan lagi, bole simpan untuk pi naik haji.”

Sebanyak 7.0% pesara mengatakan bahawa minat terhadap perniagaan menyebabkan mereka memilih untuk berniaga di pasar ini. Salah seorang pesara menyatakan:

“Memang minat berniaga, masa bekerja dulupun, ada buat berniaga secara kecil-kecilan, cari duit lebih. Jadi lepas bersara, saya sambung berniaga”

Selain itu, seorang pesara melibatkan diri dalam perniagaan untuk memenuhi masa lapang manakala dua orang pesara lain masing-masing mengatakan bahawa penglibatan mereka dalam perniagaan didorong oleh keperluan meneruskan pekerjaan sambilan dan keperluan mewarisi perniagaan keluarga. Menurut seorang pesara yang mewarisi perniagaan keluarga menyatakan:

“Perniagaan ni milik keluarga, sebelum ni isteri yang jaga, bila saya dah pencen, saya jaga pula, dari takda apa-apa nak buat, baik berniaga dapat cari duit sikit, jumpa kawan-kawan.”

Daripada hasil kajian yang diperoleh, keperluan kewangan untuk menyara keluarga merupakan faktor utama yang mendorong majoriti pesara untuk terlibat dalam perniagaan. Peningkatan kos sara hidup meningkatkan keperluan kewangan untuk menyara keluarga bagi menampung kehidupan.

Kesimpulan

Kualiti hidup yang baik selepas persaraan merupakan matlamat setiap pesara. Namun demikian, kemampuan ekonomi merupakan satu elemen yang penting dalam menjamin kualiti hidup yang diinginkan.

Kekangan kewangan telah mendorong ramai pesara untuk melibatkan diri dalam perniagaan. Penglibatan pesara dalam aktiviti berniaga dipercayai dapat meningkatkan pendapatan. Hasil lebihan keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan turut membolehkan pesara untuk menabung.

Kesedaran bakal pesara untuk merancang simpanan peribadi demi jangka masa panjang agar tabungan tersebut boleh digunakan apabila bersara nanti tanpa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen atau wang KWSP.

Rujukan

  1. Gonzales, E., Lee, Y., & Brown, C. (2017). Back to work? Not everyone. Examining the longitudinal relationships between informal caregiving and paid work after formal retirement. The Journals of Gerontology: Series B72(3), 532-539.
  2. Ismail, M. K., & Vellymalay, S. K. N. (2018). PESARA DAN DORONGAN BERNIAGA SELEPAS BERSARA: MINAT ATAU KEPERLUAN?. e-BANGI13(5), 33-47.
  3. Kim, S., & Feldman, D. C. (2000). Working in retirement: The antecedents of bridge employment and its consequences for quality of life in retirement. Academy of management Journal43(6), 1195-1210.
  4. Moen, P., & Flood, S. (2013). Limited engagements? Women’s and men’s work/volunteer time in the encore life course stage. Social problems60(2), 206-233.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.