Apa khabar gaji anda? Sihat kah? Dompet makin menipis ataupun tebal dengan resit? Atau bila buka dompet rasa serupa tumbuk bawang?

Bagi yang bekerja makan gaji, duit gaji kadangkala rasa cukup, kadangkala rasa tak cukup dan adakalanya kena berhutang dengan kawan. Lepas itu pula, buat-buat lupa, buat-buat hilang ingatan. Siapa yang pernah buat macam itu, lekaslah bayar. Hutang jangan buat main.

Semua masalah itu berkait rapat dengan ilmu pengurusan kewangan anda. Proses pembelajaran mengawal kewangan sendiri bukan boleh mahir dalam sehari dua. Ia perlukan masa, pembelajaran berterusan dan disiplin yang tinggi.

Antara yang anda boleh buat akan kami kongsikan di bawah ini.

7 Tips Mudah Untuk Rasa Gaji Sentiasa Cukup

7 Tips Mudah Untuk Rasa Gaji Sentiasa Cukup

Imej via Dreamstime

1. Simpan Dulu Baru Belanja

Amalkan tabiat menyimpan terlebih dahulu. Biasanya, bila dapat gaji terus simpan 10% daripada gaji. Jangan kacau duit tu dan jangan keluarkan. Kalau boleh, simpan di tempat yang susah anda keluarkan seperti Tabung Haji, ASB, unit amanah.

2. Sediakan Bajet Bulanan

Bajet ataupun perancangan bulanan amat penting bagi mengelakkan duit gaji anda hilang entah ke mana dan untuk memastikan anda dapat membayar komitmen bulanan dengan tepat. Pastikan pula setiap kali merangka bajet bulanan, ada peruntukan untuk perlindungan takaful.

Contohnya jika anda bergaji RM2500, maka :

  • Makan minum: RM400
  • Sewa bilik: RM250
  • Duit minyak motor: RM50
  • Hiburan: RM100
  • Ibu bapa: RM400
  • Bil utiliti: RM100
  • Bil air letrik: RM50
  • Takaful medikal kad: RM100
  • Simpanan: RM300

3. Hidup Di Bawah Kemampuan

Hidup di bawah kemampuan bukan bererti anda kena hidup miskin sepanjang masa. Bukan begitu. Ia bererti anda kena meminimumkan perbelanjaan.

Contoh, anda mampu beli Honda City tapi beli Saga saja. Fungsinya sama, sampai juga ke destinasi yang hendak dituju. Anda mampu beli baju mahal, tapi beli yang murah dan berkualiti saja. Yang murah belum tentu tiada berkualiti.

Dengan adanya bajet bulanan, anda dapat tahu setakat mana kemampuan anda. Misalnya, selepas membuat bajet, gaji anda tinggal RM100 je. Agak-agak selepas itu, anda mahu beli kereta mewah kah? Tak kan. Jadi, bolehlah sedar diri tu daripada terus hanyut.

4. Keperluan VS Kehendak

Belanja ikut keperluan. Bukan ikut nafsu dan bukan semata-mata mahu nampak hebat dan mewah di mata orang. Biarlah tak nampak hebat di mata orang pun, janji poket sentiasa penuh.

Terlalu nak up to date. Bila iPhone 7 keluar, beli iPhone 7, bila iPhone X keluar, tukar lagi. Kononnya tak mahu ketinggalan dengan arus pemodenan. Padahal online pun harapkan WiFi ataupun share hotspot kawan.

Jangan jadi hamba kepada barang kemewahan. Tak fikir panjang terus beli walaupun berhutang. Kalau kau mampu, tak kisahlah. Padahal duit dalam bank tinggal tiga angka je lepas seminggu gaji. Tu pun mujur tiga angka. Kalau dua angka? Fikir-fikirlah sendiri.

5. Mencari Sumber Pendapatan Sampingan

Jika tiap bulan aliran tunai anda sentiasa negatif, itu bererti duit gaji anda masih belum mampu untuk menampung kos hidup anda. Anda kena cari pendapatan sampingan. Dapat cover belanja makan, susu, pampers anak pun sudah okay.

Contohnya boleh ambil komisen jual buku-buku, jadi introducer kepada ejen hartanah, jual serunding, kek lapis, keropok lekor, ejen dropship, jual apa bahan yang femes dekat negeri anda, jadi Grab ataupun My Car.

6. Kawal Perbelanjaan

Jika anda tidak mampu menjana pendapatan sampingan, cubalah kawal perbelanjaan tersebut, berjimat-cermat.

Ini tidak. Sudah tak tahu menjana pendapatan sampingan, gaji yang dapat digunakan untuk berjoli sakan pula. Tengah bulan, mula lah macam cacing kepanasan. Cari kawan sana sini untuk berhutang.

Masa mahu beli barang keperluan, buat perbandingan. Ada kedai yang menjual barang yang sama tetapi dengan harga yang lebih murah. Buatlah rekod perbelanjaan yang membolehkan anda monitor perbelanjaan tersebut dengan jelas.

7. Mendermalah

Jangan takut miskin jika kita menderma. Mendermalah pada mereka yang memerlukan. Sekali-sekala, belanjalah kawan makan atau bagi hadiah hari jadi.

Duit pada mak ayah jangan lupa. Bagi ikut kemampuan diri-sendiri. Belanja la adik-beradik makan bila dapat gaji. Membahagiakan keluarga sendiri dan orang tersayang itu lebih utama. Lagi murah rezeki kita.

Rezeki ini bukan duit sahaja. Ia wujud dalam pelbagai cara seperti cepat naik pangkat ataupun tiap bulan dapat makan percuma. Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Jangan tunggu kaya dulu baru derma. Kita pun tak tahu bila kaya. Takutnya, ajal dulu sebelum kaya. Tak sempat nak derma. Rugi kan. Ingat, dalam gaji kita ada rezeki orang lain.

***

Banyakkan membaca dan menambah ilmu. Selalu berkongsi ilmu dengan orang lain juga akan menjadikan kau orang lagi mahir. Jangan kedekut nak sebar ilmu tersebut. Bila dah ada ilmu, bertindaklah. Gunakan sebaiknya. Tahu saja tak guna kan. Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah.

Muhasabahlah diri sekejap. Kenapa gaji orang lain kecil daripada kita tapi cukup je. Kita gaji beribu-ribu tapi belum sampai hujung bulan, duit gaji sudah habis, malah perlu berhutang pula. Mungkin ada silap kita. Semak balik diri. Mana tau kita ada culas time kerja ataupun buat kerja dengan niat yang tak betul.

Berbelanja lah mengikut kewangan sendiri, jangan mengikut nafsu dan kewangan orang lain. Mulalah merancang daripada sekarang. When you fail to plan, you plan to fail. Ayuh, belum terlambat untuk bertindak. Omputeh kata, better late than never.

Share jika bermanfaat. Sebar ilmu dapat pahala.

Copy

Penulis: Amir Syahir

Rajin berkongsi ilmu hartanah, pengurusan kewangan, tips ASBF dan ilmu yang bermanfaat. Ikuti lagi tips-tips menarik tentang ASBF terutamanya di Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.