Artikel ini ingin kongsiakn tips temuduga yang boleh anda gunakan jika dipanggil untuk datang interview pekerjaan.

Membuat persiapan untuk menghadiri temuduga memerlukan lebih daripada setakat anda hanya membuat carian di enjin carian seperti Google tentang soalan-soalan temuduga yang biasa. Sebaliknya, anda harus menyediakan tanggapan pertama yang hebat dan bersesuaian.

Anda boleh melakukannya dengan mempunyai pengetahuan yang baik tentang syarikat sasaran anda serta produk-produknya dan semestinya mengetahui bagaimana untuk meyakinkan penemuduga bahawa anda adalah individu yang paling sesuai untuk pekerjaan atau jawatan yang disediakan.

Justeru, bagi membantu anda bersiap sedia, artikel ini menyusun senarai tips-tips serta panduan sebelum temuduga yang terbaik. Bermula daripada membuat strategi untuk menjawab soalan-soalan yang sukar kepada waktu anda ingin keluar daripada bilik temuduga, berikut merupakan 10 tips dan panduan untuk memastikan anda melalui temuduga anda dengan cemerlang.

1. Buat Kajian

Luangkan masa sebanyak mungkin untuk mengkaji dan mempelajari segalanya yang mungkin tentang syarikat dan juga jawatan yang ditawarkan. Anda boleh mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang ada sebanyak mungkin. Selain itu, anda boleh bertanyakan kepada rakan-rakan atau kenalan, baca berita-berita semasa dan yang paling mudah adalah, anda boleh meluangkan masa membuat carian di Google.

Namun begitu, kebiasaannya calon hanya melihat maklumat yang dikeluarkan oleh syarikat melalui laman web syarikat dan juga media sosial, namun mereka gagal untuk melihat dengan lebih mendalam berkenaan dengan apa yang dikeluarkan dengan maklumat tersebut. Dengan meluangkan masa membuat kajian, anda akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang syarikat tersebut dan juga jawatan yang ditawarkan tersebut, termasuklah maklumat-maklumat yang negatif.

2. Sediakan Soalan

Anda boleh menyediakan beberapa soalan yang bagus dan bersesuaian serta berkaitan ketika menghadiri temuduga untuk diajukan kepada penemuduga atau panel. Dengan melakukan ini, ia dapat menunjukkan pengetahuan anda tentang syarikat dan juga kesungguhan anda. Penemuduga akan sentiasa bertanya sama ada anda mempunyai sebarang pertanyaan, oleh itu, tidak kira apa pun, anda harus bersedia dengan satu atau dua.

Sekiranya anda mengatakan “Tidak, tiada soalan”, ia mungkin menunjukkan bahawa anda tidak begitu berminat dengan pekerjaan yang ditawarkan atau terhadap syarikat tersebut. Anda mungkin boleh bertanyakan soalan-soalan seperti, “Sekiranya anda boleh mencipta calon untuk jawatan ini, seperti apakah calon tersebut boleh digambarkan?” Kemudian, cuba fikirkan satu atau dua lagi soalan untuk diajukan.

3. Etika Berpakaian

Kenakan pakaian yang terbaik dan bersesuaian dengan pekerjaan yang ditawarkan. Pakaian terbaik bergantung kepada jenis pekerjaan dan juga syarikat yang anda akan temuduga. Anda semestinya ingin berpakaian untuk memberikan tanggapan yang terbaik, namun anda harus memilih pakaian berdasarkan kod pakaian (dress code) pekerjaan atau syarikat tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya anda memakai sut ketika menghadiri temuduga untuk jawatan jurulatih bola sepak atau memakai kemeja-T ketika menghadiri temuduga di bank, ia menunjukkan bahawa anda tidak begitu memahami jawatan yang ditawarkan dan syarikat tersebut.

4. Tepati Masa

Hadiri temuduga anda 5-10 minit lebih awal. Majikan biasanya menilai ketepatan masa, dan sekiranya anda tiba walaupun seminit lambat, anda telah memberikan tanggapan pertama yang buruk. Namun begitu, datang terlalu awal (lebih dari 10 minit) boleh memberi tekanan kepada penemuduga, terutamanya jika mereka mempunyai beberapa temuduga untuk dijalankan sepanjang hari tersebut.

5. Tanggapan Pertama

Tanggapan majikan terhadap calon yang ditemuduga memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan sama ada calon tersebut diterima atau tidak. Oleh itu, memberikan tanggapan pertama yang terbaik adalah sangat berguna dan memberikan kelebihan kepada anda. Bagaimana ingin memberikan tanggapan pertama yang baik?

Anda boleh memberikan tanggapan pertama yang baik dengan cara anda berpakaian, ketepatan masa anda, cara anda duduk dan berinteraksi di dalam bilik menunggu. Harus diingat, sesetengah calon tidak hanya dinilai apabila ditemuduga sahaja, sebaliknya anda telah dinilai sebaik sahaja anda melangkah masuk ke pintu utama syarikat.

6. Salinan Resume

Sediakan salinan resume anda semasa menghadiri temuduga. Sekiranya penemuduga tidak mempunyai resume anda, anda boleh menjimatkan masa serta rasa malu pihak penemuduga, sekiranya anda dapat menyediakan salinan tambahan resume anda kepada penemuduga.

Imej via iLabur

7. Bahasa Badan

Bahasa badan anda akan menunjukkan diri anda. Pastikan anda menyedari bagaimana anda mempersembahkan diri anda dan mengetahui bagaimanan bahasa badan boleh memberi manfaat kepada anda.

Sebagai contoh, penggunaan tangan ketika bercakap boleh memberikan lebih animasi serta membantu komunikasi, namun anda mesti berwaspada supaya tidak berlebih-lebihan. Selain itu, elakkan bermain-main dengan barang-barang seperti pen atau cincin anda, kerana ini boleh mengganggu penemuduga.

Di samping itu, anda mampu kelihatan yakin dan profesional dengan duduk secara tegak di kerusi anda, dan mengekalkan senyuman serta mengekalkan pandangan (eye contact) yang baik dengan penemuduga anda.

8. Bina Hubungan

Anda mesti bersikap ramah kerana sikap ini disukai. Salah satu cara untuk bertenang adalah dengan menganggap penemuduga berada di pihak anda. Penemuduga yang baik tidak berminat untuk menjatuhkan anda. Sebaliknya, kebanyakan dari mereka berada di pihak anda, atau setidak-tidaknya mereka akan menemuduga anda secara profesional.

Oleh itu, dengan bersikap ramah dapat membantu anda membina hubungan (rapport) dengan penemuduga anda yang mana boleh membantu anda bertenang sekaligus membolehkan anda untuk menjalani temuduga dengan cemerlang.

9. Jawab Soalan

Apabila penemuduga mengajukan soalan kepada anda, anda hendaklah menjawab soalan-soalan yang ditanya secara tepat dan padat. Jawapan yang meleret-leret atau terlalu ringkas boleh memberikan tanggapan yang buruk kepada penemuduga.

Sebagai contoh sekiranya penemuduga bertanya tentang warna kegemaran anda dan sebab pemilihan warna tersebut, pilihlah satu warna dan nyatakan sebab anda menggemari warna tersebut. Tidak perlulah anda menyatakan yang anda meminati lebih dari satu warna atau anda tidak mempunyai warna kegemaran.

10. Tunjukkan Keinginan

Salah satu perkara yang anda perlu beri perhatian adalah berkenaan dengan bagaimana anda menunjukkan keinginan dan kesungguhan anda untuk mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan. Namun begitu, anda harus berhati-hati dalam menunjukkan keinginan kerana anda tidak mahu kelihatan terdesak untuk mendapatkan pekerjaan tersebut.

Ini kerana keinginan anda boleh menunjukkan sama ada anda seorang yang mampu menggalas tanggungjawab jawatan tersebut atau anda hanya seorang yang terdesak untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, persediaan dan kajian yang mencukupi dapat membantu anda memberikan gambaran kepada penemuduga bahawa anda adalah orang yang tepat untuk jawatan tersebut.

5 Soalan Biasa Dalam Temuduga

Sekiranya anda telah melalui beberapa temuduga anda pasti menyedari bahawa kebanyakan penemuduga akan bertanyakan soalan-soalan yang sama. Oleh itu, di sini disertakan 5 soalan biasa yang ditanya di dalam temuduga untuk membantu anda bersedia untuk temuduga anda.

1. Ceritakan Tentang Diri Anda

Kebanyakan penemuduga akan meminta anda untuk menceritakan tentang diri anda secara ringkas. Anda boleh menjawab dengan menceritakan tentang latar belakang pendidikan atau pekerjaan atau pencapaian anda. Elakkan bercerita tentang kehidupan peribadi anda.

2. Apakah Kekuatan Anda?

Anda boleh nyatakan kekuatan yang berkaitan dengan pekerjaan yang ditawarkan dan nyatakan bagaimana kekuatan tersebut digunakan di dalam pekerjaan anda.

3. Apakah Kelemahan Anda?

Fikirkan sesuatu yang anda mungkin bergelut dengannya, namun anda sedang berusaha untuk memperbaikinya. Sebagai contoh, mungkin anda tidak begitu bagus bercakap di hadapan orang ramai, namun anda telah mengambil beberapa tugas kepimpinan dan menawarkan diri untuk mengetuai mesyuarat untuk membantu anda meningkatkan keupayaan anda untuk bercakap di hadapan ramai orang.

4. Bagaimana Orang Mengggambarkan Anda?

Bagi menjawab soalan ini, seeloknya anda menyatakan dua atau lebih sifat yang terbaik yang ada pada diri anda atau sering diperkatakan oleh rakan-rakan kepada anda seperti seorang yang kreatif, seorang yang tersusun dan sebagainya.

5. Apa Yang Melayakkan Anda Untuk Jawatan Ini?

Apabila diajukan soalan ini, elakkan bercerita tentang keputusan akademik anda. Sebaliknya, sekiranya anda sudah memiliki pengalaman pekerjaan, jadi anda boleh membuat kesimpulan tentang pekerjaan anda sebelum ini dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan untuk jawatan tersebut. Sekiranya anda sedang mendapatkan pekerjaan pertama, anda boleh menceritakan secara lebih jelas tentang kekuatan anda dan manfaat yang boleh dicapai melaluinya.

Kesimpulan

Menjalani temuduga dengan cemerlang dapat memberikan anda peluang lebih tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan. Oleh itu, dengan melakuakan persiapan dan persediaan yang baik dapat membantu anda untuk mencapai kecemerlangan tersebut. Justeru, dengan mengamalkan 10 tips di atas dapat membantu anda melakukannya.

Jemput juga baca artikel tentang persedian sebelum temuduga

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.