Duduk di rumah sewa adalah pilihan utama bagi yang tinggal di bandar besar memandangkan membeli rumah baru bukanlah semurah yang disangka. Bagi para pelajar, rumah sewa adalah lebih bebas berbanding tinggal di dalam kampus. Bagi yang bujang atau baru mula bekerja, dah jauh dari keluarga, tinggal di rumah sewa adalah menjadi kelaziman. Hari ini kami akan kongsikan tips jimat duduk rumah sewa yang boleh anda amalkan.

1. Pilih rumah dengan harga yang berpatutan

Sumber: Gohartanah

Tips jimat duduk rumah sewa yang pertama ingin kami kongsikan ialah dengan cara memilih rumah sewa yang mempunyai harga yang berpatutan. Pastikan harganya adalah tidak terlalu mahal sehingga membebankan anda untuk membuat bayaran setiap bulan. Anda mungkin akan terpengaruh untuk menyewa rumah yang besar dan mewah, namun sentiasa ingat bahawa anda akan memerlukan rumah tersebut untuk tidur dan berteduh untuk sementara waktu sahaja, bukan selamanya. Lebih-lebih lagi jika anda seorang pelajar atau baru mula bekerja dengan gaji yang kecil.

2. Sewa bersama kawan-kawan

Untuk lebih berjimat, anda boleh berkongsi menyewa dengan kawan-kawan. Anda juga boleh mengiklankan untuk mencari penyewa jika tidak mempunyai kawan untuk menyewa bersama. Biasanya sebiji rumah mempunyai 3 buah bilik tidur. Anda boleh menyewa bersama 2 orang penyewa yang lain. Biasanya master bedroom yang mempunyai bilik air sendiri akan membayar sewa yang lebih mahal berbanding bilik yang lain.

3. Pilih rumah sewa yang dekat dengan tempat kerja

Pilihlah rumah sewa yang dekat dengan tempat kerja anda. Ini akan menjimatkan minyak, tol, masa dan tenaga. Kesesakan lalu-lintas di banra besar boleh menyebabkan stress. Rumah yang dekat dengan tempat kerja adalah satu rahmat yang besar.

4. Pilih rumah sewa yang dekat dengan kemudahan pengangkutan awam

Selain itu, pilih juga rumah sewa yang dekat dengan pengangkutan awam seperti hentian bas dan stesen keretapi. Ini akan memudahkan anda sekiranya memilih untuk pergi kerja dengan menggunakan kenderaan awam. Malah jika kenderaan anda rosak, anda boleh menggunakan kenderaan awam dengan mudah. Biasanya rumah yang dekat dengan kemudahan awam mendapat permintaan ramai. Para penyewa berebut untuk menyewa rumah di kawasan tersebut.

5. Pilih rumah sewa yang baru dan kelihatan tidak banyak kerosakan

Sumber: Iproperty

Semasa memilih rumah sewa, perhatikan keadaan rumah tersebut. Rumah yang usang biasanya mempunyai banyak kerosakan, terutamanya sistem perpaipan. Sementara rumah yang agak baru akan lebih kurang meragam. Pilihlah rumah sewa yang kelihatan baru dan diselenggara dengan baik tanpa mempunyai banyak kerosakan.

Kerosakan yang besar biasanya akan dibaiki oleh tuan rumah namun kerosakan kecil perlu dibaiki oleh penyewa sendiri. Rumah sewa yang kerap rosak akan menyebabkan anda terpaksa membelanjakan duit yang banyak untuk kerja pembaikan. Ia adalah merugikan.

6. Bayar bil secara beramai-ramai

Satu lagi cara jimat duduk rumah sewa ialah dengan cara membayar bil secara beramai-ramai setiap bulan, bukannya mengadakan giliran membayar bil mengikut giliran setiap bulan. Sebagai contoh, jika bil elektrik untuk bulan Mei ialah RM200, bahagikan sama rata kepada semua ahli rumah sewa, bukannya Ali membayar bil untuk Mei, Ahmad membayar untuk bulan Jun, dan Abu bertanggung jawab untuk membayar bil bulan Julai.

7. Masak di rumah secara bergilir-gilir

Memasak sendiri di rumah adalah sangat menjimatkan berbanding makan di luar. Bayangkan, RM10 yang ada di tangan anda boleh digunakan untuk memasak sebanyak dua atau tiga kali berbanding jika anda membeli makanan dari luar. Anda boleh sediakan giliran memasak di rumah dan masak untuk kesemua ahli rumah untuk lebih berjimat. Pada setiap awal bulan, kutip duit dari setiap ahli rumah untuk membeli barang mentah untuk dimasak.

8. Amalkan amalan berjimat dalam penggunaan air dan elektrik

Pastikan anda dan ahli rumah sewa yang lain menggunakan elektrik dan air dengan cara berhemah. Lebih banyak bil yang perlu dibayar, lebih banyak wang yang perlu anda semua keluarkan. Sentiasa saling mengingatkan agar menutup paip air, lampu, kipas, pengecas telefon bimbit, dan sebagainya apabila tidak digunakan. Jika anda ahli rumah saling berkerjasama dalam berjimat, banyak wang yang boleh anda jimatkan sewaktu membayar bil.

9. Berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja

Anda boleh berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja bersama rakan serumah jika tempat kerja anda adalah satu jalan atau jika anda bekerja di tempat yang sama. Berkongsi kenderaan adalah cara jimat duduk rumah sewa yang sangat berkesan. Anda boleh bergilir-gilir menggunakan kenderaan mengikut minggu atau hari. Jangan lupa juga untuk berkongsi membayar duit minyak, tol, dan bayaran parking.

10. Beli perabot asas sahaja

Sumber: Impiana

Akhir sekali, belilah perabot asas sahaja sepanjang anda menetap di rumah sewa. Cukup sekadar tilam dan almari untuk menyimpan pakaian untuk kegunaan di dalam bilik tidur. Untuk dapur, cukup jika ada dapur memasak dengan 2 pembakar dan meja makan simple dengan 4 kerusi sahaja. Untuk ruang tamu, boleh beli kerusi yang murah asalkan anda tidak perlu duduk di atas lantai.

Itulah dia info  tentang tips jimat duduk rumah sewa yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang beli rumah cash dan insurans rumah:mrtt vs mltt

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.