Anda ingin membeli rumah namun memilih untuk membeli secara cash kerana tidak mahu berhutang. Jenuh anda bertanya kepada mereka yang berpengalaman membeli rumah tentang prosedur dan prosesnya namun hampa kerana kesemuanya membeli rumah secara pinjaman dari bank. Jangan susah hati. Jom kami kongsikan cara beli rumah cash sebagai panduan buat anda.

1.  Lihat banyak rumah sebelum membuat pilihan

Sumber: Realestatemy

Adalah sangat penting untuk anda melihat banyak rumah sebelum membuat keputusan untuk membeli. Ini kerana apabila anda melihat banyak rumah, anda akan mendapat pandangan yang lebih luas dan akan membuat pilihan dengan lebih bijak.

2. Lakukan pemeriksaan ke atas rumah sebelum membeli

Lakukan pemeriksaan ke atas rumah sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah tersebut. Jangan sesekali membeli dengan hanya melihat rumah. Anda perlu pergi sendiri dan lihat rumah. Ambil masa untuk memerhatikan jika terdapat sebarang masalah atau kerosakan pada rumah.

3. Lakukan tawar-menawar pada harga

Jangan terus setuju dengan harga yang ditawarkan kerana ia adalah harga untuk jualan secara pinjaman. Dalam kes anda, anda akan membeli secara cash maka sepatutnya harga rumah tadi akan dikurangkan sekurang-kurangnya 15%. Ini adalah perkara yang ramai pembeli, terutamanya pembeli rumah buat kali pertama tidak tahu. Sangatlah rugi.

Terdapat kemungkinan bahawa penjual tidak bersetuju untuk mengurangkan harga namun anda perlu tegas dan teruskan meminta agar harga diturunkan. Jangan mudah mengalah. Ia adalah hak anda.

4. Tandatangan surat persetujuan jual beli rumah

Sebaik sahaja anda berpuas hati dengan keadaan rumah dan sudah mendapat harga yang baik, anda boleh pergi ke langkah yang seterusnya iatu menandatangani surat persetujuan jual beli rumah. Anda boleh tulis sendiri surat ini dengan ayat yang mudah. Apa yang penting ianya ditanda tangani oleh kedua-dua pembeli dan penjual.

Kenapa anda perlu menyediakan surat persetujuan tersebut? Ini kerana proses perlantikan peguam dan penyediaan surat jual beli oleh peguam akan mengambil masa yang lama. Surat yang anda tulis ini akan melindungi hak anda buat sementara waktu, agar penjual tidak menjual rumah kepada orang lain.

5. Lantik peguam

Sumber: Atpcare

Adalah sangat penting untuk anda melantik peguam kerana mereka lebih arif dalam melakukan perkara berikut:

  • Menyediakan perjanjian jual beli
  • Memeriksa status hartanah melalui carian rasmi di pejabat tanah
  • Membuat carian kebankrapan untuk memastikan bahawa rumah tersebut boleh dipindah milik tanpa sebarang sekatan

6. Membayar wang tanda

Anda boleh membayar wang tanda sebagai bukti bahawa anda benar-benar serius untuk membeli rumah tersebut. Adalah sangat penting untuk anda ingat bahawa:

  • Jangan bayar wang tanda terus kepada tuan rumah. Bayar kepada peguam atau ejen
  • Jangan membuat bayaran penuh. Cukup sekadar membuat sedikit bayaran

7. Menandatangai surat perjanjian jual beli

Biasanya sebaik sahaja anda menanda tangani perjanjian jual beli, peguam akan meminta anda membuat bayaran sebanyak 10% sebagai deposit. Jangan buat bayaran penuh kepada penjual pada peringkat ini.

8. Proses pindah milik

Seterusnya, peguam anda akan meneruskan dengan proses pindah milik. Pada peringkat ini, jika penjual masih mempunyai hutang dengan pihak bank, peguam akan meminta wang dari anda untuk menyelesaikan hutang tersebut. Apabila hutang selesai, pihak bank akan mengeluarkan geran asal.

9. Membuat bayaran penuh

Setelah mendapat geran dari pihak bank, peguam anda akan meminta anda membuat bayaran penuh. Wang tersebut akan disimpan dalam akaun amanah buat sementara waktu.

10. Proses tukar nama dan penyerahan kunci

Akhir sekali, peguam akan pergi ke proses yang terakhir iaitu menukar nama rumah kepada nama anda. Kini anda adalah pemilik sah rumah tersebut. Apabila nama pemilik rumah sudah ditukar, peguam akan memasukkan duit bayaran penuh ke akaun penjual. Anda akan mendapat kunci rumah baru.

Berapa lamakah proses lual beli rumah secara cash?

Proses membeli rumah secara cash akan selesai dengan cepat dan berjalan dengan mudah sekiranya rumah yang anda beli sudah tidak mempunyai pinjaman bank. Dalam kes sebegini, peguam anda boleh terus melakukan proses pindah milik memandangkan geran asal sudah ada dengan penjual. Namun, sekiranya rumah tersebut masuh dibawah hutang bank, hutang tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Begitu juga kisahnya tentang sekatan ke atas penjualan rumah tersebut. Jika carian yang dilakukan di pejabat tanah menunjukkan bahawa tidak ada sebarang sekatan ke atas pindah milik, maka proses pembelian secara cash akan berjalan dengan cepat dan mudah. Namun jika terdapat sekatan  ke atas rumah tersebut, proses pembelian akan memakan masa sedikit lama.

Sebagai contoh, jika rumah tersebut mempunyai pegangan leasehold  yang memerlukan kebenaran pindah milik dari kerajaan negeri, maka peguam anda perlu mendapatkan kebenaran dari pihak kerajaan negeri sebelum proses pindah milik boleh dilakukan.

Kebiasaannya tempoh paling lama untuk proses anda membeli rumah secara cash ialah lebih kurang 2 bulan sehingga 6 bulan, bergantung kepada keadaan rumah tersebut. Oleh itu, jangan ingat proses membeli rumah akan selesai dalam masa 2 minggu semata-mata kerana anda membayar dengan cash. Ada banyak prosedur yang perlu dituruti.

Itulah dia info tentang proses jual beli rumah cash yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang syarat beli rumah kos rendah dan cara kira pinjaman rumah.

Rujukan:

1. Arifhussin

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.