Jom belajar tips jimat belanja dapur yang boleh dicuba.

Hari ini kos sara hidup adalah sangat tinggi terutamanya jika anda tinggal di bandar besar. Pastinya anda selalu memikirkan cara untuk mengurangkan belanja agar tidak terlalu sesak menjelang hujung bulan. Berjimat juga bermakna anda akan mempunyai duit yang lebih banyak untuk disimpan.

Anda juga akan mempunyai sedikit duit untuk self reward. Penat bekerja, pastinya anda juga perlukan self reward. Ketahui tips jimat belanja dapur yang anda boleh amalkan.

1. Beli barang dapur sebulan sekali

Sumber: Eatthis

Membeli barang dapur sebulan sekali adalah tips jimat belanja dapur yang ramai tak amalkan. Mengapa membeli barang dapur sebulan sekali adalah menjimatkan? Apabila anda keluar dari rumah untuk membeli barang dapur, pastinya anda akan menggunakan kenderaan. Anda bukan sahaja akan mengeluarkan wang untuk barang dapur malah anda perlu mengeluarkan duit minyak, tol, masa, dan tenaga. Mungkin juga anda akan membeli makanan dan cuci mata di kedai lain. Nampak?

2. Sediakan senarai barang  dapur yang ingin dibeli

Ini adalah tips jimat belanja barang dapur yang sangat penting. Sebelum keluar membeli barang dapur, pastikan anda sudah menyediakan senarai barang dapur yang ingin dibeli. Sediakan senarai yang lengkap seperti contoh berikut:

  • 1 beg beras 10 kilogram
  • 2 kotak besar santan segera
  • 2 ekor ayam
  • 3 pek mee kuning
  • 2 botol sabun basuh baju
  • 2 kotak kecil ubat gigi

Dengan menyediakan senarai yang lengkap, ia akan memudahkan anda dalam mengambil barang. Apa yang paling penting, ia akan menjadi garis panduan kepada anda agar tidak terlalu banyak membeli barang yang tidak perlu.

3. Tetapkan had tertinggi untuk dibelanjakan pada hari tersebut

Hakikatnya, tiada seorang manusia pun yang mampu membeli barang seperti di dalam senarai yang disediakan tanpa menambah barang lain secara spontan. Lebih-lebih lagi jika ramai yang menyertai rombongan membeli barang dapur. Oleh itu, pastikan anda sudah menetapkan berapakah had tertinggi yang akan dibelanjakan pada hari tersebut. Jangan terlebih daripada had yang ditetapkan.

4. Makan sebelum keluar membeli barang dapur

Kajian menunjukkan bahawa membeli-belah semasa perut berada dalam keadaan lapar akan menyebabkan anda membeli dengan lebih banyak melebihi keperluan. Ini kerana apabila lapar, semua barang dapur kelihatan sedap di mata anda. Oleh itu, pastikan anda makan sebelum membeli barang dapur. Beli semasa perut anda kenyang dan tidak kosong.

5. Beli di kedai atau pasaraya yang menawarkan harga barang dapur yang murah

Membeli barang dapur di kedai atau pasaraya yang menawarkan harga barang dapur yang murah pastinya bagus untuk poket anda. Anda boleh buat bandingan harga untuk melihat premis mana yang menjual barang dapur dengan harga yang paling murah. Mungkin anda menganggap bahawa beza sebanyak beberapa puluh sen tidak begitu penting. Namun bayangkan jika anda membeli 30 barang dengan beza harga puluhan sen, sudah berapa banyak duit yang anda jimatkan?

6. Beli secara borong

Tips jimat barang dapur yang seterusnya ialah dengan cara membeli barang dapur secara borong. Membeli dalam kuantiti yang banyak bermakna anda mendapat harga yang lebih murah. Sebagai contoh:

  • Telur yang dijual dalam papan adalah lebih murah berbanding telur yang dijual dalam kuantiti sedikit
  • Susu segar yang dibeli dalam karton adalah lebih murah berbanding yang dibeli secara asing
  • Beehun yang dibeli secara borong dalam satu pek besar adalah lebih murah berbanding pek individu

7. Beli barang basah di pasar basah

Membeli barang basah di pasar basah adalah jauh lebih mudah berbanding membeli barang basah di pasaraya elit. Tak salah kalau anda kotorkan sedikit kasut untuk pergi ke pasar basah yang menjual ikan, ayam, daging, dan makanan laut dengan harga yang jauh lebih murah. Jika anda membeli barang basah di pasar basah, banyak wang yang dapat anda jimatkan.

8. Tanam sendiri sayur di rumah

Tips jimat barang dapur yang seterusnya ialah dengan cara menanam sendiri sayur di rumah. Mungkin anda tinggal di rumah yang tidak mempunyai tanah seperti apartment. Tidak mempunyai tanah tidak bermakna anda tidak boleh menanam sayur. Kaedah hidroponik adalah sangat mudah untuk dilakukan. Jom tanam sayur sendiri!

9. Masak dalam kuantiti yang banyak dan sejuk bekukan

Tips jimat belanja dapur yang seterusnya ialah dengan cara memasak makanan  dalam kuantiti yang banyak untuk disejuk bekukan. Sebagai contoh, jika anda memasak rendang daging, masak dalam kuantiti yang lebih dan bekukan. Apabila anda teringin untuk makan rendang daging, cuma keluarkan rendang tadi dan cairkan. Kemudian panaskan semula. Makanan rumah yang disejuk bekukan boleh bertahan selama berbulan-bulan jika dibekukan dengan cara yang betul.

10. Buat sendiri bahan mentah yang boleh dibuat sendiri di rumah

Sumber: Butterkicap

Bukan semua bahan mentah perlu dibeli di kedai. Anda boleh berjimat dengan banyak jika anda membuat sendiri bahan mentah di rumah. Sebagai contoh cili boh. Cili boh yang dijual di kedai juga boleh anda buat sendiri. Apa yang penting ialah kerajinan. Jika anda membuat cili boh sendiri, anda sudah banyak berjimat belanja dapur.

Itulah dia info  tentang tips jimat belanja dapur yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang tips jimat duit dan kereta paling jimat minyak.

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.