Jom kita lihat senarai syarikat terbesar di Malaysia.

Majalah Forbes telah mengeluarkan satu senarai yang mengandungi 2000 syarikat terbesar di dunia untuk tahun 2019. Daripada jumlah tersebut terdapat 9 buah syarikat dari Malaysia telah tersenarai.

Walaupun jumlah tersebut membuktikan bahawa syarikat Malaysia juga mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia, namun begitu, jumlah syarikat Malaysia yang disenaraikan di dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia untuk tahun 2019 adalah menurun berbanding 13 syarikat Malaysia yang disenaraikan di dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia untuk tahun 2018.

Artikel kali ini ingin membawa para pembaca untuk mengenali dan mengetahui 9 buah syarikat yang terbesar di Malaysia yang mana telah melayakkan diri untuk disenaraikan oleh majalah Forbes dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia untuk tahun sebelum ini.

1. Maybank

Berada di tangga pertama sebagai syarikat terbesar di Malaysia adalah Maybank Berhad, yang turut menduduki kedudukan ke-378 dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia. Maybank Berhad mempunyai modal pasaran sebanyak lebih kurang RM105 bilion dengan hasil jualan untuk tahun 2019 hampir kepada RM44 bilion.

Maybank Berhad (Malayan Banking Berhad) beroperasi sebagai sebuah syarikat induk yang menyediakan pelaburan dan perbankan komersial, serta perkhidmatan kewangan. Syarikat perbankan ini beribu pejabat di Kuala Lumpur. Ia beroperasi melalui segmen-segmen perniagaan seperti Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Perbankan Borong Global, Insurans, Takaful dan Pengurusan Aset, dan Perbankan Antarabangsa. Syarikat ini ditubuhkan pada 31 Mei 1960 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia.

2. Tenaga Nasional Berhad

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam penjanaan, pemancaran, pengagihan dan penjualan elektrik. Syarikat ini beroperasi berdasarkan bahagian perniagaan seperti Bahagian Penjanaan, Bahagian Pemancaran dan Bahagian Pengagihan.

Syarikat kedua terbesar di Malaysia ini menduduki kedudukan ke-612 dunia untuk senarai 2000 syarikat terbesar di dunia, memiliki aset bernilai lebih kurang RM73 bilion dengan keuntungan pada tahun 2019 dianggarkan lebih kurang RM55 bilion. Syarikat elektrik ini ditubuhkan pada 1 September 1949 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

3. Public Bank Berhad

Public Bank Berhad merupakan sebuah bank yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Syarikat ini dibangunkan pada tahun 1966 oleh bekas pengurus Maybank Berhad, Teh Hong Piow. Public Bank Berhad dilaporkan memiliki modal pasaran sebanyak lebih kurang RM91.5 bilion dengan anggaran perolehan untuk tahun 2019 adalah lebih kurang RM21 bilion, meletakkan syarikat tersebut di tangga ke-644 dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia dan menjadikannya syarikat ketiga terbesar di Malaysia.

Public Bank Berhad menyediakan pelbagai perkhidmatan perbankan dan kewangan yang meliputi pembiayaan (leasing) dan pemfaktoran, pembrokeran saham dan ‘futures’, pembiayaan untuk pembelian kenderaan awam berlesen, dan perkhidmatan kewangan yang lain. Selain daripada itu, Public Bank Berhad mempunyai cawangan di luar negara seperti Hong Kong, Sri Lanka, Laos, Cambodia dan Vietnam.

4. CIMB Group Holdings

Berada di tempat keempat dalam senarai syarikat terbesar di Malaysia adalah CIMB Group Holdings Bhd. Sementara di dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia pula, CIMB Group Holdings Bhd. berada pada kedudukan ke-659. Syarikat ini mempunyai modal pasaran hampir sebanyak RM51 bilion dengan keuntungan yang dilaporkan untuk tahun 2019 adalah lebih kurang RM27.9 bilion.

Syarikat yang berpengkalan di Kuala Lumpur ini terlibat dalam penyediaan pengguna dan perkhidmatan pelaburan perbankan. Syarikat ini menawarkan perbankan pengguna, perbankan borong, perbankan Islam serta produk dan perkhidmatan pengurusan aset. Syarikat ini ditubuhkan oleh Wee Kheng Chiang dan Wee Kheng Whatt pada tahun 1924.

5. Petronas Chemicals

Petronas Chemicals Group Bhd. merupakan sebuah syarikat pelaburan saham yang mengeluarkan, memasarkan dan menjual bahan-bahan kimia daripada petrol (petrochemicals). Syarikat ini menduduki tangga ke-1193 dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia. Untuk tahun 2019, keuntungan syarikat ini dianggarkan sebanyak RM21 bilion.

Syarikat yang mempunyai modal pasaran sebanyak RM75 bilion ini beroperasi melalui tiga segmen iaitu Olefins & Derivatif (Olefins & Derivatives), Baja & Metanol (Fertilizers & Methanol) dan Lain-lain. Selain daripada itu, Petronas Chemical Groups Bhd. ini ditubuhkan pada tarikh 25 Mac 1998 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Imej via iLabur

6. RHB Bank

RHB Capital Bhd. merupakan sebuah syarikat pelaburan saham yang menyediakan perkhidmatan kewangan seperti perbankan komersial, perbankan Islam, perbankan pelaburan, pembrokeran saham, pembiayaan (leasing), perbankan luar negara, perkhidmatan unit amanah luar negara, insurans am, pengurusan unit amanah, pengurusan aset dan perkhidmatan penama (nominee) dan penjaga (custodian).

RHB Bank memiliki modal pasaran yang dianggarkan sebanyak RM24.4 bilon, menjadikannya syarikat ke-6 terbesar di Malaysia dan meletakkannya di kedudukan ke-1134 dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia. Syarikat ini mencatatkan keuntungan sebanyak RM12.2 bilion untuk tahun 2019.

Syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dan ditubuhkan pada tahun 1997 ini beroperasi melalui segmen-segmen perniagaan seperti Perbankan Korporat dan Pelaburan (CIB), Perbankan Runcit, Perbankan Perniagaan, Perbendaharaan Kumpulan, Perniagaan Antarabangsa Kumpulan, serta Pusat Sokongan dan Lain-lain.

7. Hong Leong Financial Group

Hong Leong Financial Group Bhd. yang berada di kedudukan ke-1438 dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia juga merupakan sebuah syarikat pelaburan saham yang terlibat dalam penyediaan perbankan dan perkhidmatan kewangan. Pada tahun 2019, modal pasaran ini dianggarkan berjumlah sebanyak RM22.5 bilion dengan keuntungan untuk tahun tersebut dilaporkan berjumlah hampir kepada RM10 bilion.

Hong Leong Financial Group Bhd. beroperasi melalui segmen-segmen berikut, iaitu Perbankan Komersial, Perbankan Pelaburan dan Pengurusan Aset, Insurans dan Operasi-Operasi Lain. Syarikat perbankan ini dibangunkan pada tanggal 6 September 1968 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

8. Axiata Group

Axiata Group Bhd. merupakan sebuah syarikat pelaburan saham yang terlibat dalam penyediaan komunikasi mudah alih dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan transmisi rangkaian. Syarikat yang menduduki tempat ke-1796 dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia ini juga menawarkan perkhidmatan teknikal dan pengurusan pada skala antarabangsa dengan pelaburan pada anak-anak syarikat, usaha sama, dan syarikat bersekutu.

Syarikat yang ditubuhkan pada tarikh 12 Jun 1992 ini mencatatkan keuntungan hampir sebanyak RM25 bilion pada tahun 2019 dan mempunyai modal pasaran hampir sebanyak RM39 bilion. Syarikat komunikasi ini berpengkalan di Kuala Lumpur.

9. AmBank Group

AmBank Group atau AMMB Holdings Bhd merupakan sebuah syarikat pelaburan yang terlibat dalam penyediaan perbankan runcit, perbankan borong, perbankan pelaburan, perbankan Islam, dan perkhidmatan kewangan yang berkaitan.

Pada tahun 2019, syarikat perbankan ini mencatatkan keuntungan lebih daripada RM8 bilion dan memiliki modal pasaran melebihi RM14 bilion. Syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur ini menduduki tangga ke-1904 dalam senarai 2000 syarikat terbesar di dunia. Selain itu, syarikat yang ditubuhkan pada tarikh 5 Ogos 1975 ini beroperasi melalui segmen-segmen berikut; Perbankan Runcit, Perbankan Borong, Insurans dan Operasi.

Kesimpulan

Berdasarkan senarai-senarai syarikat di atas, enam daripada sembilan buah syarikat yang disenaraikan merupakan syarikat perbankan. Ini menunjukkan bahawa syarikat perbankan merupakan syarikat yang terbesar di Malaysia. Selain itu, Maybank Berhad masih lagi mengekalkan kedudukan sebagai syarikat terbesar di Malaysia yang mana syarikat tersebut turut menduduki tangga pertama pada tahun 2018.

Jemput juga baca artikel pendaftaran syarikat enterprise

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.