Pendaftaran syarikat enterprise. Pendaftaran untuk perniagaan pemilikan tunggal atau rakan kongsi di Malaysia adalah untuk warganegara atau permastautin tetap. Pemohon hendaklah berusia 18 tahun dan ke atas. Urusan pendaftaran hanya mengambil masa selama 1 jam dan anda boleh memulakan perniagaan serta-merta.

Harus diingat, perniagaan yang didaftarkan mestilah tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau untuk tujuan yang salah di sisi undang-undang. Ia juga tidak bertentangan dengan keselamatan negara, masyarakat umum atau moral.

pendaftaran syarikat enterprise

Imej via Pixabay

Info-info Yang Perlu Anda Tahu Bagi Pendaftaran Syarikat Enterprise

Apakah yang perlu dibawa?

  • Salinan kad pengenalan diri pemilik dan/atau rakan kongsi.
  • Permit, lesen, surat kelulusan atau sokongan untuk jenis perniagaan yang hendak didaftarkan. Contohnya Nurseri/ Pusat Penjagaan Kanak-Kanak (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah / Kolej (Kementerian Pendidikan Malaysia). Atau agensi-agensi berkaitan sekiranya diperlukan oleh pihak Pendaftar Peniagaan.
  • Wang tunai (RM60-RM100) untuk yuran pendaftaran:
    • Pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti dalam kad pengenalan – RM30
    • Pemilikan tunggal atau rakan kongsi menggunakan nama perdagangan – RM60
    • Pendaftaran cawangan – RM5 bagi setiap cawangan
    • Maklumat Perniagaan bercetak – RM10
  • Nama perniagaan dan aktiviti perniagaan anda.

Perniagaan boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama perdagangan

  • Nama perniagaan menggunakan nama sendiri seperti dalam kad pengenalan.
  • Nama perdagangan ialah nama perniagaan yang dicadangkan dan mesti mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan.
  • Apabila anda telah bersedia untuk mendaftarkan nama perniagaan anda, lengkapkan Borang Kelulusan Nama Perniagaan (Borang PNA.42) dengan tiga (3) cadangan nama perniagaan. Nama perniagaan akan diluluskan mengikut keutamaan dan akan dikepilkan bersama dengan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) di kaunter.

Lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan maklumat berikut:

  • Nama Perniagaan
  • Tarikh mula perniagaan
  • Lokasi perniagaan
  • Alamat cawangan perniagaan (sekiranya ada)
  • Maklumat pemilik dan rakan kongsi
  • Jenis perniagaan yang dijalankan
  • Salinan Perjanjian Perkongsian (sekiranya ada)

Setiap pemilik perniagaan dan rakan kongsi perlu menandatangani borang yang telah dilengkapkan. Individu yang bertanggungjawab hendaklah menghantar borang permohonan di kaunter.

Daftar perniagaan melalui EzBiz Online – SSM

ezbiz online

Imej via Facebook

Orang ramai boleh mendaftar perniagaan mereka secara dalam talian melalui perkhidmatan ”EzBiz Online”. Pemohon tidak perlu hadir ke kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pemilik syarikat juga boleh memperbaharui daftar perniagaan, membuat perubahan dan menamatkan perniagaan atau membayar kompaun secara dalam talian.

Transaksi melalui EzBiz Online ini boleh dilaksanakan bila-bila masa dan di mana sahaja oleh pelanggan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Tetapi perlu mendaftar sebagai pengguna EzBiz terlebih dahulu untuk menggunakan perkhidmatan itu secara percuma seumur hidup,

Cara-cara mendapatkan ID bagi ezbiz online:

1) Daftar sebagai pengguna portal di ezbiz.ssm.com.my menggunakan emel yang sah;

2) Hadir di mana-mana kaunter SSM dengan membawa kad pengenalan dan notifikasi yang diterima di emel pengguna;

3) Aktifkan ID dengan membuat pengesahan cap jari (biometrik) bagi tujuan keselamatan maklumat (sekali seumur hidup); dan

4) Urusan selesai dan boleh gunakan ezbiz online serta merta.

Walaupun perniagaan telah didaftarkan, pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapatkan lesen, permit atau surat kelulusan daripada pihak berkuasa terlibat untuk menjalankan perniagaan tersebut.

Seorang individu yang menjalankan perniagaan tanpa pendaftaran telah melakukan kesalahan di bawah ROBA 1956 dan jika didapati bersalah akan didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih daripada dua (2) tahun atau kedua-duanya.

Perniagaan baru adalah sah untuk tempoh satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun untuk setiap pendaftaran.

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.