Hartanah kediaman di Malaysia telah mengalami kenaikan harga yang ketara dalam tempoh 20 tahun terakhir dengan harga hartanah di beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang meningkat pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan hartanah di negeri-negeri lain. Walaupun pasaran hartanah agak perlahan dan terdapat banyak pemaju yang menawarkan potongan sehingga 30% untuk pembelian hartanah kediaman, namun harga masih lagi tinggi untuk kebanyakan orang, dan sesetengah pembeli masih belum memperolehi margin pembiayaan yang tepat.
Walau bagaimanapun, perumahan masih tetap merupakan salah satu keperluan asas kita. Oleh itu, sekiranya anda merupakan pembeli hartanah kediaman untuk kali pertama, berpendapatan sederhana dan rendah dan berminat untuk membeli hartanah kediaman, anda mungkin ingin melihat kepada skim-skim perumahan awam. Hartanah kediaman di bawah projek perumahan awam agak lebih berpatutan dan mampu milik di mana lebih kurang separuh atau satu pertiga daripada unit yang dibina oleh pemaju-pemaju persendirian (swasta).
Terdapat banyak inisiatif kerajaan di luar sana seperti PR1MA (Perumahan Rakyat 1 Malaysia), Residensi Wilayah, MyHome (Skim Perumahan Mampu Milik Swasta), Rumah Selangorku dan banyak lagi, yang dapat membantu anda untuk mendapatkan jenis perumahan atau hartanah yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan anda. Namun begitu, tidak semua orang boleh memohon atau memiliki inisiatif hartanah yang disediakan oleh kerajaan ini.
Terdapat beberapa syarat atau kelayakan yang membolehkan anda memohon projek-projek perumahan daripada kerajaan. Justeru, artikel ini akan memfokuskan kepada dua jenis inisiatif perumahan kerajaan iaitu Residensi Wilayah dan Rumah Selangorku berkenaan dengan kelayak n untuk anda memohon projek hartanah kediaman ini.
Jom ketahui syarat beli rumah kos rendah Kuala Lumpur dan Selangor.
Residensi Wilayah atau sebelum ini dikenali sebagai RUMAWIP merupakan sebuah program perumahan mampu milik oleh kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli rumah pertama. Program ini memberi tumpuan kepada semua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Bagi pembeli rumah pertama, ini merupakan peluang keemasan kepada anda untuk mencari dan membeli rumah pertama anda. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang idea atau pengetahuan tentang Residensi Wilayah, di bawah ini diceritakan secara ringkas dan padat tentang Residensi Wilayah.
Pemohon Residensi Wilayah mestu merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun dan ke atas. Walau bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada anda yang lahir di Wilayah Persekutuan atau bekerja di Wilayah Persekutuan atau menetap di mana-mana Wilayah Persekutuan ketika memohon, terutamanya kepada anda yang tidak memiliki sebarang hartanah di kawasan-kawasan Wilayah Persekutuan.
Selain itu, pesara juga layak untuk mendapatkan perumahan Residensi Wilayah namun tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat dari masa ke semasa.
Di samping itu, pendapatan kasar isi rumah bagi pemohon individu (bujang) tidak boleh melebihi RM10,000 sebulan sementara untuk pemohon yang telah berkahwin tidak boleh mempunyai jumlah pendapatan kasar melebihi RM15,000. Suami atau isteri boleh memohon Residensi Wilayah, walau bagaimanapun, hanya satu tawaran sahaja akan diberikan kepada setiap isi rumah.
Selangor merupakan salah sebuah negeri yang paling ramai penduduk di Malaysia dan kebanyakan hartanah perumahan di negeri ini dijual pada harga yang sangat melambung tinggi. Ini menyebabkan banyak keluarga, belia dan pembeli rumah pertama mengalami kesukaran untuk mencari rumah yang terbaik dan sempurna untuk mereka yang mana memiliki semua kriteria seperti mampu milik, luas dan terletak di lokasi yang strategik.
Namun begitu, dengan Rumah Selangorku, impian anda untuk memiliki rumah pertama anda sendiri akan lebih mudah untuk direalisasikan. Rumah Selangorku yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2014, bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan para pemaju dalam membina rumah-rumah mampu milik. Tambahan lagi, Rumah Selangorku berusaha untuk menjadikannya kepentingan untuk para pemaju membangunkan sejumlah unit perumahan dengan harga yang berpatutan sebagai sebahagian daripada keseluruhan projek mereka.
Selain itu, inisiatif ini diterajui oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), sejajar dengan polisi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mencapai satu juta rumah mampu milik menjelang 2028.
Oleh kerana Rumah Selangorku adalah sebuah skim perumahan yang ditumpukan untuk menyokong rakyat Selangor yang berpendapatan rendah dan sederhana, terdapat beberapa syarat tertentu yang harus dipenuhi. Antra syarat yang perlu dipenuhi adalah seperti berikut;
Rumah Selangorku menyediakan pelbagai jenis unit yang diperuntukkan khusus untuk pilihan dan tahap pendapatan pemohon. Di bawah skim ini, rumah dikategorikan kepada lima jenis (A, B, C, D dan E) dengan kelayakan yang berbeza bergantung kepada pendapatan isi rumah bulanan pemohon. Pemohon dibenarkan memilih hanya satu jenis rumah;
Jenis A : Pendapatan isi rumah maksimum adalah RM3,000 sebulan.
Jenis B, C, D, E : Pendapatan isi rumah bermula daripada RM3,001 sehingga RM10,000.
Rumah jenis A dijual pada harga RM42,000 manakala jenis B, C, D dan E dijual bermula harga RM100,000 sehingga RM250,000. Selain itu, harga rumah tertakluk kepada kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN).
Penyediaan perumahan kepada semua adalah sangat penting di mana-mana negara untuk memastikan kestabilan sosial-ekonomi dan untuk mendorong pembangunan negara. Oleh sebab itu, kerajaan Malaysia juga tidak terlepas dalam memperkenalkan kategori perumahan rendah ke sederhana dalam usaha membantu rakyat mendapatkan rumah pertama yang mampu milik.
Oleh kerana ianya perumahan kos rendah dan sederhana dan bertujuan untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana, maka terdapat beberapa kriteria atau syarat yang harus dipatuhi bagi memastikan anda betul-betul layak mendapatkan rumah daripada inisiatif kerajaan ini.
Sukakan artikel syarat beli rumah kos rendah ini? Jemput juga baca tentang cara beli rumah lelong dan renovate rumah kos rendah