Jom kita belajar tentang strok.

Strok (angin ahmar) berlaku apabila saluran darah yang membawa oksigen ke otak anda sama ada telah tersekat (serangan iskemia) ataupun pecah (strok berdarah). Kekurangan oksigen mematikan sel-sel otak yang dikendalikan oleh saluran-saluran darah tersebut, dan memberhentikan fungsi bahagian tubuh badan yang dikawal oleh sel-sel otak tersebut.

Apabila saluran darah hanya tersekat untuk satu jangka masa yang pendek, ianya dipanggil serangan iskemia sementara atau dalam bahasa Inggerisnya, “transient ischemic attack (TIA)”. Ini adalah seperti strok kecil atau strok amaran, dan bianya perkara ini berlaku sebelum strok utama. Simptom-simptom strok ini adalah sama seperti simptom-simptom strok utama namun hanya muncul untuk beberapa minit sahaja.

Mengetahui tanda-tanda dan juga simptom-simptom strok dapat membantu anda mendapatkan rawatan awal dan cepat serta boleh mengelakkan berlakunya strok utama dalam kes TIA.

Sekiranya anda mengesyaki bahawa diri anda ataupun seseorang mengalami strok, hubungi 999 dengan segera untuk mendapatkan bantuan ambulan. Sekiranya simptom strok hilang ketika anda sedang menunggu ketibaan ambulan, anda ataupun orang yang mengalami strok masih perlu pergi ke hospital untuk diperiksa.

Walaupun simptom-simptom strok telah hilang, ia mungkin bermaksud anda telah mengalami serangan iskemia sementara (TIA) dan anda mempunyai risiko untuk mengalami strok utama pada masa akan datang. Selepas pemeriksaan awal, anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk menerima pemeriksaan lebih lanjut, dan jika perlu mendapatkan rawatan pakar.

Ketahui Simptom Strok Menggunakan ‘FAST’

Tanda-tanda dan simptom-simptom strok adalah berbeza antara seorang individu kepada individu lain namun biasanya ia bermula dengan secara tiba-tiba. Oleh kerana bahagian otak yang berbeza mengawal bahagian tubuh yang berbeza, simptom-simptom anda akan bergantung kepada bahagian otak anda yang mana yang terjejas dan juga tahap kerosakan tersebut.

Simptom-simptom strok utama boleh diingati dengan menggunakan perkataan ‘FAST’ yang merujuk kepada wajah, tangan, percakapan dan masa. Di bawah ini merupakan penerangan ringkas tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘FAST’;

  • “Face” / Wajah – Anda boleh memeriksa wajah anda atau orang lain sama ada wajah anda atau orang lain mungkin senget sebelah, atau tidak boleh mengukirkan senyuman atau mata anda atau orang lain itu mungkin layu.
  • “Arms” / Tangan – Anda perlu memastikan sama ada anda atau orang lain mampu mengangkat kedua-dua tangan anda dan mengekalkan kedudukan itu, sekiranya tidak mampu mengangkat satu belah atau kedua-dua belah, ianya mungkin disebabkan tangan anda lemah atau kebas.
  • “Speech” / Percakapan – Anda perlu memaksa diri anda unutk menyebut beberapa ayat yang mudah atau memaksa orang lain untuk melakukannya untuk memeriksa sama ada percakapan anda ataupun orang lain mungkin tidak jelas atau pelat ataupun mungkin tidak boleh bercakap sama sekali walaupun dalam keadaan jaga.
  • “Time” / Masa – Sekiranya anda atau orang lain mengalami ketiga-tiga simptom di atas, ianya merupakan masa untuk anda menghubungi 999 secepat yang mungkin.

Simptom-simptom yang dikenalpasti melalui tindakan atau pemeriksaan ‘FAST’ di atas boleh mengenal pasti 9 daripada 10 jenis penyakit strok.

Imej via iLabur

Ianya adalah amat penting untuk anda semua mengetahui tentang simptom-simptom strok ini. Tambahan lagi, ianya menjadi lebih penting sekiranya anda tinggal bersama atau menjaga seseorang yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi seperti orang tua atau penghidap penyakit kencing manis atau tekanan darah tinggi.

Serangan Iskemia Sementara (TIA)

Serangan iskemia sementara atau “transient ischemic attack” atau TIA juga kadang-kadang dikenali sebagai strok kecil (ministroke). TIA merupakan satu keadaan sementara simptom-simptom yang sama seperti simptom-simptom yang terdapat pada strok muncul dalam diri anda.

Namun begitu, TIA tidak menyebabkan kerosakan yang kekal. Simptom ini disebabkan oleh penurunan bekalan darah kepada salah satu bahagian otak anda, yang mana mungkin berlaku selama hanya 5 minit sahaja. Seperti strok iskemia, TIA berlaku apabila bekuan atau serpihan darah beku mengurangkan atau menghalang pengaliran darah dalam sistem saraf tubuh badan anda.

Oleh itu, sekiranya anda menghidap TIA, ini bermakna terdapat saluran darah atau arteri yang menuju ke arah otak anda sedang tersumbat atau menyempit sedikit. Harus diingat, mempunyai TIA meninggikan lagi risiko untuk anda menghidap strok utama sepenuhnya pada kemudian hari sekiranya tidak diberi perhatian dan rawatan sebaiknya apabila simptom TIA ini telah dikesan.

Tanda-Tanda Strok

Seperti penyakit-penyakit lain yang mempunyai tanda-tanda tertentu yang menunjukkan seseorang itu menghidap sesuatu penyakit, strok juga mempunyai beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu menghidap strok. Antara tanda-tanda penghidap strok adalah seperti berikut;

  1. Sukar untuk bercakap dan memahami apa yang diucapkan oleh orang lain. Ini bermakna anda mungkin mengalami kekeliruan, hilang perkataan atau kesukaran untuk memahami perbualan atau percakapan.
  2. Lumpuh atau rasa kebas pada muka, tangan atau kaki. Anda mungkin mengalami rasa kebas, lemas atau lumpuh pada muka, tangan atau kaki anda secara tiba-tiba. Ini biasanya menjejaskan hanya satu bahagian tubuh anda sahaja.
  3. Masalah penglihatan pada satu belah atau kedua-dua belah mata. Anda mungkin mengalami penglihatan yang kabur atau gelap pada sebelah atau kedua-dua belah mata secara tiba-tiba atau anda mungkin melihat objek secara berganda.
  4. Mengalami sakit kepala. Anda mungkin mengalami sakit kepala yang kuat dan secara tiba-tiba yang mana boleh membawa kepada muntah-muntah, pening atau kesedaran yang berubah-ubah.
  5. Sukar untuk berjalan. Anda mungkin terjatuh atau kehilangan keseimbangan anda. Anda juga mungkin mengalami pening kepala tiba-tiba atau hilang daya koordinasi.

Kesimpulan

Mendapatkan bantuan dan rawatan perubatan dengan cepat harus menjadi keutamaan anda atau orang-orang disekeliling anda ketika menghadapi strok. Setiap saat yang berlalu adalah penting kerana setiap saat yang berlalu tanpa oksigen akan merosakkan otak anda.

Selain itu, anda mesti mengetahui tanda-tanda strok supaya anda dapat ke hospital dengan secepat mungkin. Mengetahui tanda-tanda awal strok juga adalah penting untuk mencegah kerosakan otak, kecacatan besar mahupun kematian. Justeru, mempelajari ‘F.A.S.T’ merupakan cara terbaik untuk mengenal pasti tanda-tanda strok dan tindakan yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan bantuan.

Akhir sekali, jangan sesekali mengabaikan TIA kerana walaupun simptom-simptom TIA telah reda atau hilang, ianya merupakan tanda amaran besar berkenaan ada sesuatu yang tidak kena di dalam otak anda.

Jemput juga baca tentang anxiety attack.

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.