“It’s finger lickin’ good” “Sedap hingga menjilat jari” “So good” merupakan antara tagline yang mencuri perhatian penggemar makanan untuk menikmati KFC.

Restoran yang menyajikan menu berasaskan ayam goreng sebagai hidangan utama ini, semestinya perusahaan makanan segera yang paling mendapat sambutan di Malaysia.

Jom kita bongkar atau cuba ketahui rahsia (bukan rahsia rempah ayam KFC!) strategi pemasaran yang diamalkan oleh KFC.

Pengenalan

KFC merupakan rangkaian syarikat makanan segera yang dikendalikan oleh Yum! Brands Inc. beribu pejabat di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat Syarikat yang diasaskan oleh Colonel H. Sanders pada tahun 1952 bersama rakan perniagaan bernama Pete Harman.

Rangkaian restoran ini dikenali dengan jualan ketulan ayam goreng bersama resipi istimewa Sanders sebelum dikembangkan dengan penjualan makanan segera yang lain seperti kentang goreng, kentang lenyek, burger dan salad kobis.

Sehingga kini, terdapat lebih 14 200 rangkaian KFC di seluruh dunia.

Francais KFC di Malaysia

KFC pertama di Malaysia. Imej via Worldofbuzz

Di Malaysia, KFC memasuki negara ini dengan cawangan pertamanya di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada tahun 1973 dengan modal sebanyak RM60 000.

Sehingga kini, terdapat lebih kurang 500 cawangan restoran KFC di Malaysia, Singapura dan Brunei. QSR Brands diberikan kebenaran oleh Yum! Brands untuk menjalankan operasi perniagaan KFC di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Kemboja dengan lebih 830 rangkaian cawangan.

KFC Malaysia dimiliki oleh KFC Holdings (Malaysia) Bhd. kepunyaan Kulim Berhad dan dipengerusikan oleh Tan Sri Dato. Mohd Ali bin Hashim.

Kumpulan KFC di Malaysia

Kumpulan KFC juga mempunyai restoran subsidiari seperti Kedai Ayamas (27 cawangan) dan Gedung Ayamas (4 unit) menjadikannya restoran penjualan dan rantaian runcit berasaskan ayam yang terunggul di negara kita.

Bagi menampung perolehan sumber bekalan ayam, KFC Holdings menjalankan penternakan secara meluas selain bertindak sebagai hos bisnes kecil-kecilan bagi penanaman sayur-sayuran, penghasilan sos dan bakeri.

Dengan bilangan staf melebihi 35 000 orang, syarikat KFC Holdings merupakan syarikat yang mempunyai kuantiti staf teramai dalam sektor makanan segera di rantau ini.

Strategi Pemasaran Restoran Makanan Segera

Perniagaan makanan segera adalah tidak asing di Malaysia yang bermula pada tahun 1960 dengan pembukaan restoran A&W.

Restoran makanan segera boleh dijumpai di banyak lokasi seperti di bandar-bandar, di dalam pasar raya, di tepi lebuh raya dan di pekan-pekan kecil.

Setiap perniagaan ini berbeza dari segi produk makanan dan perkhidmatan pelanggan yang diberikan. Perniagaan sebegini juga tidak dapat lari daripada dipengaruhi oleh persekitaran makro.

Oleh itu, mereka perlu sentiasa mengambil kira pasaran perniagaan dan beradaptasi untuk menghasilkan strategi yang lebih baik bagi menarik para pelanggan. Perbincangan mengenai kesan elemen-elemen persekitaran makro ke atas organisasi KFC sebagai strategi pemasaran mereka adalah seperti berikut:

Demografik

Persekitaran demografik adalah sangat penting bagi ahli pemasaran KFC kerana melibatkan populasi manusia yang merupakan pasaran utama.

Di Malaysia, terdapat perubahan struktur populasi yang ketara apabila berlakunya penambahan bilangan populasi remaja dan dewasa yang mempunyai akses kepada perkhidmatan makanan segera disebabkan oleh faktor pendidikan tertiari di kawasan bandar/sub bandar dan faktor migrasi pekerjaan.

Golongan muda ini juga gemar untuk menghabiskan masa di restoran makanan segera sebagai salah satu kawasan mengulang kaji pelajaran atau tempat menggunakan perkhidmatan wifi percuma.

Oleh itu, KFC banyak menyediakan menu pilihan yang sesuai dengan golongan sasaran ini seperti KFC Super Jimat Box dan diskaun kad siswa yang boleh dinikmati golongan muda ini apabila berkunjung ke restoran KFC. Golongan sasaran ini tidak mempunyai pendapatan yang besar atau mereka yang tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Selain itu, perkembangan diversiti etnik menyebabkan KFC menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan menu. Contohnya, Sawadeekrunch KFC yang diinspirasi oleh rasa makanan Thai dan KFC Spicy Gochujang Crunch yang berasaskan rasa makanan Korea. Pertambahan menu yang lain daripada kebiasaan ini mampu menarik minat para pengguna untuk mencubanya.

Faktor Ekonomi

Terdapat dua tumpuan ekonomi yang perlu diambil kira iaitu perubahan pendapatan dan perubahan perbelanjaan pelanggan. Pemantauan perubahan ekonomi ini digunakan untuk meramal kadar jualan dan bilangan staf diperlukan dalam perkhidmatan.

Pendekatan ini digunakan dengan memperkenalkan KFC Chicken Tuesday dengan promosi 9 ketul ayam pada harga RM19.90 pada setiap hari Selasa sahaja.

Hal ini bertujuan meningkatkan jualan pada hari bekerja seiring dengan jualan pada hujung minggu atau cuti umum.

Faktor Alam Semula Jadi

Kesedaran pemeliharaan alam semula jadi semakin meningkat sejak kebelakangan ini berdasarkan kekurangan bekalan bahan mentah, kos tenaga dan peningkatan tahap pencemaran alam.

Oleh sebab itu, antara langkah yang diambil oleh KFC untuk penjagaan alam sekitar adalah kempen tanpa straw dan bebas plastik. Selain itu. cawangan KFC di Nilai Square adalah restoran makanan segera mesra alam yang pertama di Malaysia yang diakreditasi oleh Green Building Index Sdn. Bhd. (Malaysia), BCA Green Mark (Singapore) dan LEED (USA).

Cawangan KFC di Nilai Square. Imej via QSR

Dari segi kecekapan tenaga, semua cawangan KFC yang baru dilengkapi dengan lampu LED yang lebih menjimatkan tenaga. Penunggang KFC Delivery pula menggunakan skuter elektrik mesra alam sejak tahun 2015. Sebanyak 275 buah skuter telah disediakan bagi tujuan tersebut.

Di samping itu, rawatan air sisa kumbahan digunakan di setiap loji pemprosesan kilang penternakan Ayamas dengan pelaburan sebanyak RM2 juta bagi kemudahan rawatan air sisa di fasiliti Ayamas Bandar Tenggara, Johor (Rajah 3.2). Dengan kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar Malaysia, sebanyak 800 meter padu air sisa dirawat pada setiap hari.

Faktor Teknologi

Perubahan teknologi sememangnya telah mengubah cara urus niaga masa kini. Penggunaan telefon pintar yang semakin meluas membolehkan KFC mencipta aplikasi telefon pintar, KFC App yang memudahkan para pengguna membuat tempahan makanan secara atas talian.

Selain itu, perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grabfood, Food Panda dan Dah Makan dimanfaatkan oleh KFC bagi meluaskan pemasarannya dengan turut memperkenalkan KFC Delivery.

Perkhidmatan KFC Delivery. Imej via QSR.

Dengan pengenalan pembayaran nir tunai (cashless), KFC turut mengambil bahagian untuk menerima transaksi nir tunai ini menggunakan kad debit dan kad kredit. Pembayaran melalui aplikasi pembayaran seperti E Wallet dan Boost juga diterima di kaunter-kaunter KFC.

Hal ini menunjukkan bahawa KFC mengikuti arus teknologi yang diperkenalkan seiring dengan hasrat memudahkan urusan transaksi para pelanggan.

Aspek Politik

Trend politik sesebuah negara memberi kesan yang signifikan terhadap urus niaga melalui pengenalan dasar dan kempen. Kempen bebas beg plastik di Selangor yang bermula pada 01 Januari 2017 disahut oleh KFC dengan mengenakan caj 20 sen bagi setiap plastik yang diberikan.

Selain itu, berdasarkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), straw plastik tidak akan disediakan di kaunter mulai 01 Julai 2019 dan hanya akan diberikan atas permintaan.

Di samping itu, setiap restoran KFC di Malaysia mempunyai pensijilan Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) ini telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan semasa pengeluaran dan penyediaan produk KFC yang dilakukan secara teliti oleh pakar syariah dan teknologi makanan. Pegawai pemeriksa yang ditugaskan membuat pemeriksaan dokumen dan pemeriksaan pematuhan berdasarkan Standard dan Prosedur SPHM di kawasan kilang yang mengeluarkan produk.

KFC Holdings (Malaysia) Bhd. juga telah mewujudkan Sistem Jaminan Halal serta menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang dianggotai oleh Eksekutif Halal bertujuan memantau keseluruhan perolehan bahan mentah dan proses penghasilan produk.

Hal ini adalah bagi memastikan produk dijamin kualiti dan kebersihannya berdasarkan konsep Halalan Thoyyiban.

Sosial/Sosiobudaya

Persekitaran sosial dan budaya terdiri daripada institusi masyarakat yang mengambil kira nilai asas, persepsi, kehendak dan kelakuan.

Aspek ini perlu dititikberatkan kerana masyarakat merupakan pasaran sasaran. Pengenalan menu nasi merupakan antara langkah yang baik oleh KFC memandangkan nasi merupakan makanan ruji masyarakat Malaysia. Pilihan air minuman yang pelbagai selain air berkarbonat juga adalah sangat bermanfaat khasnya buat pelanggan yang ingin menjaga kesihatan.

Bagi mengembangkan jaringan sosial KFC di Malaysia, beberapa program kemasyarakatan telah dijalankan. Antaranya ialah KFC Feeding Programme yang bermula pada tahun 1995 bertujuan mengagihkan juadah KFC kepada rumah-rumah kebajikan dan komuniti terpilih.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 150 rumah kebajikan dan institusi seluruh negara yang mengambil bahagian dalam projek ini.

Menggalas tanggungjawab sosial bagi orang kelainan upaya (OKU), pada tahun 1986, cawangan KFC Jalan Imbi dikendalikan sepenuhnya oleh staf OKU pendengaran dan pertuturan.

Cawangan ini merupakan restoran makanan segera pertama di dunia yang memperkenalkan konsep sebegitu. Tiga lagi cawangan KFC dengan konsep yang sama dibuka di

  • Sentul Raya (Kuala Lumpur)
  • Tanjung Aru (Sabah)
  • Matang (Sarawak)

Secara keseluruhan, hampir 350 OKU telah mendapat peluang pekerjaan di KFC.

Cawangan KFC dengan staf OKU. Imej via QSR

Di samping itu, KFC turut menaja beberapa rancangan hiburan di Malaysia bagi lebih meluaskan pengaruh pemasarannya. Rancangan-rancangan dengan rating tontonan yang tinggi sesuai dengan selera hiburan masyarakat umum telah ditaja seperti Maharaja Lawak Mega, Mentor Millenia dan Gegarvaganza.

Pendekatan ini amat baik dari segi pengiklanan selain pengiklanan tipikal di media massa dan juga usaha KFC dalam mengiklankan produk mereka di media sosial.

Kesimpulan

Setiap organisasi perlu bijak beradaptasi dengan sebarang perubahan elemen-elemen tersebut bagi memastikan kelangsungan hidup organisasi. Kelebihan KFC Holdings (Malaysia) Bhd. yang mempunyai staf yang ramai dan organisasi yang mantap berupaya menangani perubahan dan peluang persekitaran makro ini dengan menyesuaikan perkhidmatan mereka dengan keadaan sekeliling.

Rujukan

  1. Bosdriesz, J. R., Witvliet, M. I., Visscher, T. L. S., & Kunst, A. E. (2012). The influence of the macro-environment on physical activity : a multilevel analysis of 38 countries worldwide, International Journal of Behavioral Nutrition and Physical Activity, 9(1), 1–13.
  2. http://qsrbrands.com
  3. Samnani, A. (2014). Macro-environmental factors effecting fast food industry. Food Science and quality management, 31, 37-40
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.