Tertanya-tanya skop kerjaya dietetik yang boleh didapati?

“You are what you eat” – satu pepatah bahasa Inggeris yang pasti terngiang-ngiang di telinga anda bila kami sebut sahaja tentang diet. Oleh itu, jelas yang kita perlukan bimbingan bagi memastikan kualiti diet kita sentiasa baik.

Khidmat seseorang yang bekerja dalam bidang dietetik jelas diperlukan untuk hal sebegini. Tanpa mereka, semestinya lebih ramai orang di negara kita akan diserang penyakit kardiovaskular dan obesiti.

skop kerjaya dietetik

Imej via ilabur

  • Jadi, agak-agaknya apakah skop kerjaya dietetik yang boleh kita temui? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

#1 Pegawai Dietetik di Institut Sukan

Selain daripada latihan yang mencukupi, diet yang sesuai juga merupakan aspek yang sangat penting bagi setiap atlet. Oleh itu, pegawai dietetik memainkan peranan yang sangat penting dalam hal ini.

Diet yang seimbang dan sesuai dengan seseorang atlet itu akan membolehkan mereka beraksi dengan lebih baik dalam bidang sukan. Pegawai dietetik akan memantau dan merancang diet mereka untuk hal tersebut.

#2 Pegawai Dietetik Klinikal

Skop kerjaya ini merupakan antara yang paling popular dalam bidang dietetik. Pegawai dietetik klinikal ini berkhidmat di hospital kerajaan dan swasta.

Mereka akan menawarkan khidmat nasihat untuk jenis diet yang sesuai diambil oleh pesakit mengikut aspek-aspek tertentu seperti jenis penyakit, umur dan ketahanan badan masing-masing.

#3 Ahli Nutrisi Pediatrik

Skop kerjaya ini pula merupakan salah satu cabang dalam bidang dietetik klinikal. Ianya megkhususkan kepada dietetik bagi kanak-kanak. Ahli nutrisi pediatrik ini mempunyai kelayakan yang tinggi dalam bidang pediatrik.

Seperti yang kita tahu, sistem penghadaman kanak-kanak lebih sensitif berbanding orang dewasa. Tambahan pula jika mereka kurang sihat. Jadi, khidmat ahli nutrisi pediatrik sangat diperlukan untuk hal sebegini.

#4 Pegawai Dietetik Out-Patient

Bagi yang tidak pernah terdengar tentang istilah out-patient, ia sebenarnya merupakan khidmat kaunseling yang diberikan oleh pegawai dietetik kepada pesakit luar hospital.

Selalunya, pegawai dietetik out-patient ini akan memberikan khidmat runding kauseling dan nasihat yang berkaitan dengan bidang dietetik kepada orang luar. Contohnya di sekolah, rumah dan pejabat.

#5 Penulis

Jangan terkejut jika kami katakan yang penulis juga merupakan antara skop kerjaya  bagi bidang dietetik. Selalunya, kebanyakan pakar dietetik memang akan memilih bidang penulisan sebagai pekerjaan sambilan mereka.

Buktinya, singgah sahaja di mana-mana kedai buku. Pasti anda akan temui buku-buku yang berkaitan dengan bidang dietetik yang ditulis oleh ahli nutrisi yang berjaya. Boleh juga dijadikan inspirasi!

#6 Perunding Kesihatan

Tak dapat jadi ahli nutrisi pun tidak mengapa, anda boleh cuba untuk menjadi wellness consultant atau perunding kesihatan. Anda akan menasihati pelanggan tentang diet dan senaman yang sesuai untuk dipraktikkan.

Berbekalkan ilmu dietetik yang sedia ada, ia semestinya akan menjadi satu bonus buat anda untuk menarik lebih ramai pelanggan. Selalunya, perunding kesihatan akan bekerja dengan agensi swasta.

#7 Pegawai Dietetik Katering

Sebelum syarikat katering menyediakan makanan kepada pesakit di hospital, semestinya nutrisi dan kualiti makanan tersebut akan dipantau dan dinilai dengan penuh teliti.

Jadi, pegawai dietetik katering akan mengambil alih tugas sebegini. Mereka merupakan pegawai dietetik yang bekerja untuk sesebuah syarikat katering bagi meneliti jenis makanan yang dibekalkan kepada hospital.

#8 Pakar Renal Dietetik

Untuk pakar renal dietetik pula, skop kerjaya ini mengkhususkan kepada pesakit buah pinggang yang kronik. Memandangkan diet untuk pesakit jenis ini lebih teliti, kita sememangnya perlukan khidmat seorang pakar.

Kebanyakan pakar renal dietetik perlu mempunyai pengalaman serta kebolehan yang sangat tinggi. Ini bagi memastikan kualiti diet pesakit yang dirawat sentiasa dalam keadaan baik.

#9 Pakar Dietetik Bekerja Bebas

Tidak mengapa jika anda kurang menggemari waktu kerja 9-5, anda boleh sahaja menjadi pakar dietetik bekerja bebas atau lebih dikenali dengan freelance dietician ini.

Ini bermaksud, anda akan berkhidmat untuk mana-mana individu atau organisasi yang memerlukan bantuan anda. Tidak kisah jenis bidang yang akan anda pilih – baik renal, pediatrik mahupun kardiovaskular.

#10 Pegawai Dietetik Kardiovaskular

Pegawai Dietetik Kardiovaskular pula merupakan pegawai dietetik berdaftar yang mengkhususkan diri dalam mempromosikan kesihatan jantung, kesejahteraan, dan pengurusan berat badan pesakit kardiovaskular.

Tugas mereka termasuklah memberi nasihat dan khidmat kaunseling tentang pemakanan dan terapi pemakanan perubatan. Hal ini bagi memastikan kesihatan kardiovaskular seseorang pesakit terjaga.

#11 Pegawai Dietetik Onkologi

Untuk pesakit kanser pula, pegawai dietetik yang sesuai untuk membantu mereka ialah pegawai dietetik onkologi. Mereka  akan memantau diet seharian pesakit kanser bagi memastikan kualiti diet mereka sentiasa baik.

Dengan mencapai kesihatan keseluruhan yang baik, diet yang sesuai boleh membantu mengurangkan risiko kanser, menjaga pesakit lebih sihat semasa rawatan, dan memerangi kesan sampingan dan penyakit

#12 Pakar Dietetik di Pusat Perkhidmatan Kesihatan Komuniti

Kami yakin, khidmat seorang pakar dietetik semestinya diperlukan di Pusat Perkhidmatan Kesihatan Komuniti. Pakar dietetik akan memberi nasihat dan khidmat kaunseling tentang jenis diet yang sesuai dengan warga emas.

Diet warga emas semestinya wajib dipantau dari semasa ke semasa, memandangkan faktor usia atau penyakit yang dihidapi harus diambil kira.

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa kerjaya bidang dietetik yang ingin anda ceburi? Setiap kerjaya yang kami senaraikan ini mempunyai kelebihan masing-masing, jadi jangan takut untuk mencuba.

Semoga artikel ini membantu anda untuk menambahkan pengetahuan tentang kerjaya yang kami senaraikan. Jangan lupa kongsikan di media sosial dan juga kepada rakan-rakan!

Rujukan

1) https://farahanani.blogspot.com/2015/11/kerjaya-seorang-dietitian-di-malaysia.html/

2) http://hkemaman.moh.gov.my/index.php/services/pengurusan/dietetik-sajian/

Copy

Penulis: hani

Menulis tentang tips kerjaya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.