Jom kethaui jenis-jenis riba!

Firman Allah, mafhumnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah al-Baqarah: 278-279).

Riba adalah haram disisi islam. Ia adalah perkara yang wajib dijauhi oleh setiap manusia yang beragama islam sekiranya ingin selamat di dunia dan akhirat. Hari ini kami akan kongsikan info tentang tentang jenis-jenis riba dan situasi yang perlu dijauhi.

Apakah yang dimaksudkan dengan riba?

Dari segi bahasa, riba bermaksud pertambahan dan peningkatan. dari sudut istilah pula riba membawa maksud sebarang tambahan ke atas hutang akibat tempoh dan tambahan dalam urusan melibatkan item-item tertentu (ribawi). Sebagai contoh, anda meminjamkan seseorang sebanyak RM100.00, dan apabila bayaran semula dibuat jumlahnya telah menjadi RM120.00.

Item ribawi yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah item matawang dan makanan asasi seperti:

  • Matawang
  • Emas
  • Perak
  • Kurma
  • Beras
  • Garam
  • Gandum
  • Barli

Jenis-jenis riba

Sumber: Afyan

Terdapat dua jenis utama iaitu riba al-Duyun dan riba al-Buyu’dan kedua-dua riba ini nanti akan dipecahkan pula kepada beberapa jenis yang kecil. Riba al-Duyun adalah riba yang melibatkan urusan pinjaman dan hutang, manakala riba al-Buyu’ pula adalah riba yang melibatkan urusan jual-beli item ribawi.

Riba al-Duyun

Riba al-Duyun adalah riba yang melibatkan urusan pinjaman dan hutang  di mana ia melibatkan kadar lebihan faedah yang terhasil disebabkan tempoh. Sama ada tempoh pemberian pinjaman mata wang atau manfaat sesuatu aset. Riba ini melibatkan sebarang jenis pinjaman yang membawa manfaat tambahan kepada pemberi pinjam, dan dalam masa yang sama memenuhi kesemua tiga syarat yang berikut:

  • Terhad kepada manfaat material, bukan spirutual seperti pahala
  • Manfaat tambahan diterima oleh pemberi pinjam, bukannya diterima oleh peminjam
  • Manfaat yang diterima oleh pemberi telah disyaratkan atau dipersetujui pada peringkat awal pinjaman

Riba al-Duyun juga dibahagikan kepada dua iaitu riba al-Qardh dan riba Jahiliah.

Riba al-Qardh

Riba jenis ini berlaku apabila terdapat sebarang kadar atau manfaat tambahan yang lebih daripada pinjaman pokok dikenakan ke atas pinjaman yang diberikan dan ianya telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak semasa pinjaman dibuat. Kadar manfaat yang dipersetujui ini mungkin dikenakan oleh pemberi pinjam atau ditawarkan sendiri oleh peminjam. Dalam bahasa mudahnya, riba al-Qardh melibatkan sebarang pinjaman yang perlu dibayar melebihi pinjaman pokok.

Sebagai contoh, A meminjam RM200.00 daripada B dengan persetujuan bahawa jumlah bayaran semula ialah sebanyak RM210.00. ia juga berlaku semasa kita membuat pinjaman perumahan atau pinjaman kenderaan daripada pihak bank di mana kita perlu membayar jumlah yang lebih berbanding jumlah pokok yang dipinjam.

Bagaimanakah cara untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam riba jenis ini? Apabila meminjamkan dan meminjam sesuatu daripada seseorang, pastikan jumlah pokok adalah sama dengan jumlah bayaran semula. Begitu juga sekiranya kita ingin membuat pinjaman dari pihak bank atau institusi kewangan. Pastikan kita pilih pembiayaan Islamik berbanding pinjaman konvensional. Ini  kerana pembiayaan Islamik menggunakan kontrak jual-beli, sewaan atau sebagainya yang patuh syariah dan sangat berbeza dengan kontrak pinjaman konvensional.

Sumber: Kompasasiana

Riba Jahiliah

Riba Jahiliah pula adalah riba yang berlaku apabila sebarang manfaat atau kadar tambahan melebihi pinjaman asal dikenakan apabila bayaran pinjaman dilakukan melebihi tempoh yang ditetapka. Lebihan tempoh mungkin berlakun disebabkan oleh kelewatan atau penangguhan dari pihak peminjam. Secara ringkasnya, riba Jahiliah adalah sebarang denda atau penalti yang dikenakan ke atas peminjam disebabkan oleh kelewatan atau pengangguhan bayaran oleh peminjam di mana dia gagal untuk membayar dalam tempoh yang dijanjikan.

Sebagai contoh, A meminjam wang sebanyak RM200.00 daripada B dan berjanji untuk membayar dalam tempoh satu bulan namun gagal. A hanya mampu membayar semula selepas dua bulan lalu dikenakan denda di atas kelewatan bayaran. Denda yang dikenakan adalah riba jahiliyah.

Riba al-Buyu’

Riba al-Buyu’ pula adalah riba yang melibatkan urusan jual-beli item ribawi. Ia melibatkan urusan berkaitan item ribawi. Ia boleh berlaku disebabkan oleh sama ada disebabkan oleh ketidaksamaan pada berat atau kuantiti semasa pertukaran, atau pertukarannya dilakukan secara bertangguh.

Riba al-Buyu’ juga terbahagi kepada dua iaitu riba al-Nasak atau al-Nasiah dan riba al-Fadhl.

Riba al-Nasak atau al-Nasiah

Riba al-Nasak atau al-Nasiah adalah riba yang berlaku apabila jual-beli atau pertukaran antara item ribawi berlaku secara bertangguh atau tidak serentak. Ini adalah jenis riba yang paling kerap berlaku dalam hidup tanpa kita sedar. Sebagai contoh, A membeli emas secara bertangguh atau berhutang daripada B. membeli secara bertangguh yang dimaksudkan di sini ialah A dapat emas hari ini, namun bayaran hanya dibuat selepas beberapa hari. Atau pun A membuat bayaran pada hari ini namun mendapat emasnya pada keesokan hari.

Riba al-Fadhl

Riba al-Fadhl adalah riba yang melibatkan jual-beli atau pertukaran antara item ribawi yang sama jenis, yang mana berlaku apabila berat dan kuantiti pertukaran tersebut adalah tidak sama. Sebagai contoh, A dan B bertukar 15g emas 916 dengan 10g emas 999. Di sini walau pun kualiti emasnya berbeza, tetapi oleh kerana kedua-duanya adalah emas, maka berat mestilah sama semasa pertukaran. Sebarang perbezaan berat adalah dianggap sebagai riba.

Itulah dia info tentang jenis-jenis riba dan situasi yang perlu dijauhi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang hukum riba dalam islam dan hukum Forex dalam islam

Rujukan:

  1. Jom urus duit
Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.