Kemalangan jalan raya adalah malapetaka yang boleh membawa maut. Kerap kali kita dihidangkan dengan berita tentang kematian akibat kemalangan jalan raya yang berlaku kerana kecuaian pengguna jalan raya yang lain. Ketahui punca kemalangan jalan raya yang boleh kita elakkan agar sentiasa selamat semasa berada di jalan raya.

1. Mengantuk

Memandu dalam keadaan mengantuk bukan sahaja akan membahayakan diri sendiri malah akan menyebabkan pengguna jalan raya yang lain juga menerima akibatnya. Mengantuk boleh menyebabkan seseorang mengalami micro sleep. Micro sleep akan menyebabkan kita hilang kawalan ke atas kereta lalu terbabas.

2. Terlalu laju

Memandu dalam keadaan yang terlalu laju juga adalah punca kemalangan jalan raya yang paling kerap berlaku. Apabila kita memandu dalam keadaan yang terlalu laju, ia akan menyebabkan kenderaan tidak dapat dikawal. Akibatnya? Kemalangan jalan raya akan berlaku.

3. Mabuk

Selain memandu dalam keadaan mengantuk dan terlalu laju, memandu dalam keadaan mabuk juga adalah punca kemalangan. Berapa banyak kemalangan jiwa yang berlaku akibat pemandu mabuk? Sudah tiba masanya untuk Malaysia menggubal undang-undang baru untuk pemandu mabuk yang meragut nyawa.

4. Di bawah pengaruh dadah

Memandu di bawah pengaruh dadah atau khayal juga akan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Apabila anda berada dalam pengaruh dadah, anda tidak lagi sedar akan keadaan sekeliling. Memandu dalam keadaan sebegini adalah sangat merbahaya.

5. Silau

Apabila memandu pada waktu malam. Silau boleh menjadi musuh utama. Silau boleh berlaku disebabkan oleh lampu kenderaan lain yang terlalu cerah atau tajam. Lebih-lebih lagi kalau kenderaan tersebut berada di belakang kereta dan menyuluh cermin kita.

6. Penat yang melampau

Kepenatan akan menyebabkan tubuh badan tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya. Malah boleh menyebabkan seseorang hilang fokus semasa memandu. Tindakan refleks juga akan terjejas. Ini adalah perkara yang boleh menjadi punca kemalangan jalan raya.

7. Jalan raya licin

Jalan raya yang licin akibat hujan atau tumpahan minyak adalah punca kemalangan jalan raya yang seterusnya. Jalan raya yang licin adalah sangat merbahaya terutama sekali kepada para penunggang motosikal.

8. Jalan raya berlubang

Keadaan jalan raya yang rosak dan berlubang juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Apabila seseorang sedang memandu dalam kelajuan yang tinggi, jalan raya yang berlubang atau rosak akan menyebabkan kereta melambung lalu mengalami kemalangan.

9. Jalan raya gelap

Keadaan jalan raya yang gelap juga adalah penyumbang kepada kemalangan jalan raya. Oleh itu perlahankan kenderaan apabila melalui jalan yang gelap kerana kita tidak tahu apa yang ada di hadapan akibat kegelapan.

10. Objek di atas jalan raya

Selain jalan raya yang rosak, kewujudan objek di atas jalan raya juga adalah punca kemalangan jalan raya yang paling kerap berlaku. Bayangkan anda sedang memandu dengan laju, tiba-tiba ada sebatang kayu melintang di tengah jalan. Anda mungkin terbabas akibat cuba mengelak daripada melanggar kayu tersebut, atau melambung akibat berlanggar.

11. Tidak sabar di atas jalan raya

Tidak sabar dan kuat marah di atas jalan raya juga adalah merbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan. sikap tidak sabar akan menyebabkan berlakunya kejar-mengejar atau bergaduh sesama pemandu.

12. Mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat

Mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat juga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. Sekiranya kenderaan tersebut brek secara mengejut, kita yang berada di belakang tidak mempunyai ruang yang cukup untuk mengelakkan daripada berlanggar.

13. Cuai

Punca kemalangan jalan raya yang seterusnya ialah kecuaian. Memandu dalam keadaan yang tidak fokus dan sambil lewa akan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Kecuaian adalah punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia.

14. Menggunakan telefon bimbit semasa memandu

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah satu kesalahan trafik. Ini kerana ia boleh menjejaskan fokus anda semasa memandu dan juga menyebabkan berlakunya kemalangan.

15. Makan semasa memandu

Makan semasa memandu akan mengganggu fokus anda semasa memandu. Sama seperti menggunakan telefon bimbit. Lebih-lebih lagi jika anda makan makanan yang berkuah di mana anda perlu berhati-hati agar ia tidak tumpah.

16. Menggunakan lorong kecemasan

Lorong kecemasan ada;ah untuk tujuan kecemasan. Menggunakan lorong kecemasan semasa kesesakan lalu lintas boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Malah ia juga akan menyebabkan ambulas dan bomba tidak dapat sampai ke kawasan kemalangan.

17. Memotong di garisan kembar

Garisan kembar adalah kawasan di mana anda dilarang untuk memotong. Biasanya garisan kembar berada di kawasan yang berbahaya dan kerap berlaku kemalangan. Tabiat memotong di garisan berkembar adalah sangat merbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.

18. Melanggar lampu isyarat

Sumber: Utusansarawak

Melanggar lampu isyarat juga adalah punca kemalangan jalan raya. Oleh itu patuhi lampu isyarat walau pun anda adalah satu-satunya kenderaan yang ada di kawasan tersebut atau anda memandu pada awal pagi.

19. Masuk ke laluan bertentangan

Kemalangan jalan raya juga berlaku disebabkan oleh kejadian masuk ke laluan bertentangan. Ini adalah sangat membahayakan kenderaan di arah bertentangan, lebih-lebih lagi yang sedang memecut dengan laju.

20. Keluar simpang secara melulu

Punca kemalangan jalan raya yang terkahir ialah keluar dari simpang secara melulu. Sepatutnya anda menunggu sehingga jalan betul-betul kosong sebelum keluar simpang agar tidak membahayakan semua pengguna jalan raya.

Itulah dia info  tentang punca kemalangan jalan raya yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang punca stress bekerja dan punca muflis.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.